Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali ‘Imran 3:102)
Ramadan menuntut umat Islam untuk menghayati kelebihan dan keistimewaannya. Ibadah puasa sebagai contoh, memiliki keunikan, iaitu umat Islam bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, malah wajib menjauhkan diri daripada segala jenis maksiat merangkumi niat dan perlakuan buruk di samping mengamalkan akhlak mulia. Hal ini menyebabkan berlakunya proses pembersihan jiwa yang membolehkan diri mencapai sinar ketakwaan, sekali gus membentuk sahsiah terpuji.
Maksiat batin merujuk dosa atau kesalahan yang terbit daripada hati dan fikiran seseorang yang merangkumi perkara yang diniatkan, sifat keji dan sangkaan buruk yang tidak terlihat secara zahir, tetapi dianggap sebagai dosa kerana melibatkan fungsi hati dan pemikiran yang menyimpang daripada ajaran Allah SWT.
Antara contoh maksiat batin termasuklah sifat sombong, riyak, hasad dengki, pendendam, menyukai pangkat dan jawatan, banyak makan dan kuat marah. Maksiat batin perlu dijauhi kerana perbuatan tersebut bersifat api yang memusnahkan dan merosakkan amal ibadah serta menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT.
Bagaimanakah penghayatan ibadah puasa dapat menjauhi maksiat batin?
Pertama: Puasa mengukuhkan kesedaran dan pengawasan diri (muraqabah).
Puasa difardukan ke atas orang yang beriman. Hubung kait antara iman dengan puasa menjadikan individu berkenaan sedar bahawa dia sedang melaksanakan ibadah kepada Tuhannya yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui perbuatannya.
Puasa berupaya melatih hati, iaitu mendidik diri agar tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa sekalipun ketika berseorangan, melatih hati untuk sentiasa bersangka baik, menjauhi syak wasangka, melatih lidah untuk berkata perkataan yang benar di samping menjauhi perbuatan mengumpat, memfitnah, mengawal pancaindera daripada mendengar dan melihat perkara yang diharamkan oleh syarak, serta melatih diri melaksanakan tugas dengan telus dan amanah, lalu menjauhi perbuatan sambil lewa, culas, mengambil dan memberi rasuah, melakukan penipuan dan penyelewengan sekalipun tidak dilihat oleh manusia.
Kedua: Puasa medan menundukkan nafsu dan syahwat (mujahadah).
Pada era dunia tanpa sempadan, kita mudah terdedah kepada godaan nafsu syahwat yang boleh membawa kepada perlakuan maksiat, khususnya yang disebarkan melalui pelbagai media sosial. Namun begitu, dengan kehadiran Ramadan, umat Islam dapat berasakan perbezaan suasana syiar Islam, kerana perkongsian bahan keagamaan disebarkan dengan meluas. Tambahan pula, syaitan yang menghasut manusia dibelenggu pada bulan ini.
Maka itu, kesempatan ini mengupayakan umat Islam untuk bermujahadah mendidik dan mengawal hawa nafsu daripada melakukan pembaziran ketika membeli dan menyediakan juadah berbuka puasa yang mengakibatkan kekenyangan terlampau sehingga tubuh menjadi berat dan berasa malas untuk menunaikan solat fardu dan solat sunat tarawih di masjid.
Amat beruntung bagi orang yang menjadikan Ramadan sebagai kesempatan untuk menambahkan ketaatan dan membersihkan hati dengan amalan soleh. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadian (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Lalu mengilhamkannya (untuk mengenal jalan) yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya telah berjaya orang yang menyucikan jiwanya (dengan iman dan amalan soleh). Dan sesungguhnya telah rugi orang yang mengotorinya (dengan sebab maksiat).”
(Surah al-Shams 91:7-10)
Ketiga: Puasa melebur sifat mazmumah (muhasabah).
Ibadah puasa berupaya melentur sifat mazmumah seperti sombong, bangga diri atau sifat berasa diri hebat dengan pangkat, harta dan jawatan. Dengan menahan lapar dan dahaga, hati dan perasaan dididik untuk lebih berasa simpati dan berlaku ihsan kepada golongan fakir miskin dan nasib golongan yang kurang berkemampuan di samping membentuk sifat murni seperti sikap murah hati dan merendah diri. Galakan bersedekah, menaja berbuka puasa dan menunaikan zakat fitrah adalah antara kaedah untuk menzahirkan empati kepada keadaan orang yang susah.
Umat Islam diingatkan tentang keburukan sifat takabbur sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya mengandungi sebiji zarah daripada kesombongan.”
(Hadis riwayat Muslim)
Penghayatan ibadah puasa yang sebenar turut melunturkan sifat riyak (menunjuk-nunjuk ibadah) kerana tidak ada apa-apa yang hendak dipertontonkan dalam ibadah puasa kepada manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana pada zahirnya tiada beza antara seorang yang berpuasa atau tidak ketika di khalayak ramai. Hanya Allah SWT dan kita sendiri yang tahu sama ada kita benar-benar sedang berpuasa atau tidak, khususnya ketika dalam keadaan bersendirian.
Apabila tahap keikhlasan ditingkatkan, seseorang Muslim akan beribadah semata-mata kerana Allah SWT dan hanya mengharapkan pembalasan daripada-Nya.
Sebagai hasilnya, dosanya yang lalu akan diampunkan oleh Allah SWT selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Kesimpulannya, pada bulan Ramadan, kita dituntut untuk berusaha meningkatkan amalan ibadah seperti solat fardu dan sunat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. Semua amalan ini bertujuan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan membersihkan hati kita daripada segala maksiat batin.
Maka itu, marilah kita membanyakkan berdoa dan istighfar pada bulan Ramadan ini, agar Allah SWT mengampunkan dosa kita dan membersihkan hati kita daripada segala maksiat zahir dan batin.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 7 Mac 2025, bertajuk “Menghayati Ramadan – Menjauhi Maksiat Batin”.