Diterbitkan pada 25 Februari 2025, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyifatkan manusia tanpa tasawuf seperti jasad kehilangan roh dan pohon yang hilang sumber airnya.

Maka itu, baginda bertitah, dua cabang ilmu, yakni fikah dan tasawuf wajar diintegrasikan agar bergerak seiring bagi melahirkan insan yang berilmu selain lebih beradab.

“Sejak terpinggirnya didikan tasawuf di bangku sekolah, ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan.

“Pada waktu yang sama, turut terdapat gerakan membenci tasawuf sehingga melahirkan generasi yang tidak beradab, malah ke peringkat bersifat biadab,” titah baginda.

Baginda bertitah dalam Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di Ipoh, Perak hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Duli Yang Teramat Mulia Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Duli Yang Amat Mulia Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, YABhg. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak, YBhg. Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Datuk Mohd. Na’im Mokhtar.

Tegas baginda, kepincangan masyarakat dengan pelbagai penyakit sosial yang berlaku seperti penipuan, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, dan perebutan kuasa, bukan kerana negara tidak mempunyai cukup undang-undang tetapi kerana kehilangan adab.

“Segala-galanya berlaku kerana manusia sudah kehilangan adab. Merasakan akal fikirannya terlebih pintar, maka mula beranggapan mereka berupaya melakukan pelbagai helah untuk menguasai dunia,” titah baginda.

Titah baginda lagi, tasawuf merupakan satu cabang ilmu untuk menyelamatkan umat Islam daripada ditenggelami arus kesesatan, sekali gus membersihkan jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah di dunia dan di akhirat.

Tambah baginda, adab mengikut kaca mata Islam dan budaya Melayu merujuk tatacara atau tingkah laku yang berpekerti, akhlak yang baik, sopan, tertib, berbudi bahasa, jujur dan ikhlas, sifat menghormati dan berperikemanusiaan.

Tegas baginda, para ulama lebih mendahulukan adab berbanding dengan ilmu kerana seseorang yang menguasai ilmu tanpa memiliki adab akan berakhir sebagai ilmuwan yang tempang, dibimbangi akan mendakyah masyarakat dengan ilmu yang songsang.

Mengulas lanjut, baginda bertitah, tasawuf diertikan sebagai pencarian jalan rohani, kebersatuan dengan kebenaran mutlak dan pengetahuan mistik yang dapat membersihkan diri manusia daripada pengaruh kehidupan dunia.

“Ilmu tasawuf penting kerana membantu membersihkan hati, mendidik nafsu dan memperbaik akhlak,” titah baginda.

Muzakarah kali ini bertemakan Pemerkasaan Integrasi antara Fiqah dengan Tasawuf.

Sehubungan dengan itu, dalam memperkatakan pentingnya dua cabang ilmu (fikah dan tasawuf) baginda menyeru masyarakat agar merujuk kata-kata Imam Malik bin Anas r.a.:

“Jika sesiapa mempelajari ilmu fiqah tanpa tasawuf, maka dia menjadi fasik. Jika sesiapa mempelajari ilmu tasawuf tanpa ilmu fiqah, maka dia menjadi zindik. Manakala, jika sesiapa menghimpunkan kedua-dua ilmu tersebut, maka itulah sebaik-baik dan sesempurna-sempurna perkara.”

Kredit Foto: Jabatan Mufti Negeri Perak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi