Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengajian tasawuf harus diperkasakan dalam seluruh institusi pendidikan di negara ini bagi melahirkan generasi berakhlak yang akan mencorakkan negara bangsa dengan lebih harmoni.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Ayman al-Akiti berkata, usaha tersebut selaras dengan gagasan konsep kerajaan MADANI di bawah kepimpinan sekarang ini.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak juga pernah bertitah supaya pelajaran tasawuf dimasukkan ke dalam arus perdana pendidikan kita.

“Dan pihak berkenaan harus melihat hal ini dengan sewajarnya,” katanya sebagai ahli panel Wacana Serantau: Sumbangan Syeikh Nawawi al-Bantani dan Peranan Malaysia dalam Mengangkat Khazanah Ilmiah di Asia Tenggara.

Wacana yang dikendalikan oleh Imam Muda Megat itu diadakan di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Ayman al-Akiti, kegagalan menguasai ilmu tasawuf menjadi antara punca penyakit berkaitan jiwa yang secara tidak sedar menjerumuskan seseorang itu mudah terjebak dengan gejala tidak baik, bahkan terjadinya perbuatan membunuh diri.

YBrs. Dr. Nik Roskiman Abdul Samad (kanan) sebagai ahli panel turut memberikan penerangan bermanfaat tentang ilmu tasawuf yang kian dilupai oleh masyarakat sekarang.

“Kebanyakan hari ini krisis timbul dalam keadaan seseorang itu patah jiwa. Banyak masalah kejiwaan dengan berbagai kes termasuklah dengan kes-kes bunuh diri,” katanya.

Sempena wacana tersebut, sebuah buku Tenanglah Wahai Hati turut dilancarkan.

Tenanglah Wahai Hati merupakan kitab syarahan tulisan YBhg. Ustaz Muhadir Haji Joli yang turut menterjemahkan 100 nasihat yang tersingkap dalam kitab Nashaih al-‘Ibad fi Bayan Alfazh Munabbihat ‘ala al-‘Isti‘dad li yaumi al-Ma‘ad karangan Syeikh Nawawi al-Bantani.

Dalam mengulas buku tersebut, beliau berkata, Tenanglah Wahai Hati merupakan sebuah buku yang sangat bermanfaat untuk dihadam bagi menambah serta menguatkan rohani dan jasmani ummah dalam mendepani era yang penuh dengan cabaran.

“Nasihat-nasihat yang dilakarkan merangkumi semua aspek kehidupan. Aspek hubungan manusia dengan al-Khaliq. Hubungan sesama manusia. Semuanya bersumberkan hadis, atsar (peninggalan) sahabat, tabiin dan kalam para-para ulama muktabar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar buku tersebut menjadi panduan serta petunjuk untuk memperkukuh lagi jiwa setiap insan, sejajar dengan tuntutan syariat Islam.

Kredit Foto: Galeri Ilmu Media Group dan Dato’ Dr. Ayman al-Akiti/Facebook
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi