Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Ipoh – Tasawuf bukan ilmu baharu rekaan pihak tertentu sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak dengan melemparkan pelbagai tuduhan, tohmahan dan pendustaan semata-mata untuk mengelirukan orang ramai.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Ayman al-Akiti ketika menyangkal dakwaan tersebut menegaskan, ilmu tasawuf sebenarnya telah wujud sebelum zaman Imam Malik Rahimahullah lagi.
Dengan merujuk beberapa kalam ulama berkenaan, beliau berkata, tasawuf juga turut terkenal pada zaman empat mazhab, iaitu Syafii, Hanafi, Hambali, dan Imam Malik selaku pendiri Mazhab Maliki.
“Misalnya, Syeikh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi, pernah meriwayatkan bahawa perkataan tasawuf sudah wujud pada zaman Hasan al-Basri r.a.
“Imam al-Qushayri pula ada berkata, tasawuf telah muncul pada zaman Imam Malik. Jadi kalau lihat di sini, bermakna tasawuf itu sebenarnya telah ada lebih awal daripada zaman Imam Malik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya pada majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah anjuran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi ialah ulama sufi dan pengarang bagi Kitab al-Luma’, iaitu sebuah kitab tasawuf tertua. Beliau juga digelar sebagai Tawus al-Fuqara yang merujuk kecemerlangan ilmunya, selain kepimpinannya dalam bidang kerohanian.
Manakala, Imam al-Qushayri merupakan salah seorang tokoh yang pernah mencatatkan nama dalam sejarah umat Islam sebagai tokoh tasawuf menerusi karyanya, al-Risalah atau lebih dikenali dengan nama al-Risalah al-Qushayriyyah.
Imam Hasan al-Basri pula seorang ulama besar ahli tasawuf daripada kalangan tabiin, diakui secara meluas sebagai tokoh penting dalam mistik Islam awal dan sufisme.
Ayman al-Akiti, anak Melayu pertama yang memegang Doktor Falsafah dari universiti tertua di dunia, iaitu Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi itu membentangkan kertas kerjanya yang berjudul “Legasi Tasawuf Ulama Mazhab Maliki”.
Bersama-sama beliau ialah Mantan Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam, YBhg. Prof. Dr. al-Habb al-Sayyed Abdul Hamid bin Ali al-Mahdaly al-Husainy al-Azhari yang membentang kertas kerja bertajuk “Integrasi antara Disiplin Ilmu Fiqh dan Disiplin Ilmu Tasawuf menurut al-Imam al-Ghazali”.
Majlis tersebut dikendalikan oleh Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, YBrs. Dr. Azmil Zainal Abidin.
Dalam perkembangan yang sama, Ayman al-Akiti turut menempelak golongan antitasawuf yang sering kali membuat tuduhan negatif tanpa merujuk kitab-kitab daripada sanad yang sahih.
“Ini masalah apabila tidak membaca kitab. Hanya bergantung pada alat (carian melalui laman sesawang). Kita tak boleh menuduh sesuatu itu palsu hanya kerana kita tidak jumpa.
“Tak tahu itu bukan bererti tidak ada,” katanya, yang juga pakar dalam bidang akidah, ilmu kalam, falsafah, tasawuf, kajian manuskrip, fiqah, usul fiqh, dan ilmu falak.
Tegasnya, Imam Malik seorang mujtahid yang mazhabnya sarat dengan unsur-unsur tasawuf selain besar jasanya dalam akidah Asyairah.
“Tidak ada keraguan sumbangan Mazhab Maliki dalam tasawuf, bahkan membela tasawuf adalah termasuk ciri utama daripada legasi Maliki terhadap tasawuf,” tambahnya.