Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Gajah – Kewujudan tarekat tasawuf di Alam Melayu bukan sesuatu yang asing, sebaliknya telah lama berakar dalam tradisi keilmuan dan amalan segenap lapisan masyarakat sejak zaman dahulu lagi.
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Perak, YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Ayman al-Akiti berkata, perkembangan atau sejarah mengenai ilmu tersebut telah tersebar meluas menerusi kitab-kitab lama mahupun baharu.
“Tarekat itu sendiri telah tersebar luas menerusi pelbagai sumber seperti buku-buku, majlis-majlis kuliah, bahkan naskhah-naskhah mengenai ilmu ini ada tersimpan dalam perpustakaan manuskrip.
“Dalam konteks negeri Perak memang kuat mengamalkan tarekat tasawuf. Naskhah-naskhah ilmu mengenainya termasuk naskhah Sultan Alam Iskandar, naskhah Sultan Idris 1 dan lain-lain ada dalam simpanan perpustakaan negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Bicara Tasawuf Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berlangsung di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan baru-baru ini.
Program yang dikendalikan oleh Sdr. Hafiz al-Za’farani itu turut membariskan dua ahli panel iaitu Muhammad Ayman al-Akiti dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, YM Engku Ahmad Fadzil Engku Ali.
Mengulas lanjut, Muhammad Ayman al-Akiti berkata, Syeikh Muhammad Salleh Minangkabau yang pernah menjadi penasihat agama atau syeikhul Islam bagi negeri Perak merupakan seorang pengamal tarekat tasawuf terkenal di Alam Melayu.
Sementara itu, Engku Ahmad Fadzil menegaskan, tanggapan sesetengah pihak kononnya tarekat tasawuf merupakan ajaran sesat adalah tidak benar dan merupakan satu tuduhan tidak berasas semata-mata untuk mengelirukan orang ramai.

“Malangnya perbuatan ini muncul daripada tokoh-tokoh agama yang berpengajian tinggi, ada Master, Phd dan sebagainya tetapi tidak mempelajari ilmu tarekat tasawuf secara mendalam,” katanya.
Tambahnya, malah golongan atau kumpulan berkenaan tanpa rasa takut atau segan silu memperlekehkan tokoh-tokoh tasawuf muktabar seperti imam Ghazali yang digelar sebagai Hujjatul Islam.
“Sehingga ada yang mendakwa kononnya Imam Ghazali itu tidak pandai hadis selain menganggap ajarannya bersifat khayalan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan anti tarekat tasawuf supaya mendalami ilmu mengenainya sebelum menjadi musuh kepada sesuatu yang tidak tahu.
“Timba ilmu agar kita tidak membenci sesuatu kerana kejahilan,” tegasnya.