16 Jun 2023, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Diabetes atau dikenali sebagai penyakit kencing manis merupakan penyakit berbahaya yang memberikan kesan tidak baik pada kesihatan manusia. Diabetes berlaku apabila kadar gula berlebihan dalam peredaran darah kerana badan kurang hormon insulin yang dihasilkan oleh organ dalam tubuh bernama pankreas, yang berfungsi menukarkan gula kepada tenaga. Diabetes dapat dikesan pada peringkat awal melalui tanda-tanda seperti kerap membuang air kecil, kurang keinginan bersama pasangan dan otot menjadi lemah.

Malaysia mencatatkan jumlah penyakit diabetes yang tertinggi di Asia dan kesepuluh tertinggi di dunia. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati peratusan pesakit diabetes meningkat daripada 13.4 peratus pada tahun 2015 kepada 18.3 peratus pada tahun 2019. Hal ini bermakna, sebanyak satu daripada lima orang dewasa yang berusia 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes, bersamaan sebanyak 3.9 juta penduduk Malaysia.

Islam amat mementingkan amalan gaya hidup sihat. Terkandung beberapa ayat al-Quran yang menyeru manusia mengamalkan pemakanan halal dan berkhasiat, iaitu makanan yang dapat menjadi sumber bekalan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk beribadat dan melakukan kegiatan hidup seharian. Firman Allah SWT dalam Surah al-A‘raf ayat 31:

Maksudnya: “Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mendirikan solat). Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”

Ayat ini mengingatkan tentang pengambilan makanan bukan sahaja yang halal, suci dan berkhasiat, bahkan mementingkan tatacara pengambilan makanan, antaranya termasuklah dengan tidak berlebih-lebihan. Pengabaian terhadap tatacara ini, menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit.

Berkaitan dengan hal ini, tiga perkara perlu diberikan perhatian;

  • Pertama: Pemakanan atau diet yang tidak seimbang.

Tubuh yang tidak memperoleh zat makanan seimbang seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian akan mengakibatkan terkumpul lemak yang akan menyeliputi organ dalaman seperti jantung, hati dan usus, seterusnya mengganggu kelancaran peranan organ tersebut dalam tubuh manusia.

  • Kedua: Pengambilan makanan dan gula secara berlebih-lebihan.

Budaya makan secara berlebih-lebihan mengikut nafsu, mengambil makanan yang mengandungi kadar lemak dan gula yang tinggi, kegemaran mengambil kuih-muih, atau minuman yang mengandungi gula yang tinggi seperti teh tarik dan minuman bergas, merupakan penyumbang utama diabetes.

  • Ketiga: Keturunan.

Diabetes ialah penyakit yang turut dipengaruhi oleh keturunan. Anak yang ibu bapa mereka ada mengidap diabetes, menghadapi risiko atau padah lebih tinggi untuk mewarisi penyakit yang sama. Oleh itu, mereka perlu lebih berhati-hati.

Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang merupakan satu daripada cara untuk mencegah diabetes.

Yang berikut merupakan beberapa panduan sebagai langkah pencegahan penyakit ini.

  • Pertama: Memahami ilmu pemakanan yang sihat dan seimbang.

Penting untuk mengambil tahu ilmu pemakanan sihat dan seimbang agar dapat mengenal pasti bahan makanan dan jumlah kalori (tenaga makanan) yang diperlukan oleh tubuh dalam sehari. Pengetahuan tersebut boleh dijadikan panduan untuk mengawal cara pemakanan harian ahli keluarga supaya tidak mengambil makanan melebihi had yang diperlukan. Masjid-masjid disarankan menganjurkan majlis ceramah dengan menjemput pakar bidang pemakanan untuk mencapai penerangan mengenai pemakanan.

  • Kedua: Mengamalkan gaya hidup cergas.

Islam menggalakkan umatnya bersenam dan beriadah. Solat merupakan satu daripada riadah yang dilaksanakan dengan penuh berseni dan setiap pergerakan membawa makna dan manfaat kepada tubuh manusia. Bersenam antara cara mudah untuk mengawal paras gula dan membakar lemak dalam badan.

Rasulullah SAW banyak berjalan dalam kehidupan seharian Baginda. Pada kebiasaannya, langkah Baginda adalah cepat dan cergas sepertimana hadis riwayat al-Tirmidzi:

Maksudnya: “Apabila Baginda berjalan, langkahan Baginda cergas seperti gaya orang berjalan turun dari tempat tinggi.”

Berjalan membantu membakar lemak, membolehkan badan memproses gula dengan baik, sekali gus dapat membantu menurunkan berat badan. Berjalan turut membantu mengurangkan tekanan darah, merangsang hormon endorfin (iaitu hormon kegembiraan), lantas menjadikan kehidupan lebih ceria. Banyakkan berjalan pada setiap hari, dengan sengaja meletak kenderaan lebih jauh daripada tempat yang dituju ketika ke tempat kerja, pasar, kedai, atau ke masjid.

  • Ketiga: Berpuasa sunat.

Antara sunah Nabi Muhammad SAW termasuklah puasa sunat tiga hari pada setiap bulan, iaitu pada hari putih, atau puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal dan pada hari tertentu seperti Hari Asyura dan Hari Arafah.

Selain kelebihan pahala, amalan berpuasa dapat meningkatkan tahap kesihatan seseorang dan mencegah diabetes. Kajian menunjukkan berpuasa dapat merehatkan sistem pencernaan, dan pada masa yang sama dapat membersihkan toksin, juga merendahkan kadar gula dalam darah.

  • Keempat: Patuhi piramid makanan.

Piramid makanan merupakan rujukan bagi setiap orang untuk mengawal kuantiti bagi setiap jenis makanan yang disajikan pada setiap hari. Kumpulan makanan jenis sayur-sayuran dan buah-buahan diletakkan pada dasar piramid, menjadikannya makanan yang perlu diambil paling banyak. Pada tingkat yang kedua pula ialah nasi dan bijirin. Pada tingkat ketiga, makanan berunsur protein dan tenusu, seterusnya pada tingkat yang keempat, iaitu yang paling kurang pengambilannya ialah jenis makanan berminyak, berlemak, tinggi gula ataupun garam.

  • Kelima: Melakukan saringan kesihatan secara berkala.

Langkah pencegahan dapat dilakukan jika penyakit dapat dikesan pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, lakukan saringan kesihatan secara berkala atau berjadual agar dapat membantu mengesan penyakit pada peringkat awal ketika masih belum mudarat.

Menjelang 10 hari pertama bulan Zulhijah, umat Islam diingatkan tentang kelebihan dan ganjaran yang terkandung pada 10 hari tersebut. Oleh itu, perbanyakkan amalan soleh yang mendekatkan diri kepada Ilahi. Antaranya, ummah disarankan untuk berpuasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijah, setidak-tidaknya berpuasa sunat pada 9 Zulhijah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha. Bagi yang berkemampuan, digalakkan melakukan ibadat korban sebagai bukti kehambaan dan kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniakanlah kesihatan yang berpanjangan kepada kami dan ahli keluarga kami. Bimbing kami untuk menjalani cara hidup sihat yang membantu kami berupaya menyempurnakan ibadat kepada-Mu, memenuhi tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 16 Jun 2023, bertajuk “Jauhi Diabetes – Amalkan Gaya Hidup Sihat”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.