Diterbitkan pada 4 September 2025, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Penubuhan Jilsah Turuq Sufiah atau Majlis Tarekat Sufi di seluruh negara adalah wajar bagi mengawal selia hal ehwal berkenaan ilmu tasawuf yang sekarang ini dicemari dengan pelbagai persepsi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Majlis Kebangsaan Islam bagi Hal Ehwal Islam, YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Afifi al-Akiti berkata, penubuhan badan itu sangat penting bagi mengelak ketempangan dalam memahami cabang-cabang ilmu agama khususnya yang berkaitan dengan kesufian.

“Jika di Mesir, al-Azhar sudah ada badan seumpamanya yang terkenal dengan sufi council. Di Indonedia pula ada Jamiah Thoriqoh Mu’tabaroh An-Nahdliyah (JATMAN).

“Hidup atau penghayatan sebagai seorang Muslim Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak lengkap tanpa tasawuf, kerana Islam itu merangkumi, iman, Islam dan ihsan,” katanya yang juga Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, England.

Afifi al-Akiti berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian penutupan Festival Kota Sufi Se-Nusantara 3.0 di Sabah baru-baru ini.

Festival yang sarat dengan aktiviti pengisian rohani termasuk majlis ilmu dan zikir itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Rabithah Masyaikh Sufiah dan badan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, penubuhan badan tersebut yang berperanan menangani kepincangan, kemaslahatan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah amat wajar dan sangat penting dalam sebuah negara Islam.

“Badan kawal selia penggubalan enakmen tasawuf amat signifikan bagi memastikan kepentingan, kesejahteraan serta kemaslahatan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pentadbiran sebuah kerajaan Islam,” katanya.

Sabah antara negeri terkini yang sedang berusaha memperkasakan pemahaman tasawuf setelah badan atau jilsah tersebut berjaya ditubuhkan di Negeri Sembilan dan Pahang.

Antara lain, penubuhan Jilsah Turuq Sufiah bertujuan untuk menghidupkan semangat tasawuf dalam diri setiap insan selain menjadi medan kefahaman yang lebih mendalam terhadap ilmu dan sejarah penyebaran ilmu tarekat di Nusantara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi