Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradhawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pada 21 Julai 2026.
Seminar tersebut bakal mengangkat isu fiqh kenegaraan serta nilai dan aspirasi pembinaan Malaysia MADANI sebagai agenda utama perbincangan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Jaringan Global UniSIRAJ, YBrs. Profesor Dr. Asyraf Isyraqi Jamil, penganjuran ini menjadi wadah penting untuk mengangkat legasi pemikiran Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, khususnya dalam aspek penyediaan penyelesaian tuntas terhadap pelbagai isu kenegaraan yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini.
Bagi merealisasikan tumpuan tersebut, Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin akan menyampaikan ucaptama bertajuk “Fiqh al-Daulah” (Fiqh Kenegaraan) bagi membimbing umat Islam memahami peranan kenegaraan dan semangat patriotik secara jelas berdasarkan panduan al-Quran dan sunah.
Selain itu, pengisian seminar turut melibatkan perbincangan tentang fiqh al-jihad dan persembahan monolog khas riwayat hidup tokoh Yusuf al-Qaradhawi yang dipersembahkan oleh artis ternama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Canselori UniSIRAJ, Encik Muhammad Syazwan Ahmad mengupas secara mendalam tentang titik temu antara pemikiran figura ilmuwan tersebut dengan konsep pembangunan negara MADANI.
Beliau menegaskan bahawa falsafah yang diperjuangkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpaksikan maqasid syariah, fiqh keutamaan serta prinsip kesederhanaan yang selaras dengan aspirasi pembentukan Malaysia MADANI.
Encik Muhammad Syazwan Ahmad turut berkongsi analogi bahawa pembinaan tamadun MADANI yang kukuh ibarat sebuah bangunan yang memerlukan asas yang teguh.
Beliau berkata,
Kekuatan sesebuah tamadun tidak terletak pada ketinggian bangunan semata-mata, sebaliknya pada kekuatan ilmu yang hidup dan berkembang dalam masyarakat.
“Sinergi strategik antara UniSIRAJ dengan DBP ini menjadi platform penting untuk mengintegrasikan kekuatan ilmu dan asas penyebaran tersebut,” jelas beliau.
Penganjuran seminar ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada masyarakat apabila kuota sebanyak 500 tempat duduk yang disediakan telah dipenuhi dalam masa dua hari selepas pendaftaran dibuka kepada khalayak.