Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus tekal memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wahana penyampaian pemikiran tinggi, selaras dengan iltizamnya sebagai institusi perancangan bahasa dan persuratan negara yang menyuburkan budaya ilmu serta memperkaya khazanah intelektual masyarakat.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata, penganjuran wacana dan seminar yang mengangkat pemikiran tokoh ilmuwan dunia, termasuk sarjana Islam tersohor, merupakan gambaran jelas terhadap iltizam berterusan DBP sebagai penyambung legasi pemikiran yang dinamik.
“Berpaksikan tekad untuk mencerdaskan minda watan serta menyuburkan budaya fikir yang tinggi, DBP akan terus tekal menyebarkan khazanah ilmu melalui bahasa kebangsaan.
“Usaha ini penting bagi memastikan bahasa Melayu terus berdaulat sebagai bahasa pengungkapan ilmu-ilmu tinggi demi manfaat masyarakat keseluruhannya,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi yang berlangsung di Balai Tun Syed Nasir Wisma DBP, pagi tadi.

“DBP sebagai institusi perancangan bahasa dan persuratan negara sentiasa menjunjung amanah untuk memperkaya khazanah ilmu melalui penerbitan, penterjemahan, serta penyebarluasan karya pemikir agung dunia, termasuklah tokoh Islam tersohor seperti Yusuf al-Qaradawi.
“Usaha ini amat penting bagi memastikan masyarakat memperoleh akses kepada wacana ilmu yang sahih, berautoriti dan membina jati diri ummah,” katanya.
Jelas YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar, tokoh ulung Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi merupakan seorang sarjana Islam yang amat besar sumbangannya dalam memperkasakan pemikiran wasatiyah, memperteguh kefahaman syariah, serta mengharmonikan hubungan antara tradisi dengan kemodenan dalam dunia Islam pada hari ini.
“Pemikiran beliau yang sederhana, berimbang dan berpaksikan maqasid syariah menjadi panduan penting kepada umat Islam dalam mendepani cabaran semasa, cabaran global pada hari ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran seminar seperti ini bukan sahaja mengangkat ketokohan seorang ilmuwan, malah menjadi wahana penting bagi memupuk budaya ilmu, memperhalus pemikiran kritis, serta menyuburkan tradisi keilmuan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Dalam konteks ini, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu terus diperkasakan agar mampu menjadi wahana penyampaian pemikiran tinggi dan wacana intelektual bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Seminar tersebut turut dihadiri oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSIRAJ, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran; serta Naib Canselor UniSIRAJ, YBrs. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.