Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan meluluskan peruntukan dana sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran al-Qaradawi (IPQ) bagi menyokong penubuhannya.
Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi 2026 dan Institut Pemikiran al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Selasa.
Menurut beliau, peruntukan tersebut sebagai komitmen dan dukungan pihak kerajaan dalam usaha mengangkat wacana keilmuan tokoh ulama kontemporari dunia, Yusuf al-Qaradawi.
Beliau menyifatkan penubuhan IPQ di Malaysia merupakan sebuah inisiatif yang besar memandangkan hal tersebut bukan suatu usaha yang mudah untuk direalisasikan selain negara Qatar.
“Malaysia dengan keadaan yang aman dan dana yang ada, kita akan memberikan segala dukungan yang diperlukan untuk menjayakannya supaya ada usaha pencerahan,” katanya.
Tambah YAB Dato’ Seri Anwar, al-Qaradawi merupakan seorang pencetus perubahan dan susuk pemikir ulung dunia Islam yang membawa aliran pemikiran terbuka serta selari dengan tuntutan zaman.
Beliau turut menekankan kepentingan menelusuri karya al-Qaradawi secara menyeluruh, terutamanya naskhah Fiqh al-Daulah (Fiqh Kenegaraan) yang sangat relevan dengan realiti masyarakat semasa.
Beliau turut menegur kecenderungan segelintir pihak yang menukilkan pandangan tokoh tersebut di luar konteks sebenar, yang pada akhirnya membawa kepada pemahaman yang jumud dan tidak bertoleransi.
“Bagi saya, hal ini suatu permasalahan yang besar kerana bagaimanakah kita mampu mengangkat martabat umat sekiranya kerangka pemikiran besar beliau tidak dipersetujui bersama?
“Kekuatan Islam itu terletak pada sifat rahmat buat seluruh alam yang memberikan keyakinan kepada semua pihak berasa dimuliakan dan dihormati,” tegas beliau.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), YBrs. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dalam ucapannya berkata, penubuhan IPQ di bawah universiti tersebut merupakan langkah strategik untuk mengembangkan metodologi pemikiran al-Qaradawi yang mengimbangkan antara nas syarak dengan realiti semasa.
Ujar beliau, antara legasi yang terpenting tokoh tersebut termasuklah pendekatan al-taysir, iaitu memudahkan urusan umat Islam tanpa menyalahi prinsip syarak.
“IPQ dihasratkan agar menjadi platform yang menghimpunkan para sarjana, penyelidik dan mahasiswa dari dalam serta luar negara bagi memperkaya wacana pemikiran Islam kontemporari melalui penyelidikan, penerbitan ilmiah, persidangan, dan jaringan akademik.
“Institut ini juga diharapkan mampu meletakkan UniSIRAJ sebagai pusat rujukan antarabangsa dalam kajian pemikiran al-Qaradawi, serta pembangunan fiqh semasa yang responsif terhadap keperluan masyarakat,” ujar beliau.
Penganjuran Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi 2026 merupakan inisiatif strategik UniSIRAJ dengan kerjasama DBP sebagai wadah memperkukuh tradisi keilmuan melalui penyelidikan, penerbitan dan wacana ilmiah.
Majlis perasmian tersebut turut diserikan dengan kehadiran Mufti Negeri Perlis, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari.