Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sistem demokrasi mampu berfungsi sebagai mekanisme penting bagi mencegah kezaliman pemerintah, selaras dengan prinsip Islam yang menolak penindasan.
Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddindan (UniSIRAJ), YBrs. Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle menyatakan bahawa Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi melihat demokrasi bukan sebagai sistem yang bertentangan dengan Islam, sebaliknya sebagai alat yang boleh dimanfaatkan.
Beliau berkata demikian semasa forum Pemikiran al-Qaradawi dalam Pembinaan Negara MADANI yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
“Islam menentang kezaliman. Jika demokrasi mampu menghalang kezaliman, maka cara ini boleh diterima sebagai satu mekanisme,” ujar beliau.
Menurut beliau, al-Qaradawi juga melihat politik sebagai ruang ijtihad yang terbuka, iaitu pendekatan dan sistem yang boleh berubah mengikut keperluan semasa.
Perkara ini menunjukkan tiada satu bentuk sistem politik yang dianggap mutlak selagi prinsip asas seperti keadilan dan kebajikan rakyat dapat dipelihara.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa pendekatan al-Qaradawi menolak sikap jumud, iaitu enggan menerima perubahan bagi memahami teks agama, khususnya dalam hal berkaitan dengan pentadbiran negara.
Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa al-Qaradawi menggalakkan penyesuaian hukum berdasarkan konteks semasa tanpa mengabaikan prinsip syariah.
Dr. Muhamad Rozaimi turut menjelaskan bahawa pelaksanaan hukum Islam perlu dilakukan secara berperingkat atau tadarruj, dengan mengambil kira tahap kefahaman, kesiapsiagaan, serta penerimaan masyarakat agar pelaksanaannya dapat berjalan dengan lebih berkesan, berhikmah dan tidak menimbulkan kejutan atau penolakan dalam kalangan rakyat.
“Perubahan tidak boleh dilakukan secara mendadak tanpa mengambil kira tahap kefahaman dan kesiapsiagaan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan contoh berkaitan dengan sejarah Islam yang menunjukkan pendekatan berperingkat dalam pelaksanaan sesuatu hukum boleh diterima umum seperti pelaksanaan hukum pengharaman arak yang dinyatakan dalam al-Quran.