Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMakkah – Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya menerima Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut.
Lebih membanggakan, TH turut mengekalkan Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa model pengurusan haji Malaysia kekal relevan, berdaya saing dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada TH, tetapi juga pengiktirafan terhadap keseluruhan ekosistem pengurusan haji Malaysia yang dibangunkan sejak puluhan tahun,” katanya.
Menurut beliau, hal tersebut merangkumi persiapan sebelum berlepas, pengurusan di tanah suci, aspek kebajikan, perubatan, bimbingan ibadah dan perkhidmatan selepas jemaah pulang ke tanah air.
Tambah beliau lagi, antara faktor penyumbang kepada kejayaan berterusan termasuklah budaya penambahbaikan yang menjadi amalan TH pada setiap kali musim haji berakhir.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud; Putera Mahkota dan Perdana Menteri, Mohammed bin Salman, serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah atas pelbagai transformasi yang dilaksanakan dalam pengurusan haji.
Anugerah Labbaitom merupakan pengiktirafan tahunan yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada pengurus jemaah haji dari seluruh dunia yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan haji.
Sementara itu, pihak TH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para jemaah haji Malaysia atas kepercayaan yang diberikan, para pendeposit atas sokongan yang berterusan serta rakan strategik atas kerjasama dan komitmen yang menyumbang kepada pencapaian bersejarah ini.
Pengiktirafan berkenaan akan terus menjadi pemangkin kepada TH untuk mempertingkat mutu perkhidmatan dan mengekalkan kecemerlangan pengurusan haji negara.