Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Konsep fiqh al-muwatanah (fiqh kewarganegaraan) yang diperkenalkan oleh ulama tersohor, Syeikh Yusuf al-Qaradawi menawarkan satu kerangka yang menyatukan identiti keagamaan, tanggungjawab kenegaraan dan keadilan sosial dalam pembinaan sebuah negara yang harmoni, adil serta berperlembagaan.
Perkara itu dibentangkan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin dalam sesi pembentangan bertajuk “Peranan Fiqh al-Muwatanah di Sisi al-Qaradawi dalam Pembentukan Masyarakat MADANI” bersempena dengan Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi tadi.
Menurut beliau, al-Qaradawi menegaskan bahawa kesetiaan politik kepada negara dan pemerintah yang sah tidak bercanggah dengan kesetiaan akidah kepada Islam.
Seseorang Muslim mampu menjadi warganegara yang setia tanpa menjejaskan komitmennya terhadap agama.
Beliau berkata, konsep kewarganegaraan yang diketengahkan oleh al-Qaradawi berasaskan maqasid syariah yang merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah manusia.
Beliau menjelaskan, semua objektif tersebut hanya dapat direalisasikan melalui kewujudan sebuah negara yang aman, stabil, adil dan memiliki sistem pemerintahan yang baik.
“Fiqh kewarganegaraan menurut al-Qaradawi menawarkan kerangka Islam yang menggabungkan identiti keagamaan, tanggungjawab kenegaraan, keadilan sosial dan maqasid syariah dalam pengurusan masyarakat majmuk secara adil,” katanya.
Dalam pembentangannya, YBrs. Dr. Abu Hafiz turut menjelaskan bahawa al-Qaradawi mengkritik bentuk nasionalisme yang melampau sehingga mengatasi kecintaan kepada Allah SWT dan agama.
Beliau memberikan contoh kritikan al-Qaradawi terhadap beberapa karya penyair Arab yang mengangkat kecintaan kepada tanah air secara berlebih-lebihan sehingga dilihat boleh menjejaskan kedudukan akidah.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa al-Qaradawi tidak menolak semangat patriotisme, sebaliknya menolak fahaman yang meletakkan negara mengatasi prinsip agama.
Mengaitkan pemikiran tersebut dengan gagasan Malaysia MADANI, YBrs. Dr. Abu Hafiz berkata, konsep itu mempunyai persamaan dengan gagasan yang dihuraikan oleh al-Qaradawi menerusi karya Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam (Pemahaman tentang Kenegaraan dalam Islam).
Menurut beliau, al-Qaradawi menggunakan istilah Daulah Madaniyyah Marji’uha al-Islam, iaitu negara “madani” yang menjadikan Islam sebagai asas rujukan dalam pembentukan dasar, perundangan dan pentadbiran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa negara “madani” menurut al-Qaradawi bukanlah sebuah negara teokrasi yang memberikan kuasa mutlak kepada golongan agamawan untuk mengawal kehidupan rakyat atas nama hak ketuhanan (divine rights).
Sebaliknya, katanya, sistem politik Islam menurut al-Qaradawi perlulah bersifat anjal dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa selagi tidak bercanggah dengan prinsip syariah.
YBrs. Dr. Abu Hafiz turut mengupas pandangan ulama seperti Ibn ‘Aqil al-Hanbali yang menjelaskan bahawa pelaksanaan politik Islam tidak semestinya meniru bentuk yang sama seperti pada zaman awal Islam, sebaliknya hal yang lebih penting ialah usaha mengekalkan semangat al-Quran dan sunah melalui pelaksanaan keadilan, kesaksamaan, kesejahteraan serta mengelakkan kezaliman.
Mengakhiri pembentangan, beliau mengingatkan agar agama tidak dijadikan alat politik bagi meraih sokongan, khususnya dalam suasana politik negara.
“Setiap perkataan yang ingin disandarkan kepada agama perlu melalui kefahaman yang tepat dan selari dengan syarak kerana amalan sebegitu bukan sekadar untuk memenangi hati pengundi, tetapi perlu dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT,” katanya.