Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ibadah korban terus menjadi asbab semangat kebersamaan dalam kalangan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pelibatan sebanyak 55 orang sukarelawan yang tampil menjayakan program tersebut.
Majlis Ibadah Korban DBP 2026 telah dilaksanakan menerusi Surau Al-Hukama’ DBP bersama-sama dengan Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Bahagian Keluarga DBP dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) DBP di Pekarangan Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.
Majlis yang penuh keberkatan ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak jawatankuasa surau atas komitmen berterusan dalam penganjuran program keagamaan yang memberikan manfaat besar terhadap karyawan DBP serta ahli kariah Surau Al-Hukama’.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hukama’ DBP, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada pihak pengurusan tertinggi DBP terhadap usaha murni tersebut.
“Kesudian Pengerusi Lembaga Pengelola dan Ketua Pengarah DBP untuk bersama-sama menjayakan program ini amat kami hargai kerana tanpa sokongan pihak pengurusan, program ini mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya,” jelas beliau.

Majlis Ibadah Korban DBP telah dilangsungkan untuk tahun kelima, dan tahun ini menyaksikan sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan.
Pengagihan daging korban dilakukan kepada penerima yang layak, terdiri daripada asnaf kariah Surau Al-Hukama’ DBP dan staf DBP.

Yang turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengerusi PUSPANITA DBP, Puan Hajah Azrina Hashim; Mantan Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Encik M. Azahari Edin; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; dan Ketua Bahagian Buku Bahasa, YBrs. Puan Noraini Shukor.