Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar reformasi yang menyeluruh dilakukan dalam pengurusan dana umat Islam susulan penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengannya berskala besar.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kes berkenaan tidak wajar dilihat sebagai jenayah individu semata-mata kerana perkara tersebut mencerminkan kelemahan sistem tadbir urus yang membabitkan dana masyarakat.
“Kes ini bukan hanya tentang individu, tetapi petanda masalah lebih besar dalam pengurusan amanah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, masalah tersebut meliputi kawalan dalaman yang lemah, pemantauan tidak menyeluruh serta ketiadaan prosedur tatakelola yang seragam.
“Jika perkara ini tidak diperbaik, risiko kejadian berulang akan terus wujud,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa, di samping memastikan prinsip keadilan terus dipelihara.
“Semua pihak perlu memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan secara telus dan profesional.
“Jika terbukti berlaku penyelewengan, tindakan tegas perlu diambil kerana perkara ini melibatkan amanah umat,” tegasnya dalam kenyataan tersebut.
“Apabila berlaku ketirisan, maka kesannya bukan sahaja kepada angka, malah terhadap kepercayaan masyarakat dan nasib mereka yang sepatutnya dibantu,” jelasnya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa reformasi sektor pengurusan dana umat tidak boleh ditangguhkan.
Reformasi tersebut termasuk cadangan menubuhkan badan pemantau seperti Suruhanjaya Amal Malaysia.
“Langkah ini penting bagi memastikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi kebajikan beroperasi dengan lebih telus dan berintegriti,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar kutipan dana umat merentas negeri atau di luar kawasan asal diselaraskan melalui mekanisme pewartaan, garis panduan seragam dan pemantauan berkala secara konsisten.
“Langkah sedemikian bukan bertujuan untuk menyekat, tetapi bagi melindungi amanah masyarakat, serta memastikan bantuan sampai kepada mereka yang berhak,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa usaha mengukuhkan integriti pada semua peringkat perlu dilaksanakan kerana setiap dana umat melibatkan hak golongan yang memerlukan.
“Kepercayaan masyarakat merupakan asas dalam segala kerja kemasyarakatan dan hal ini mesti dipelihara dengan penuh amanah,” katanya.