Diterbitkan pada 18 April 2026, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) menegaskan bahawa kebebasan berkarya dan berekspresi dalam lapangan seni perlu disertai dengan rasa tanggungjawab sosial serta penghormatan terhadap norma masyarakat.

Yang Dipertua YADIM, YBhg. Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, karya seni seharusnya menjadi medium yang mendidik, membina akhlak, memperkukuh institusi keluarga dan menyampaikan mesej yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, seni tidak wajar dijadikan medan untuk mencetuskan polemik yang tidak sihat, terutamanya apabila melibatkan institusi pendidikan yang berperanan membentuk generasi masa hadapan.

Tambah beliau, dalam kerangka Malaysia MADANI, nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan perlu dijadikan panduan dalam penghasilan kandungan seni dan hiburan.

“Semua pihak termasuk penganjur, penggiat seni dan institusi pendidikan diseru agar lebih bertanggungjawab bagi memastikan setiap karya yang dihasilkan selari dengan nilai murni masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa YADIM memandang serius isu adegan lakonan di ranjang dalam pementasan teater yang melibatkan penuntut sebuah universiti, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, insiden berkenaan bukan sekadar polemik seni, tetapi mencerminkan cabaran sebenar bagi mengimbangi kebebasan berkarya dengan tanggungjawab moral, khususnya dalam konteks sebuah negara yang berteraskan nilai agama, budaya dan adab ketimuran.

Sebagai langkah proaktif untuk menyantuni isu seumpama ini, beliau berkata YADIM mengambil pendekatan yang mendidik melalui inisiatif Layar Dakwah YADIM (LDY).

Menerusi inisiatif tersebut, pihaknya komited untuk membangunkan ekosistem seni yang berteraskan nilai Islam dengan pendekatan dakwah yang kreatif.

Tambah beliau, LDY bukan sekadar bertindak sebagai platform tayangan, tetapi turut menjadi medan pembinaan bakat yang melatih dan membimbing pengkarya agar menghasilkan karya seni yang berkualiti, berpengaruh dan patuh syariah.

Beliau berkata lagi, program ini merangkumi penghasilan kandungan visual, penerbitan filem pendek, forum, diskusi serta latihan industri yang memberikan pendedahan kepada penggiat seni berhubung dengan kaedah penyampaian mesej Islam secara berhikmah, relevan dan menyentuh jiwa tanpa mengabaikan nilai estetika.

Jelasnya, LDY diharapkan mampu menjadi platform terbaik bagi industri seni untuk memperkukuh kefahaman masyarakat bahawa bidang seni dan hiburan boleh bergerak seiring dengan nilai agama, pemantapan akhlak dan pembinaan insan.

Pada masa yang sama, YADIM menyeru seluruh masyarakat untuk menilai setiap bentuk hiburan dengan kebijaksanaan berlandaskan ilmu, adab dan tanggungjawab bersama demi memastikan landskap seni negara berkembang secara sihat, bermaruah serta mendukung aspirasi Malaysia MADANI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi