Diterbitkan pada 3 April 2026, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Islam meletakkan asas yang kukuh agar setiap manusia menjaga kesejahteraan hidup melalui gabungan wahyu, sunnah dan panduan para ulama.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan makan dan minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Surah al-A‘raf 7:31).

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT melarang hamba-Nya makan dan minum secara berlebihan; diperkukuh dengan sabda Rasulullah SAW yang menganjurkan pembahagian perut kepada sepertiga makanan, minuman dan pernafasan; dihuraikan dengan lebih mendalam oleh Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din yang menegaskan bahawa berlebih-lebihan dalam pemakanan boleh merosakkan kesihatan jasmani dan rohani.

Kesemua peringatan tersebut bertepatan dengan kaedah fiqh la darar wa la dirar, yang bermaksud tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan. Kaedah ini menuntut agar segala bentuk kemudaratan dielakkan, sama ada terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

Pengambilan gula secara berlebih-lebihan umpamanya, boleh membawa kepada penyakit diabetes yang merupakan satu kemudaratan yang ditegah oleh syarak. Kemudaratan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan seseorang, bahkan turut memberikan beban terhadap keluarga dan masyarakat.

Oleh itu, dengan mengamalkan pemakanan secara sederhana dan mengawal pengambilan gula, kita sebenarnya memenuhi tuntutan syariah untuk memelihara nyawa (hifz al-nafs), sekali gus berupaya menyeimbangkan kesihatan tubuh badan, kekuatan beribadah dan keberkatan hidup di sisi Allah SWT.

Diabetes atau lebih dikenali dalam masyarakat Melayu dengan istilah kencing manis, merupakan satu masalah kesihatan memudaratkan yang merosakkan keupayaan tubuh untuk memproses glukosa (atau gula) dalam darah sehingga mengakibatkan tahap gula dalam darah menjadi tinggi daripada biasa. Diabetes berkemungkinan mengheret pesakit untuk berhadapan dengan masalah jantung, kerosakan saraf, kelemahan otot dan kabur penglihatan.

Maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan, ketika ini, terdapat 3.6 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mengidap penyakit diabetes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 113 540 orang pesakit diabetes direkodkan berdaftar bagi mendapatkan rawatan di pusat kesihatan dan hospital kerajaan, khususnya di Perak.

 

Apakah punca penyakit diabetes?

  • Pertama: Pengambilan gula, lemak dan makanan berkalori tinggi secara berlebihan.
  • Kedua: Pemakanan yang tidak seimbang.
  • Ketiga: Gaya hidup tidak sihat dan kurang aktif.
  • Keempat: Berat badan berlebihan atau obesiti.
  • Kelima: Keturunan
  • Keenam: Mengalami tekanan hidup yang keterlaluan.

 

Apakah pula tanda-tanda awal pesakit diabetes?

  • Pertama: Kerap membuang air kecil (terutama pada waktu malam).
  • Kedua: Dahaga yang melampau.
  • Ketiga: Cepat berasa lapar.
  • Keempat: Keletihan melampau.
  • Kelima: Penurunan berat badan secara mendadak.
  • Keenam: Pandangan kabur.
  • Ketujuh: Luka lambat sembuh.
  • Kelapan: Rasa kebas di kaki dan di tangan.

 

Pakar perubatan memberikan nasihat yang berikut untuk menghindari dan sebagai langkah pencegahan penyakit diabetes:

  • Pertama: Disebabkan penyakit diabetes kebiasaannya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal dan hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan, penting untuk kita melakukan pemeriksaan kesihatan awal dan secara berkala.
  • Kedua: Mengawal berat badan supaya tidak menjadi gemuk atau obesiti.
  • Ketiga: Amalkan pemakanan sihat dan seimbang mengandungi serat yang tinggi seperti sayur, ulam, buah-buahan dan kekacang. Pilih karbohidrat kompleks seperti nasi perang, roti gandum penuh dan bijirin penuh. Elakkan diri daripada mengambil lemak tepu melalui makanan bergoreng. Elakkan makanan yang diproses seperti sosej dan bakon, begitu juga makanan segera.
  • Keempat: Banyak minum air kosong, dinasihatkan sekurang-kurangnya lapan gelas sehari semalam, dan kurang mengambil minuman bergula, bersoda dan berkarbonat.
  • Kelima: Bersenam secara kerap, sama ada berjalan pantas, berbasikal, atau berenang sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu.
  • Keenam: Mengamalkan tidur dan rehat yang cukup.
  • Ketujuh: Berpuasa sunat, disarankan dua hari setiap minggu.

Tubuh badan ialah amanah Allah SWT yang wajib dijaga agar kita dapat beribadah dengan sempurna, di samping berupaya melaksanakan kerja dan menjalani kehidupan dengan baik. Sayangilah tubuh badan kita, disegarkan dengan gaya hidup yang sihat, melalui pemakanan yang sihat lagi seimbang, riadah, rehat, tidur yang cukup, di samping mengawal emosi dengan beribadah mendampingkan diri kepadaAllah SWT dengan membaca al-Quran dan berzikir.

Elakkan dan hentikan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan dan merosakkan anggota tubuh badan seperti merokok, mengambil dadah, meminum minuman keras, berfoya-foya dan berjaga malam.

Sempena masih berada dalam bulan Syawal, umat Islam diseru agar melaksanakan ibadah sunat puasa enam bagi meraih fadilat seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, seumpama berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1164).


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 3 April 2026, bertajuk “Menghindari Penyakit Diabetes”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi