Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia, (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa solat Hari Raya Aidilfitri di seluruh Perlis perlu dilaksanakan di tanah lapang (musolla) dengan ketetapan waktu solat bermula pada pukul 7.45 pagi hingga pukul 8.15 pagi.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut baginda, setiap jawatankuasa kariah perlu memastikan bahawa maklumat berkaitan dengan waktu solat dihebahkan dengan sebaik-baik mungkin.

Titah baginda, “Pemilihan tanah lapang tertakluk pada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing di seluruh negeri Perlis.”

“Pelaksanaan solat raya di kawasan terbuka ini selaras dengan tuntutan dan amalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga menitahkan agar pihak jawatankuasa kariah mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam masjid sekiranya terdapat keperluan, bergantung pada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.

Baginda turut mengingatkan bahawa sebarang cadangan untuk melaksanakan solat Aidilfitri di lokasi selain tanah lapang (musolla), seperti di surau rasmi negeri Perlis, mestilah dirujuk kepada jawatankuasa kariah masjid dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) terlebih dahulu.

“Sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, solat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.

“Hebahan berkaitan dengan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh jawatankuasa kariah masjid pada pukul 7.45 pagi,” titah bagida.

Pada masa yang sama, baginda menitahkan bahawa bagi pelaksanaan solat Aidilfitri di kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8.00 pagi.

“Solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga menegaskan bahawa pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan dengan pelaksanaan solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Baginda menasihatkan agar para jemaah membawa sejadah masing-masing dan mengambil wuduk dari rumah, di samping turut menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi golongan yang mempunyai keuzuran kesihatan.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan kepada seluruh rakyat agar menggunakan kesempatan Aidilfitri untuk kembali bermuhasabah diri, membasahi lidah dengan istighfar, serta mengagungkan kebesaran Ilahi melalui takbir, tahmid dan tahlil.

Tuanku Raja Muda Perlis berkesempatan menyempurnakan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, untuk menzahirkan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada seluruh rakyat.

Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan solat Aidilfitri, sila hubungi pihak JAIPs melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi dalam laman Facebook, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi