Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Nasyrul Quran pada Isnin sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa inisiatif tadabur al-Quran pada peringkat nasional.

Mushaf berkenaan merupakan antara mushaf al-Quran hibrid terawal di negara ini yang menggabungkan keindahan seni khat dengan inovasi digital bagi membolehkan masyarakat menghayatinya secara lebih interaktif selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Menurut YAB Dato’ Seri Anwar, usaha memartabatkan negara dari segi ekonomi, sosial dan kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada asas nilai hidup manusia yang berteraskan keyakinan agama.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan negara perlu berteraskan al-Quran sebagai panduan utama untuk membentuk generasi yang berakhlak serta berintegriti daripada nilai agama dan kemanusiaan yang berkualiti.

“Keghairahan mengejar perubahan dan kemajuan termasuklah teknologi baharu tidak akan membawa makna sekiranya nilai kemanusiaan diketepikan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji usaha Yayasan Restu dan Nasyrul Quran yang berjaya merealisasikan penerbitan Mushaf Malaysia MADANI, sekali gus memperkukuh usaha memartabatkan al-Quran pada peringkat antarabangsa.

Merujuk insiden pembakaran kitab suci itu di Sweden sebelum ini, beliau berhasrat untuk memilih pendekatan yang berbeza dengan mencetak sejuta al-Quran dan mengedarkannya ke seluruh dunia.

“Anda bakar satu al-Quran, kami akan cetak sejuta al-Quran dan sebarkannya ke seluruh dunia,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, beliau berkesempatan menyempurnakan sesi perlepasan kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf Satu Juta al-Quran yang mengandungi terjemahan dalam beberapa bahasa untuk komuniti Muslim di luar negara.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika acara perlepasan satu kontena al-Quran.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan pembangunan Madinatul Quran yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat penerbitan mushaf, malah berpotensi menjadi institusi pengajian dan penyelidikan al-Quran utama di rantau ini melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk universiti tempatan.

Beliau menzahirkan harapan agar inisiatif tersebut dapat melahirkan generasi yang menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan dan pembangunan negara.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof serta Pengerusi Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran YBhg. Datuk Dr. Abdul Latiff Mirasa, barisan menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan, wakil kerajaan negeri serta perwakilan asing.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi