Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelancaran inisiatif Hentian Barakah (Barakah Pit Stop) di Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa menyediakan ruang rehat kepada para penunggang motosikal dan pemandu p-hailing (penghantar makanan dan bungkusan).

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Menurut Dr. Zulkifli, tempat tersebut dibangunkan sebagai persinggahan untuk berehat, mengecas alat peranti, menikmati makanan dan minuman percuma (ketika bukan bulan Ramadan) serta memudahkan mereka untuk menunaikan solat di masjid.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama-sama dengan para penghatar makanan dalam majlis pelancaran tersebut.

Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku rakan strategik turut menyerahkan cek cura berjumlah RM 105,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan Kuala Lumpur dan Selangor (PEKERTI) bagi menjayakan program ini.

“Saya amat memahami jerih payah para penunggang motosikal kerana pada suatu ketika dahulu juga, saya pernah bermotosikal untuk pergi kerja.

“Masjid sentiasa dilihat sebagai tempat yang terbaik untuk berhenti rehat, menenangkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, inisiatif tersebut bakal diperluas ke masjid lain agar lebih banyak individu mendapat manfaat daripada penganjuran program sedemikian, di samping berkesempatan singgah untuk menunaikan ibadah serta meraih keberkatan.

 

Kredit Foto: Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi