Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pelajar Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) berpeluang menyantuni 50 keluarga asnaf menerusi penyerahan sumbangan barangan keperluan asas dalam program SRTNP Spread the Blessings yang berlangusng pada Khamis.
Pelaksanaan program tersebut melibatkan dua buah kampung, iaitu 30 keluarga di Kampung Pak Mahat dan 20 keluarga di Kampung Peramu sebagai penerima manfaat daripada sumbangan berkenaan.
Selain itu, penganjurannya melibatkan penyertaan para pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 bersama-sama dengan guru pengiring dalam penyampaian sumbangan dari rumah ke rumah.
Sumbangan yang disalurkan merupakan hasil kutipan infak daripada ibu bapa dan penjaga pelajar, di samping sokongan dana daripada pihak sekolah.
Selain bertujuan membantu meringankan beban penerima, program tersebut memberikan peluang kepada para pelajar untuk menyelami secara langsung realiti kehidupan masyarakat yang memerlukan, sekali gus memupuk rasa empati, keinsafan dan kesedaran tentang nilai berkongsi rezeki.
Guru Besar SRTNP, Adeebah Razelan berkata, program ini bertindak sebagai medium yang penting dalam usaha mendidik jiwa pelajar agar tampil lebih peka terhadap keperluan masyarakat di sekeliling mereka.
“Ramadan merupakan bulan yang mendidik jiwa untuk lebih prihatin terhadap orang lain.
“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja dapat menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah, malah mereka dapat belajar untuk menghargai nikmat serta membina rasa tanggungjawab sosial dalam diri masing-masing,” katanya.
Menurut beliau lagi, penganjuran program yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya membuktikan komitmen jitu pihak sekolah untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi akademik dan nilai kemanusiaan.
“Penganjuran kali kedua program ini mencerminkan komitmen sekolah bagi melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, bahkan mempunyai nilai ihsan serta kepedulian terhadap masyarakat, bertepatan dengan semangat Ramadan yang dianjurkan oleh syariat Islam,” ujarnya.
Sementara itu, program SRTNP Spread the Blessings menjadi wadah pendidikan nilai kepada pelajar agar sentiasa mengamalkan sikap prihatin, syukur dan berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan.
Melalui usaha murni tersebut, hubungan antara institusi sekolah dengan komuniti setempat terus diperkukuh, sekali gus melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia serta memiliki semangat kemanusiaan yang tinggi.
