Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT, kita telah sampai ke hari 23 Ramadan, bererti kita berada dalam fasa sepuluh hari terakhir bulan mulia ini.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada lailatulqadar. Tahukah kamu apakah lailatulqadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr 97:1–3).
Antara ganjaran terbesar anugerah Ilahi dalam bulan Ramadan termasuklah lailatulqadar, iaitu malam kemuliaan, kebesaran, serta memiliki pelbagai kelebihan seperti yang berikut:
Pertama: Amal ibadah yang dilakukan pada lailatulqadar lebih besar pahalanya daripada amal ibadah yang dilakukan pada seribu bulan yang lain. Jika dihitung, beramal untuk satu malam pada lailatulqadar seolah-olah kita beribadah lebih lama daripada 83 tahun empat bulan.
Kedua: Pada malam tersebut, para malaikat dan Jibril a.s. turun ke bumi membawa rahmat dan keberkatan. Imam al-Qurtubi berkata, “Mereka turun dari setiap langit dan juga Sidratulmuntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon kepada Allah SWT pada malam tersebut hingga waktu fajar.”
Ketiga: Malam keampunan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa mendirikan lailatulqadar dengan keimanan dan mengharap balasan (Allah), maka dia telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW menyeru agar umat Baginda bersungguh-sungguh memburu lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir Ramadan berpandukan sabda Baginda:
Maksudnya: “Carilah lailatulqadar itu pada malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Berusahalah untuk mencari lailatulqadar. Jadikan pedoman amalan Rasulullah SAW untuk menemui lailatulqadar yang sebaik-baik masuk sepuluh malam terakhir Ramadan, Baginda bersungguh-sungguh melakukan ibadah, menghidupkan malam dengan solat, zikir dan membaca al-Quran.
Baginda membangunkan ahli keluarga untuk turut sama merebut kelebihan lailatulqadar. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Sayidatina ‘Aisyah r.a.:
Maksudnya: “Nabi SAW apabila masuknya hari sepuluh terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain (tidak menggauli isteri), menghidupkan malam-malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” (Riwayat Muslim).
Apakah yang perlu diutamakan pada sepuluh malam terakhir Ramadan?
Pertama: Menghidupkan malam dengan qiamullail, menunaikan solat maghrib dan isyak berjemaah, melakukan solat sunat awwabin antara maghrib dengan isyak, disusuli solat tarawih, solat hajat, solat taubat, solat tahajud, solat tasbih, dan diakhiri dengan solat witir. Beribadahlah dengan ikhlas mengabdikan diri sepenuhnya untuk mendapat keredaan Ilahi.
Kedua: Banyakkan amalan membaca al-Quran, mentadabur maknanya, serta membasahi lidah dengan zikir untuk menghampirkan hati kepada Allah SWT agar terbuka pintu rahmat dan keampunan.
Ketiga: Banyakkan doa memohon keampunan kerana pada malam tersebut, doa sangat mustajab. Rasulullah SAW mengajar doa:
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau sukakan keampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).
Keempat: Beriktikaf di masjid. Kurangkan percakapan dan jauhi urusan dunia yang tidak bermanfaat.
Kelima: Memperbanyak amalan kebaikan seperti bersedekah dan menolong orang, terutama insan yang berada dalam kesusahan dan keuzuran.
Keenam: Jauhi maksiat dan perkara yang melalaikan seperti leka berhibur, melayari media sosial atau lebih mementingkan tidur sepanjang malam.
Ketujuh: Tangguhkan keghairahan dan kesibukan kerana mengutamakan persiapan sambutan hari raya sehingga terganggu tumpuan ibadah untuk mendapatkan kelebihan lailatulqadar.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 13 Mac 2026, bertajuk “Memburu Lailatulqadar: Malam Lebih Baik daripada Seribu Bulan”.