Diterbitkan pada 9 Jun 2026, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Darjat kewalian itu lahir daripada ketaatan, bukannya melalui dakwaan luar biasa yang bertentangan dengan adat manusia.

Pada hari ini, istilah wali Allah sering disebut dengan penuh penghormatan. Sebahagian masyarakat pula begitu mudah mengaitkan seseorang tokoh agama, guru kerohanian atau individu tertentu dengan maqam kewalian. Terdapat segelintir pihak yang mendakwa seseorang itu wali hanya berdasarkan kisah keramat yang tersebar, cerita mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, kemampuan mengetahui perkara ghaib atau pengaruh luar biasa yang dimilikinya.

Namun begitu, hal yang lebih membimbangkan adalah apabila wujud kelompok yang tetap mempertahankan dakwaan kewalian seseorang walaupun akhlak zahirnya menimbulkan persoalan. Antaranya termasuklah individu yang didakwa sebagai wali, tetapi gemar memfitnah, merendahkan orang lain, memecahbelahkan masyarakat, berdendam, bahkan mencela pihak yang tidak sehaluan dengannya.

Neraca al-Quran dan Sunah untuk Mengenal Wali

Apabila hal ini mula dipersoalkan, muncul pula hujah yang kedengaran spiritual, tetapi pada hakikatnya amat bermasalah. Sebagai contoh, hujah bahawa Allah SWT sengaja menutup kewalian seseorang hamba dengan sifat zahir yang buruk agar manusia tidak mengenal maqamnya. Selain itu, terdapat pengikut yang menyatakan bahawa cercaan wali kepada orang lain bukanlah suatu kezaliman kerana dia mengetahui hakikat batin manusia yang dicercanya. Persoalannya, adakah hujah sebegini benar menurut disiplin ilmu Islam atau sekadar satu kekeliruan ketika memahami konsep kewalian?

Jawapan bagi persoalan ini perlu kembali kepada panduan wahyu dan disiplin ilmu para ulama muktabar. Allah SWT telah mengungkapkan definisi paling asas tentang wali-Nya menerusi firman yang bermaksud, “Ketahuilah, sesungguhnya wali Allah itu tidak ada rasa takut ke atas mereka dan mereka pula tidak bersedih hati; (wali Allah itu ialah) orang yang beriman dan mereka sentiasa bertakwa.” (Surah Yunus 10:62–63).

Berdasarkan ayat ini, ternyata Allah SWT tidak mendefinisikan wali melalui kebolehan keramat, kisah misteri atau dakwaan pengikut. Sebaliknya, Allah SWT meletakkan dua asas utama, iaitu iman dan takwa. Takwa pula bukan sekadar pengakuan batin, tetapi mesti terpancar melalui ketaatan yang teguh kepada syariat, kesucian hati dan kemuliaan akhlak.

Rasulullah SAW juga menjelaskan kedudukan wali Allah menerusi sebuah hadis kudsi yang masyhur. Baginda bersabda bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Barang siapa memusuhi wali-Ku, maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa-apa yang Aku fardukan ke atasnya, dan hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6502).

Hadis ini amat penting bagi memahami ciri kewalian. Allah SWT menjelaskan bahawa jalan menuju kewalian bermula dengan pemeliharaan amalan fardu, kemudian diikuti dengan memperbanyak amalan sunat secara istiqamah. Hal ini menunjukkan bahawa darjat kewalian itu lahir daripada ketaatan, bukannya melalui dakwaan luar biasa yang bertentangan dengan adat manusia.

Tazkiyat al-Nafs dan Bahaya Sifat Mazmumah

Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din menegaskan bahawa perjalanan menuju Allah SWT bermula dengan tazkiyat al-nafs, iaitu penyucian jiwa daripada sifat mazmumah seperti hasad, takbur, riyak, dendam, cinta kemasyhuran dan suka merendahkan manusia. Dalam perbahasannya tentang penyakit hati, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa seseorang yang masih dikuasai oleh sifat sedemikian sebenarnya masih berada dalam fasa mujahadah, dan belum mencapai maqam kedekatan yang matang di sisi Tuhan. Oleh itu, bagaimanakah seseorang didakwa sebagai wali sedangkan lidahnya kerap menyakiti hati manusia, akhlaknya memecahkan ukhuwah dan kehadirannya menimbulkan fitnah?

Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H) menerusi karyanya, al-Hikam memberikan peringatan yang sangat mendalam, “Sesiapa yang permulaan perjalanannya bercahaya, maka pengakhirannya juga akan bercahaya.” Dalam konteks ini, cahaya bukan bermaksud keramat atau pengalaman mistik, tetapi merupakan cahaya adab, akhlak, tawaduk dan kesucian hati. Jika perjalanan spiritual seseorang dipenuhi dengan penghinaan kepada orang lain, kebencian, manipulasi emosi pengikut atau sikap suka membuka aib manusia, maka kesemua perkara ini bukan cahaya kewalian, tetapi cahaya yang disangka terang sedangkan pada hakikatnya membawa kepada kesesatan.

Hal ini yang dikatakan sebagai bahaya taasub spiritual. Apabila seseorang terlalu taasub kepada individu tertentu, maka dia pada akhirnya kehilangan neraca ilmu. Setiap tindakan tokoh tersebut dianggap benar, setiap ucapan kasar dianggap hikmah, setiap celaan dianggap kasyaf dan setiap perilaku yang menyalahi akhlak dibela atas alasan rahsia para wali. Walhal dalam tradisi tasawuf Sunni, para wali mungkin disembunyikan daripada kemasyhuran duniawi, tetapi mereka sama sekali tidak pernah disembunyikan di sebalik kefasiqan akhlak.

Bersambung …


Penulis merupakan Profesor Madya Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi