Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHijrah Rasulullah SAW bukan sekadar perpindahan secara lahiriah dari Makkah ke Madinah, tetapi melibatkan perubahan jiwa, pembinaan iman, pengukuhan persaudaraan dan penyusunan masyarakat berteraskan wahyu.
Hijrah mengajar bahawa perubahan besar bermula daripada hati yang tunduk kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “… Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri … .” (Surah al-Ra‘d 13:11)
Ayat ini mengajak kita bermuhasabah agar tidak mudah menyalahkan takdir dan tidak mudah menuding jari kepada orang lain sedangkan diri sendiri masih belum berubah.
Tahun baharu Hijrah mengingatkan bahawa umur kita semakin bertambah dan kita semakin dekat untuk memasuki alam barzakh, iaitu alam kubur, alam penantian antara kehidupan dunia dengan akhirat, dan tempat persinggahan pertama roh manusia setelah meninggal dunia.
Maka itu, semaikanlah niat yang ikhlas untuk berubah menjadi hamba yang lebih baik, berazam meninggalkan perbuatan yang membawa kepada dosa, bertaubat, serta memperbanyak amal soleh, selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Orang Islam yang sebenar ialah orang yang membuat orang Islam lain selamat daripada kejahatan lidah dan tangannya; dan orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 10; dan Muslim, no. 40).
Jati diri Muslim bermaksud hidup ini bukan sekadar untuk dunia, tetapi insaf sebagai hamba Allah SWT yang memikul amanah dan akan dihitung di akhirat nanti.
Muslim yang kuat sahsiahnya tidak mudah hanyut dalam pengaruh suasana sekeliling dan arus semasa. Ketika orang lain hanyut dalam budaya hiburan tanpa batas, dia tetap mematuhi batasan syariat. Ketika orang lain membazir berbelanja kerana dorongan nafsu, dia kekal berjimat dan berhemah. Ketika orang lain bersifat menipu, dia cekal bersifat jujur. Ketika orang lain sibuk mencaci dan menyebarkan fitnah, dia mengunci mulut dengan lidah yang sentiasa beristighfar dan berzikir. Ketika orang lain memburu dunia tanpa batas, dia memilih untuk mengingati akhirat.
Muslim yang mantap sahsiah dan jati dirinya sentiasa menjaga solat, memelihara akhlak, menghormati ibu bapa, bersedekah dan berinfak, menjauhi maksiat, serta berpegang teguh pada ajaran Islam ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dan godaan zaman.
Sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Mus‘ab bin Umair r.a. merupakan seorang pemuda bangsawan Quraisy yang hidup dalam kemewahan yang luar biasa. Namun begitu, setelah memeluk Islam, beliau dengan ikhlas meninggalkan segala harta kekayaan, pangkat dan darjat demi berhijrah kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Beliau dikurung dan dihalau oleh keluarganya dari rumah, lalu hidup dalam kemiskinan. Walaupun begitu, hal tersebut sedikit pun tidak melunturkan keyakinan dan keimanan beliau demi memperoleh keredaan Ilahi.
Umat Islam perlu membina budaya hidup yang berhemah, berjimat dan tidak membazir. Setiap keluarga hendaklah bijak mengurus kewangan, membezakan antara keperluan dengan kehendak, serta mengelakkan diri daripada berhutang bagi perkara yang sebenarnya tidak diperlukan.
Pada masa yang sama, umat Islam digalakkan menceburi bidang perniagaan, perdagangan, perusahaan, pertanian, penternakan dan pelbagai bidang yang dapat menambah pendapatan keluarga sebagai usaha menghindarkan diri dan keluarga daripada kemiskinan.
Dari sudut dunia digital, umat Islam perlu bijak menggunakan teknologi sebagai alat memperkasakan ilmu, dakwah dan ekonomi, bukan sekadar hiburan. Anak dan remaja perlu dibimbing supaya memanfaatkan kemudahan teknologi untuk belajar, mencari kemahiran baharu, membaca bahan bermanfaat dan menyebarkan kebaikan.
Mereka juga perlu dididik supaya tidak terlibat dengan anasir judi dalam talian, buli siber, penyebaran fitnah, serta menonton atau menyebarkan bahan tidak bermoral dan kandungan yang merosakkan akhlak.
Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, antara perkara pertama yang Baginda lakukan termasuklah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Islam membina ummah berasaskan persaudaraan, kasih sayang, keadilan dan sikap saling membantu.
Pada hari ini, perpaduan kita diuji dengan kepelbagaian bangsa dan agama, perbezaan pandangan politik, jurang sosioekonomi, perbezaan tahap pendidikan dan pelbagai lagi bentuk perbezaan.
Dengan menghayati nilai hijrah akan menjauhkan kita daripada perbuatan saling menghina, bertelagah, menyebarkan fitnah dan memutuskan persaudaraan.
Jangan nanti ketika kita menghadap Allah SWT, tercatat bahawa hati kita dipenuhi kebencian terhadap saudara sendiri meskipun kita mendirikan solat dan melakukan pelbagai ibadah. Betapa ruginya puluhan tahun persaudaraan yang terbina, musnah dalam sekelip mata hanya disebabkan oleh beberapa minit pertelingkahan.
Sedarilah, suatu hari nanti ketika kita terbujur berpakaian kafan, kita tidak lagi memerlukan kemenangan dalam pertelingkahan, tetapi sangat memerlukan doa, kemaafan dan keredaan daripada manusia.
Perpaduan menuntut kita saling menghormati, berlapang dada dan mendahulukan kepentingan ummah. Jika berlaku perselisihan, selesaikanlah dengan hikmah kerana ummah yang bersatu akan menjadi kuat, manakala ummah yang berpecah akan menjadi lemah.
Kesimpulannya, hijrah yang sebenar bukan sekadar perubahan tahun, tetapi perubahan niat dan perubahan perbuatan. Hijrah berlaku apabila hati kembali mengingati dan takut kepada Allah SWT, amanah dipulangkan kepada yang berhak, lidah dibasahi dengan istighfar, dan langkah diatur menuju jalan yang mendapat keredaan Ilahi.
Insaflah, Jumaat ini atau Muharam ini mungkin Jumaat dan Muharam terakhir buat kita. Segala-gala yang kita genggam akan ditinggalkan, sedangkan yang akan mengiringi kita ke alam barzakh hanyalah amal yang ikhlas.
Sebelum tubuh diselimuti kafan, selimutilah hidup kita dengan taubat. Sebelum jenazah kita diangkat ke liang lahad, angkatlah darjat diri dengan amal soleh. Kembalilah kepada Allah SWT dengan hati yang tawaduk.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 12 Jun 2026, bertajuk “Hijrah Pencetus Perubahan dan Pembaharuan”.