Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Baru Bangi ー Sesi telaah buku karya agung dalam tradisi keilmuan Islam, Hadis 40 Imam al-Nawawi menjadi antara pengisian dalam program Santunan Budi, Junjungan Kasih anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Hotel Tenera, hari ini.
Kitab tersebut merupakan himpunan beberapa hadis utama yang menjadi panduan dalam pembentukan akhlak, ibadah dan kehidupan Muslim.
Para ulama sering menyebut bahawa hadis yang terkandung dalam karya ini merupakan asas penting yang merangkumi prinsip besar dalam ajaran Islam.

Sesi tersebut menampilkan Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah sebagai ahli panel dan moderatornya, Encik Ahmad Fedtri Yahya.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Farid menjelaskan, karya Hadis 40 Imam al-Nawawi disusun bagi meletakkan asas penting dalam kehidupan beragama Islam melalui himpunan hadis yang ringkas.
Menurut beliau, penyusunan hadis tersebut memberikan panduan yang jelas kepada masyarakat tentang perkara yang perlu diperkukuh dalam kehidupan.
Katanya, kandungan hadis dalam buku tersebut merangkumi beberapa aspek utama seperti akidah, akhlak dan syariat.
Himpunan hadis ini juga menyentuh soal halal dan haram yang menjadi panduan kepada umat Islam ketika menjalani kehidupan seharian.
Beliau berkata, pengukuhan akidah merupakan asas penting yang membentuk keperibadian seseorang kerana iman yang kukuh akan melahirkan nilai dan akhlak yang baik dalam masyarakat.
“Jika akidah seseorang itu kukuh, maka kukuhlah nilai kehidupannya.
“Namun begitu, jika akidah seseorang rapuh, maka runtuhlah segala nilai yang telah terbina,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan niat dalam setiap amalan sebagaimana hadis pertama dalam buku tersebut yang menyentuh tentang niat, iaitu asas kepada setiap perbuatan manusia.
Menurutnya, niat yang baik perlu disertai dengan hati yang bersih kerana hati berperanan penting dalam tindakan dan pembinaan peribadi seseorang.
Beliau turut menyentuh kepentingan adab dan akhlak dalam kehidupan bermasyarakat, termasuk penggunaan bahasa dalam media sosial yang kini menjadi medium utama komunikasi dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata,
Nilai yang terkandung dalam Hadis 40 Imam al-Nawawi wajar dihayati dan diamalkan kerana hadis ini bukan sahaja membincangkan soal ibadah, bahkan turut menyentuh tanggungjawab sosial, pembentukan budi pekerti serta etika kehidupan.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar memahami konsep halal, haram dan perkara syubhah dalam kehidupan kerana perkara tersebut memberikan kesan terhadap pembentukan akhlak dan keperibadian seseorang.
Menurut beliau, masyarakat juga perlu memahami konsep infak dengan betul agar tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan makna sebenar amalan tersebut.
Jelas beliau lagi, penghayatan terhadap hadis yang terkandung dalam kitab tersebut boleh dipupuk melalui amalan membaca dan menghayatinya secara berterusan, termasuk menjadikannya sebagai bahan bacaan bersama-sama keluarga bagi membentuk generasi yang berakhlak dan berilmu.
Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.