Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan terus komited memperkukuh syiar Islam dan memartabatkan pendidikan Islam menerusi pelbagai inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Kedah dan Pulau Pinang, baru-baru ini.
Antara usaha yang diumumkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim termasuklah peruntukan sebanyak RM2.96 juta bagi melaksanakan 15 projek menaik taraf institusi pondok dan tahfiz di Kedah, bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif kepada pelajar.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hassan menerusi hantaran Facebooknya berkata, usaha mengimarahkan syiar Islam turut diperkukuh menerusi pembinaan Masjid Mengkuang Titi di Pulau Pinang yang membelanjakan kos hampir RM9.0 juta hasil sinergi sumbangan RM5.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan, RM1.1 juta daripada Kerajaan Negeri, serta RM2.5 juta daripada ahli kariah.
Selari dengan tuntutan zaman, inisiatif Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) dan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan turut dilancarkan bagi memfokuskan kepada pendedahan kemahiran teknologi dan digital pelajar madrasah, serta menggalakkan pelibatan golongan muda dalam aktiviti masjid.
“Tunjang kekuatan sesebuah negara terletak pada keseimbangan antara pembangunan material dengan usaha memelihara kesucian agama, menyuburkan budaya berilmu, serta menghargai setiap khidmat bakti yang dicurahkan,” jelas beliau lagi.
Langkah strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan negara tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal, bahkan turut merangkumi pengukuhan pendidikan, nilai agama dan kesejahteraan masyarakat Islam di negara ini.