Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor meluluskan tajaan penuh ibadah haji pada tahun ini kepada 75 orang jemaah dari negeri tersebut yang melibatkan peruntukan kos sebanyak RM1.2 juta.
Menurut Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari, jumlah jemaah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 29 orang individu berbanding dengan 46 orang jemaah yang mendapat manfaat tajaan penuh bagi musim haji tahun lalu.
Tambah beliau, bagi meringankan urusan perjalanan, kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) turut menyalurkan bantuan RM1,500 kepada setiap penerima.
“Syarat dan kelayakan jemaah yang bakal menerima manfaat tajaan penuh ini akan diusahakan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) melalui syor Jabatan Agama Islam sebelum disembah maklum untuk perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mengambil kira situasi tidak menentu di rantau Asia Barat ketika ini, pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra bagi memastikan tahap keselamatan perjalanan jemaah dari Selangor ketika menunaikan ibadah itu.
Menerusi kenyataan yang sama, beliau turut mendoakan agar keadaan di Asia Barat kembali aman, di samping menggesa semua pihak yang terlibat untuk kembali ke meja rundingan sebagai jalan penyelesaian.
“Dunia tidak boleh membenarkan budaya pelanggaran undang-undang antarabangsa dinormalisasikan, terutamanya dalam keadaan rakyat biasa menjadi mangsa,” katanya.