Diterbitkan pada 6 Mac 2026, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tadabur bermaksud merenung, menghayati dan memahami makna ayat al-Quran secara mendalam untuk mengambil pengajaran serta hikmah; bukan sekadar membaca lafaznya. Tadabur melibatkan pemikiran mendalam tentang isyarat Allah SWT sehingga terkesan dalam hati, bertujuan untuk diterapkan dalam kehidupan harian.

Surah al-Mulk merupakan surah Makkiah, mengandungi 30 ayat, dan surah ke-67 dalam al-Quran. Surah ini dinamakan al-Mulk yang bermaksud kerajaan, iaitu merujuk kekuasaan mutlak Allah SWT atas seluruh alam ciptaan-Nya. Surah al-Mulk memperingatkan manusia akan kedahsyatan seksaan azab neraka, di samping menekankan kewajipan bertakwa, beramal soleh dan menghindari sikap lalai daripada tanggungjawab.

Berpandukan beberapa riwayat yang sahih, Rasulullah SAW dikatakan membaca Surah al-Mulk bersama-sama Surah al-Sajdah pada setiap malam sebelum tidur. Oleh itu, umat Islam disarankan agar mencontohi sunah Nabi Muhammad SAW dengan menjadikan bacaan Surah al-Mulk sebagai suatu kelaziman pada setiap malam.

Surah al-Mulk mengandungi banyak pengajaran berharga. Sesiapa yang mentadabur surah ini akan meningkatkan ketakwaan dan sifat kehambaannya. Penulisan ini menyampaikan tiga pengajaran daripada Surah al-Mulk seperti yang berikut:

Pertama: Melalui ayat pertama, Allah SWT berfirman bahawa Dialah pemilik dan penguasa mutlak bagi alam semesta:Maksudnya: “Maha Berkat (serta Maha Tinggi kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat). Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Mulk 67:1).

Ayat ini mendidik hati manusia supaya tunduk dan patuh kepada syariat dan hukum Allah SWT sebagai tanda mengakui kekuasaan-Nya. Allah SWT menganugerahkan kekuasaan sementara kepada manusia untuk manusia mentadbir urusan dunia dengan keadilan berlandaskan syariat Ilahi.

Malangnya, segelintir manusia apabila diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan, tergamak menyalahgunakan kuasa sehingga menzalimi orang lain, menipu dan menyelewengkan dana awam, melakukan rasuah, dan bersifat tamak mengaut keuntungan. Mereka terlupa bahawa kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan akan dipersoalkan pada hari kebangkitan.

Kedua: Firman Allah SWT melalui ayat kedua menegaskan bahawa Dialah yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji, siapakah manusia yang lebih baik amalannya? Perkara tersebut bermaksud amalan yang paling baik, bukannya amalan yang paling banyak kerana amalan yang banyak belum tentu diterima jika dicemari sifat mazmumah.

Al-Razi dalam tafsirnya mencatatkan, sebaik-baik amalan mestilah berpandukan dua syarat: pertama, ikhlas kerana Allah SWT dan kedua, bertepatan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Ketiga: Melalui ayat 13, Allah SWT menegaskan bahawa Dia Maha Mengetahui segala yang nyata dan tersembunyi. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan tuturkanlah perkataanmu dengan perlahan atau nyaring (sama sahaja keadaannya kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung dalam dada.” (Surah al-Mulk 67:13).

Ayat tersebut mengajar kita bahawa tidak ada satu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah SWT, lantas membuatkan kita takut untuk menderhakai-Nya. Apabila tidak berasa diawasi oleh Allah SWT, dan juga berasa bahawa Allah SWT Maha Melihat, akan menganggap selamat baginya untuk melakukan maksiat secara tersembunyi.

Tidak hairanlah terdapat segelintir manusia bersifat tidak bertanggungjawab, menyebarkan fitnah, ulasan, sindiran dan mesej berbaur hasutan dalam media sosial dengan menggunakan akaun palsu, membuat tuntutan palsu, menonton bahan lucah, atau membatalkan puasa secara sembunyi dan seumpamanya. Sedarlah bahawa dalam apa-apa keadaan sekalipun, Allah SWT Maha Melihat dan malaikat Raqib dan ‘Atid sentiasa mencatat.

Membaca Surah al-Mulk menjanjikan pembacanya beberapa kelebihan, antaranya termasuklah:

Pertama: Mendapat syafaat di akhirat.
Surah al-Mulk memberikan syafaat kepada orang yang membacanya secara istiqamah sehingga diampunkan dosanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya satu surah dalam al-Quran yang mengandungi tiga puluh ayat. Surah itu memberikan syafaat kepada pembacanya sehingga diampunkan dosanya. Surah tersebut ialah surah ‘Tabarak allazi biyadih al-Mulk.’” (Hadis riwayat Abu Daud).

Kedua: Selamat daripada seksa azab kubur.
Ibn Abbas r.a. meriwayatkan beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW menggali tanah tanpa menyangka tanah tersebut ialah kubur, lalu didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk sehingga tamat.

Beliau menemui Nabi Muhammad SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu kubur, dan aku mendapati seorang lelaki membaca Surah al-Mulk sehingga khatam. Maka itu, Baginda menjawab, “Surah tersebut ialah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

Nyatalah Surah al-Mulk mempunyai kelebihan yang besar di dunia dan adikhirat. Dengan mentadabur Surah al-Mulk menjadikan kita mukmin yang lebih bertakwa, hidup dipenuhi ketaatan, di samping menjauhkan diri daripada perbuatan dosa dan maksiat.

Semaikan azam untuk istiqamah membaca dan mentadabur Surah al-Mulk pada setiap malam agar kita dikurniakan ganjaran pahala, bahagia di dunia, serta selamat di akhirat.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 6 Mac 2026, bertajuk “Mentadabur Surah al-Mulk”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi