Diterbitkan pada 5 Mac 2026, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Isu wanita yang didatangi haid atau nifas sering menimbulkan pelbagai salah faham dalam kalangan masyarakat, terutamanya berkaitan dengan ibadah yang boleh dilaksanakan pada bulan Ramadan.

Sebahagian wanita menyangka bahawa mereka “berehat sepenuhnya” daripada ibadah. Pada hakikatnya, walaupun mereka tidak boleh mendirikan solat dan berpuasa, pintu ibadah tetap terbuka luas. Islam sebagai agama yang adil dan penuh rahmat, tidak pernah menutup peluang pahala buat hamba-Nya dalam apa-apa juga keadaan.

Antara amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang didatangi haid pada bulan Ramadan termasuklah:

• Pertama: Membanyakkan Sedekah
Amalan sedekah dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang sangat besar di sisi Allah SWT. Sedekah tidak disyaratkan dalam keadaan suci daripada hadas. Oleh itu, wanita yang berada dalam keadaan haid tetap boleh bersedekah mengikut kemampuan mereka, sama ada dalam bentuk wang, makanan ataupun bantuan kepada orang lain. Semua ini termasuk dalam amal kebajikan yang dijanjikan pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT.

• Kedua: Membanyakkan Doa dan Zikir
Wanita yang haid digalakkan meningkatkan amalan doa dan zikir sepanjang Ramadan. Antara doa yang sangat masyhur termasuklah doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Sayidatina ‘Aisyah r.a. ketika ditanya tentang doa pada lailatulqadar, iaitu:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Hal ini berdasarkan hadis, ‘Aisyah r.a. yang bertanya kepada Rasulullah SAW, maksudnya: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah jika aku bertemu dengan lailatulqadar, apakah yang patut aku doakan?” Baginda bersabda: “Ucapkanlah: ‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.’” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 3513; Ibn Majah, no. 3850).

Doa dan zikir adalah ibadah yang sentiasa terbuka pahalanya, tanpa terikat dengan keadaan suci atau tidak suci.

• Ketiga: Memberi Makan kepada Orang yang Berbuka Puasa
Wanita yang berada dalam keadaan haid, atau yang tidak dapat membanyakkan ibadah tertentu, tetap mempunyai ruang yang sangat luas untuk meraih pahala besar melalui amalan memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Dalam suasana Ramadan, peranan wanita di rumah sering kali berkaitan rapat dengan penyediaan juadah berbuka. Amalan ini bukan sekadar tugas rutin rumah tangga, bahkan boleh menjadi ibadah yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT apabila disertai dengan niat yang ikhlas.

Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala seperti orang itu, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 807; Ibn Majah, no. 1746).

Hal ini membuktikan keluasan rahmat dan kemurahan Allah SWT yang melipatgandakan ganjaran kepada hamba-Nya. Bagi wanita, khususnya yang berada dalam keadaan uzur syarii atau yang sibuk mengurus rumah tangga, amalan ini menjadi suatu medan ibadah yang sangat praktikal dan realistik.

Dengan menyediakan makanan untuk ahli keluarga, jiran tetangga atau para tetamu yang berpuasa, wanita bukan sahaja menunaikan tanggungjawab sosial dan kekeluargaan, malah turut mengumpulkan pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Oleh itu, dapur dan meja makan pada bulan Ramadan boleh menjadi “ladang pahala” bagi wanita, jika setiap usaha itu dilakukan dengan niat kerana Allah SWT dan untuk membantu orang lain beribadah dengan lebih sempurna.


Penulis ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya Bachok, Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi