Diterbitkan pada 17 Februari 2026, 23:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kehadiran Ramadan bukan sekadar bulan ibadah umat Islam, tetapi merupakan mekanisme pendidikan jiwa yang dirancang oleh syariat Islam bagi membentuk insan yang bertakwa.

Hakikat yang perlu diakui ialah tidak semua individu memasuki Ramadan dengan persiapan rohani yang mencukupi. Tanpa persediaan dalaman, ibadah puasa dan amal soleh yang lain berisiko terperangkap dalam bentuk ritual luaran yang tidak meninggalkan kesan mendalam terhadap pembentukan akhlak dan kesedaran spiritual.

Al-Quran al-Karim telah menetapkan objektif utama puasa melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183, iaitu pencapaian takwa. Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir menghuraikan takwa merupakan kepatuhan zahir terhadap hukum-hakam, serta kesedaran batin yang berterusan terhadap pengawasan Allah SWT. Menurut beliau, puasa merupakan latihan pengawalan diri yang membentuk disiplin dalaman agar manusia tunduk kepada nilai ketuhanan (Rabbaniyyah) dalam seluruh dimensi kehidupan. Tanpa persiapan jiwa secara bersungguh-sungguh, matlamat takwa yang menjadi teras pensyariatan puasa tidak akan tercapai secara menyeluruh.

 

Persiapan Jiwa sebagai Kerangka Asasi Ibadah

Dalam pensyariatan Islam, amal ibadah tidak diukur semata-mata pada pelaksanaannya, bahkan pada kesediaan jiwa yang mendasarinya.

Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam al-Ibadah fi al-Islam menegaskan ibadah hanya mencapai maqasidnya apabila dilakukan dengan kefahaman, kesedaran dan keikhlasan. Tanpa persiapan jiwa, ibadah sekadar menjadi rutin formal yang kehilangan fungsi tarbawi. Dalam konteks Ramadan, persiapan jiwa bermaksud menyediakan hati untuk menerima proses penyucian dan perubahan diri.

Ramadan sebagai waktu penstrukturan semula hubungan manusia dengan Allah SWT, diri sendiri dan masyarakat. Persiapan jiwa perlu bermula sebelum Ramadan lagi melalui perancangan amal, pembetulan niat dan peningkatan disiplin rohani. Proses ini memastikan transformasi yang berlaku sepanjang Ramadan bersifat progresif dan berkesan, bukan sekadar lonjakan sementara yang kembali pudar selepas Aidilfitri.

 

Menuju Penyucian Jiwa

Elemen paling asas dalam persiapan jiwa ialah muhasabah dan taubat. Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam Madarij al-Salikin menjelaskan taubat merupakan proses kesedaran yang membebaskan jiwa daripada belenggu kelalaian.

Dosa yang berterusan tanpa taubat akan menggelapkan hati dan menghalang seseorang daripada merasai kelazatan ibadah. Oleh itu, Ramadan sewajarnya dimulakan dengan pembersihan dalaman agar jiwa benar-benar bersedia menerima cahaya hidayah.

Realiti masyarakat pada hari ini menunjukkan sebahagian umat Islam berpuasa, namun masih gagal mengawal lidah, emosi dan tingkah laku sosial. Keadaan ini membuktikan ibadah yang tidak disertai penyucian jiwa akan kehilangan peranan etika dan sosialnya.

Kegagalan menghayati falsafah ibadah menyebabkan Ramadan sering dicemari oleh budaya berlebihan, seperti pembaziran makanan di bazar Ramadan serta kemeriahan material yang melampau ketika berbelanja. Keghairahan terhadap bazar dan persiapan hari raya kadangkala mengatasi kesungguhan mengimarahkan masjid, menghadiri majlis ilmu dan qiamullail. Pada akhirnya, persiapan fizikal lebih diutamakan berbanding dengan persiapan rohani.

Pada masa yang sama, pengukuhan ilmu turut menjadi syarat penting bagi membina kesediaan jiwa. Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menekankan kefahaman terhadap hikmah ibadah akan mengubah persepsi seseorang terhadap pelaksanaannya. Puasa tidak lagi dilihat sebagai beban menahan lapar dan dahaga, tetapi sebagai latihan spiritual yang mendidik kesabaran dan empati seseorang.

 

Penyelesaian al-Quran Membentuk Kesedaran Rohani

Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran kerana al-Quran diturunkan pada bulan ini sebagaimana ditegaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 185. Al-Quran berperanan besar untuk membina jiwa manusia sepanjang Ramadan. Tilawah dan tadarus hendaklah disertai tadabur bagi menghubungkan ayat dengan realiti kehidupan seperti kepatuhan beragama, disiplin masa, integriti kerja dan pengawalan lisan.

Pendekatan ini selari dengan penegasan Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir ketika membahaskan konsep Huda li al-Nas dalam ayat 185 Surah al-Baqarah berperanan sebagai petunjuk yang praktikal, bukan sekadar bahan tilawah. Ayat tentang sedekah, larangan pembaziran dan keprihatinan terhadap golongan lemah perlu dijadikan asas program kebajikan Ramadan. Kerjasama antara institusi masjid, jabatan agama dan pihak berkuasa tempatan boleh memaksimumkan pengaplikasian nilai Islam dalam masyarakat. Dengan cara ini, kesedaran rohani yang dibina dalam diri individu turut menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat.

Kesimpulannya, persiapan jiwa menjelang Ramadan penting untuk memastikan transformasi rohani benar-benar berlaku dan ibadah tidak sekadar menjadi ritual bermusim. Tanpa muhasabah, taubat dan pengukuhan ilmu, Ramadan mudah berlalu tanpa kesan, sedangkan penghayatan al-Quran secara bertadabur dan diamalkan secara istiqamah menjadi kunci pembaikan diri.

Apabila Ramadan disambut dengan kesiapsiagaan rohani yang rapi, bulan suci ini benar-benar berfungsi sebagai madrasah tarbiah yang menyucikan hati dan mempertingkat kualiti amalan. Namun begitu, sejauh manakah umat Islam benar-benar bersedia untuk menghadapinya?

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi