Oleh DRNAS
Diterbitkan pada 16 Februari 2026, 13:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era moden, pendidikan sering difahami dalam konteks formal yang terikat dengan institusi persekolahan, sukatan akademik, persijilan dan kelas tambahan. Kebanyakan ibu bapa berlumba-lumba melengkapkan anak mereka dengan pelbagai kemahiran seperti kelas matematik, muzik dan bahasa Inggeris pada awal usia.

Namun begitu, tatkala keghairahan merancang masa hadapan anak, ibu bapa mungkin terlepas pandang satu ruang kecil yang sangat signifikan dan dekat, iaitu dapur. Dapur bukan sekadar tempat untuk menyediakan makanan, tetapi menjadi madrasah pertama bagi seseorang anak untuk mengenal erti adab, disiplin dan kesyukuran.

Mengapakah Dapur Menjadi Pilihan?

Dapur ialah sebuah ruang yang hidup. Di sini, seseorang yang bergelar ibu menzahirkan kasih sayang melalui penyediaan hidangan. Bagi seorang anak, dapur merupakan tempat awal mereka memerhati cara orang dewasa berinteraksi dengan makanan, pengurusan masa, kawalan emosi dan penghargaan terhadap rezeki.

Setiap kali anak melihat ibunya melakukan kerja di dapur sambil membaca basmalah, berzikir dan berselawat, nilai kerohanian sedemikian secara tidak langsung akan diterima tanpa paksaan, lantas menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan mereka. Keadaan ini memperlihatkan konsep pendidikan melalui teladan (qudwah hasanah) dan pengalaman praktikal berlaku dengan berkesan.

Di sebalik hiruk-pikuk dapur yang sering dianggap sebagai ruang kerja domestik, tersembunyi satu institusi penting yang sekian lama menjadi asas peradaban Islam. Benih akhlak dan nilai murni mula disemai di dapur, menjadikannya sebagai medan mendidik, membina karakter, serta membentuk jati diri Muslim.

Ruang Dapur: Madrasah Awal Sebuah Jiwa

Sejak zaman Rasulullah SAW, institusi keluarga merupakan teras pembinaan masyarakat, dan rumah ialah madrasah pertamanya. Ibu bapa bukan sekadar penjaga kebajikan, tetapi murabbi utama terhadap jiwa dan akhlak anak. Meskipun peranan dapur sering terpinggir dalam naratif pendidikan moden, kewujudannya tetap menjadi pentas awal yang signifikan dalam proses pembentukan insan.

Tanggungjawab mendidik anak bukanlah beban yang perlu diletakkan pada bahu pihak sekolah semata-mata. Sebaliknya, amanah ini bermula dari rumah menerusi langkah kecil seperti membasuh pinggan, serta perbincangan mengenai halal dan haram dalam pemakanan. Dapur menjadi suasana yang semula jadi untuk proses tarbiah ini berlaku. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud,

Ketahuilah setiap daripada kamu ialah pemimpin, dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpin… .

(Hadis riwayat Muslim, no. 1829)

Sunah Rasulullah SAW di Dapur

Rasulullah SAW sendiri sangat proaktif dalam urusan rumah tangganya. Baginda tidak pernah meletakkan beban urusan dapur sepenuhnya kepada isteri. Hal ini turut diceritakan oleh Sayidatina ‘Aisyah r.a. dalam sebuah hadis yang bermaksud,

Baginda (Rasulullah SAW) sentiasa membantu pekerjaan ahli keluarganya, maka apabila tiba waktu solat, Baginda keluar untuk solat.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 676)

Hadis ini memaparkan contoh teladan yang agung. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pemimpin negara, Baginda tetap melibatkan diri dalam urusan rumah.

Apabila seorang bapa tidak kekok membantu dalam pelaksanaan kerja rumah, keadaan ini memberikan mesej yang kuat tentang semangat kerjasama dan empati, sekali gus menterjemahkan suatu bentuk tarbiah yang praktikal kepada anak. Anak menyaksikan keharmonian dan kasih sayang dalam bentuk yang paling tulus. Pendidikan sebegini jauh lebih baik berbanding dengan nasihat lisan yang panjang lebar.

Dapur Istana Topkapı

Sebuah inspirasi besar dalam sejarah Islam datangnya dari era Uthmaniyah. Di Istana Topkapı Istanbul, terdapat ruang dapur atau Matbah-ı Âmire yang berperanan mendidik ratusan pelatih dan tenaga muda bukan sekadar memasak untuk sultan dan keluarga diraja, tetapi sebagai pusat latihan pelbagai disiplin, termasuk etika kerja, kebersihan, adab dan spiritualiti.

Para pelatih di dapur tersebut dilatih untuk menepati waktu, berdoa dalam setiap tugasan, menjaga adab sesama rakan sekerja, serta mematuhi prinsip halal dan tayyib. Direkodkan bahawa mereka turut diajar membaca al-Quran, sejarah Islam dan ilmu fiqh berkaitan dengan pemakanan. Sebuah dapur fizikal, namun menjadi madrasah akhlak dan rohani. Jika dapur istana dahulu mampu menjadi pusat pendidikan, maka dapur rumah kita pada hari ini juga wajar mengambil inspirasi yang sama.

Doa dan Adab di Dapur: Penyubur Jiwa

Satu aspek yang paling kritikal bagi menjadikan dapur sebagai ruang pendidikan ialah usaha menerapkan unsur spiritual dalam aktiviti seharian. Amalan seperti membaca basmalah sebelum memulakan pekerjaan, mendoakan keberkatan dan tidak mencela makanan atau bertahmid setelah selesai sesuatu urusan, membentuk suasana rohaniah yang menenangkan jiwa anak.

  • Berdoa sebelum memasak.

Antara doa yang boleh diamalkan ketika mahu memasak termasuklah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas r.a. yang bermaksud,

Sesiapa yang diberikan makanan oleh Allah SWT kepadanya, maka hendaklah dia mengucapkan, ‘Ya Allah, berkatilah kami padanya (makanan ini) dan berilah kami makan yang lebih baik daripadanya.’

(Hadis riwayat Abu Daud, no. 3730)

  • Zikir setelah seharian bekerja di dapur.

Banyakkan tasbih, tahmid dan takbir untuk mengatasi kepenatan fizikal setelah selesai bekerja di dapur. Hadis daripada Sayidina ‘Ali bin Abu Talib r.a. menceritakan bahawa Sayidatina Fatimah r.a. berasa sakit pada tangannya akibat menggunakan alat pengisar gandum (batu kisar). Apabila perkara ini diketahui oleh Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bermaksud,

Mahukah kamu berdua (‘Ali r.a. dan Fatimah r.a.), aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa-apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua hendak masuk ke tempat tidur, bertakbirlah (Allahuakbar) 34 kali, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, dan bertahmidlah (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya, yang demikian itu lebih baik bagi kamu berdua daripada seorang pembantu.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3705)

Melalui doa dan zikir ini, kerja di dapur yang dilakukan bukan sahaja diberkati, malah jiwa anak juga disuburkan dengan kalimah tauhid secara konsisten. Anak akan belajar bahawa makanan bukan semata-mata hasil kudrat manusia, tetapi rezeki yang datang daripada kurniaan Allah SWT.

Asas Tarbiah dari Dapur

Rasulullah SAW memberikan perhatian mendalam terhadap adab makan dan penyediaannya. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Abu Salamah r.a. bahawa Baginda bersabda yang bermaksud,

… Sebutlah nama Allah (bacalah basmalah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah daripada makanan yang hampir denganmu.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 5376)

Arahan ini bukan hanya tentang tatacara makan, tetapi suatu sistem pembinaan adab, tertib dan keberkatan. Apabila anak melihat ibu bapa mempraktikkannya secara konsisten di dapur, amalan tersebut akan menjadi sebahagian daripada identiti mereka. Hal ini turut disokong menerusi pandangan Ibn Qayyim al-Jauziyyah (w. 751H) yang mengungkapkan bahawa, “didikan terbaik adalah dengan perbuatan, bukan hanya perkataan.”

Mendidik dengan Sabar dan Konsisten

Kebanyakan ibu pada hari ini sering merasakan dirinya gagal sekiranya tidak dapat menyediakan hidangan mewah atau tidak mampu mengikut trend semasa yang tular dalam media sosial. Pendidikan anak pada hakikatnya bukanlah tentang estetika makanan, tetapi keberkatan, emosi dan nilai yang mengiringi proses penyediaannya. Tindakan menyuap anak dengan tangan kanan dan membaca doa bersama-sama merupakan satu bentuk pendidikan yang besar dan asas akhlak dalam Islam. Kesempurnaan bukanlah matlamat utama, sebaliknya keikhlasan niat, usaha yang istiqamah dan ketenangan hati yang lebih penting.

Kembali Melihat Ruang Dapur sebagai Institusi Tarbiah

Dapur bukan ruang suram yang melelahkan, tetapi medan tarbiah yang hidup. Jika ibu bapa dapat memanfaatkan nilai yang ada di dapur dengan baik, mereka mampu melahirkan generasi yang celik jiwanya dan memahami tanggungjawab.

Bayangkan seorang anak sejak kecil sudah terbiasa membantu ibu bapa dalam urusan kerja rumah, dia akan membesar sebagai insan yang tahu menghargai usaha, berakhlak tinggi dan mempunyai sensitiviti terhadap keperluan orang lain. Pendidikan anak merupakan amanah ibu bapa dan sepatutnya bermula lebih awal dari rumah.

Semoga para ibu bapa hari ini kembali menjadikan dapur sebagai wahana tarbiah utama, bukan hanya untuk mengisi perut anak, tetapi untuk menyuburkan hati mereka dengan zikir, doa dan kasih sayang. Anak yang dibesarkan dari dapur yang penuh keberkatan akan membawa akhlak Islam ke mana-mana sahaja mereka melangkah, insya-Allah.


Penulis merupakan graduan doktor falsafah di bawah Jabatan Fiqh Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau juga aktif menghasilkan buku untuk bacaan umum, khususnya dalam bidang agama dan motivasi. Antara karya beliau termasuklah Ternyata Kita Mampu Mencontohi Sahabat Nabi SAW dan 6 Nasihat Imam al-Syafi’e kepada Penuntut Ilmu. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi