Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pahang mengekalkan tiga kadar zakat fitrah, iaitu RM8.00, RM14.00 dan RM21.00 bagi tahun 1447H/2026M.
Kadar minimum RM8.00 meningkat berbanding kadar tahun lalu, iaitu RM7.00 selaras dengan perkembangan semasa dan kos sara hidup rakyat.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YBhg. Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, baru-baru ini.
Beliau berkata, kadar minimum baharu yang perlu dibayar oleh setiap rakyat Pahang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah sebanyak RM8.00 seorang bagi yang menggunakan beras putih tempatan.
Penetapan kadar baharu tersebut dibuat hasil kajian terperinci yang dijalankan di pasar raya terpilih di seluruh Pahang, khususnya melibatkan corak pembelian beras oleh penduduk Pahang.
“Kajian mendapati majoriti umat Islam di Pahang menggunakan beras putih tempatan standard sebagai makanan harian, sekali gus menjadi asas kepada penetapan kadar minimum zakat fitrah,” katanya.
Jelasnya lagi, kadar RM14.00 seorang adalah bagi yang menggunakan beras import, beras perang, beras herba, beras poni, beras wangi, beras carlrose ataupun beras ponnies.
“Kadar RM21.00 seorang pula adalah bagi yang menggunakan beras basmathi, beras Jepun, beras merah ataupun beras pulut,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar semua umat Islam di negeri Pahang mula membayar zakat fitrah bermula pada 1 Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.