Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSurah al-Waqi‘ah diturunkan di Makkah, mengandungi 96 ayat, merupakan surah ke-56, serta berada pada juzuk ke-27 dalam al-Quran. Setiap surah al-Quran mempunyai kemukjizatan, begitu juga Surah al-Waqi‘ah. Terdapat sebuah athar sahabat yang diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah Ibn Mas‘ud r.a. ketika beliau hampir wafat:

Maksudnya: “Dikatakan kepada Abdullah bin Mas‘ud: ‘Berilah wasiat tentang anak-anak perempuanmu.’ Beliau menjawab: ‘Aku telah memerintahkan mereka membaca Surah al-Waqi‘ah, kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang membaca Surah al-Waqi‘ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kefakiran.’” (Riwayat al-Baihaqi).
Meskipun hadis ini dinilai daif sanadnya oleh sebahagian ulama hadis akan kelebihan amalan hadis tersebut, namun para ulama membenarkan beramal dengannya, apatah lagi hadis ini tidak bercanggah dengan al-Quran atau hadis yang lain.
Apabila kita membaca dan memahami ayat dalam Surah al-Waqi‘ah, Allah SWT tidak menyebut secara langsung tentang harta kekayaan dan cara mendapatkannya, namun surah ini mengandungi pelbagai peringatan tentang keteguhan iman dan tawakal kepada Allah SWT.
Mengapakah Surah al-Waqi‘ah begitu istimewa sehingga ada ulama menyebutnya surah kekayaan?
Pertama: Allah SWT memulakan surah ini dengan peringatan yang sangat menggoncang jiwa, iaitu peringatan tentang hari kiamat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Apabila berlaku hari kiamat, tidak ada sesiapa pun yang dapat mendustakan kejadiannya.” (Surah al-Waqi‘ah 56:1–2).
Dengan membaca dan mentadabur ayat ini, ummah akan menginsafi keadaan dahsyat hari kiamat yang pasti berlaku. Tiada siapa-siapa mampu menolaknya. Tiada siapa-siapa mampu melarikan diri daripadanya. Hari kiamat ialah permulaan alam akhirat, tempat terakhir bagi setiap manusia setelah berakhirnya alam dunia yang bersifat sementara.
Kedua: Ayat 7 hingga ayat 10 Surah al-Waqi‘ah menjelaskan pembahagian manusia di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

Tiga golongan tersebut ialah:
Dengan membaca dan mentadabur ayat ini akan menggetarkan hati manusia yang beriman dan takut kepada Allah SWT kerana berharap termasuk golongan al-sabiqun atau yamin dan bimbang termasuk golongan syimal yang diancam dengan azab yang pedih.
Ketiga: Bermula ayat 58 hingga ayat 73 Surah al-Waqi‘ah, Allah SWT mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT atas segala sesuatu. Allah SWT mengingatkan, bagaimanakah kita diciptakan?; dan bertanya, apakah manusia yang mencipta atau Allah SWT yang mencipta? Apakah manusia yang menumbuhkan tumbuhan atau Allah SWT yang menumbuhkannya? Apakah manusia yang menurunkan hujan atau Allah SWT yang menurunkannya? Apakah manusia yang menumbuhkan pohon kayu untuk menjadi api atau Allah SWT yang menumbuhkannya?
Menurut para ulama bahasa al-Quran, pertanyaan Allah SWT seumpama ini berupa pertanyaan yang memaksa pengakuan dan keinsafan. Pertanyaan yang menyedarkan kesombongan manusia, menyedarkan keterbatasan manusia dan membatalkan dakwaan kuasa manusia. Kesedaran ini melahirkan ummah yang kuat bertawakal kepada Allah SWT.
Surah al-Waqi‘ah mengajar manusia bahawa rezeki, kekayaan dan kesenangan berada di bawah kekuasaan Allah SWT Yang Maha Berkuasa memberikan rezeki dan menyempitkan kepada siapa-siapa yang dikehendaki-Nya. Maka itu, beramallah dengan Surah al-Waqi‘ah sebagai satu daripada amal soleh agar Allah SWT Yang Maha Memberi mengurniakan rezeki yang kita harapkan.
Namun demikian, rezeki bukan semata-mata berbentuk harta benda. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Bukanlah kekayaan (hakiki) dengan banyak harta, tetapi (kekayaan sebenar) apabila kaya jiwa.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menjelaskan bahawa ghina al-nafs bermaksud jiwa yang reda dengan ketentuan Allah SWT, qanaah (berpada-pada) dengan rezeki yang halal, tidak rakus dan tidak tamak. Jiwa yang kaya menjadikan kita tenang walaupun memiliki harta yang sedikit. Kekayaan jiwa menjadikan kita bersyukur dan berasa cukup; secara hakikatnya meletakkan kita berkeadaan lebih kaya daripada orang yang tamak meskipun mereka memiliki harta yang banyak.
Rezeki dan kesenangan kadangkala berbentuk anugerah kesabaran ketika ditimpa musibah, ketenangan ketika orang lain dalam keresahan, sihat tubuh badan untuk hidup dan beribadah, serta anak soleh yang menyejukkan mata.
Terdapat tiga perkara yang disimpulkan daripada perbincangan ini, iaitu:
Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 6 Februari 2026, bertajuk “Kelebihan Surah al-Waqi‘ah”.