Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIsrak Mikraj ialah mukjizat besar yang wajib diyakini dan dihormati. Namun begitu, penghormatan tersebut hendaklah berpaksikan ilmu dan sunah, bukan dengan mengada-adakan amalan yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dengan cara inilah umat Islam dapat mengekalkan kemurnian agama, serta menghayati peristiwa agung tersebut sebagai sumber keimanan dan pembaikan diri sepanjang zaman.
Bolehkah Malam Israk Mikraj Diraikan?
Walaupun peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW, para ulama menegaskan bahawa tiada satu pun dalil sahih yang menetapkan secara pasti tarikh berlakunya peristiwa ini, sama ada dari sudut bulan, hari mahupun malamnya. Sekalipun tarikh tersebut benar-benar diketahui, Rasulullah SAW dan para sahabat baginda tidak pernah mengkhususkannya dengan sebarang bentuk ibadah atau perayaan tertentu.
Mereka tidak mengadakan majlis sambutan, tidak menetapkan solat khas, dan tidak menjadikan malam tersebut sebagai musim ibadah tahunan. Jika perbuatan sedemikian merupakan suatu amalan yang disyariatkan, sudah tentu Rasulullah SAW akan mendahului umatnya bagi melaksanakannya atau sekurang-kurangnya menjelaskannya, sama ada melalui perkataan ataupun perbuatan.
Para sahabat pula merupakan generasi yang paling bersungguh-sungguh mengamalkan kebaikan. Mereka tidak pernah cuai ketika menyampaikan ajaran agama. Maka itu, ketiadaan amalan ini dalam kehidupan mereka menjadi petunjuk jelas bahawa perayaan malam Israk Mikraj bukanlah sebahagian daripada ajaran Islam.
Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz juga pernah menegaskan bahawa jika benar mengagungkan malam tersebut dengan ibadah khas merupakan sebahagian daripada agama, sudah pasti Rasulullah SAW tidak akan mengabaikannya, kerana baginda telah menyampaikan risalah dengan sempurna dan menunaikan amanah sepenuhnya. Ketiadaan sebarang petunjuk daripada Baginda dan para sahabat menunjukkan bahawa perbuatan tersebut bukan daripada Islam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku kepadamu, serta Aku reda Islam itu menjadi agamamu.” (Surah al-Ma’idah 5:3).
Sayidatina Aisyah r.a. meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal daripadanya, maka (pembaharuan itu) tertolak.”, manakala dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal daripada agama kami, maka amalan itu tertolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2550 dan Muslim, no. 1718).
Berdasarkan hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya melalui sabda Baginda yang bermaksud, “Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara ialah perkara yang diada-adakan. Setiap bidaah itu sesat.” (Hadis riwayat Muslim, no. 867).
Oleh itu, mengkhususkan malam tertentu sebagai “malam Israk Mikraj” dengan ibadah khas atau menjadikannya sebagai perayaan keagamaan bukanlah suatu amalan yang bersandarkan sunah. Hal yang lebih utama adalah dengan menghayati pengajaran besar peristiwa ini sepanjang masa, khususnya kewajipan solat dan hakikat penghambaan diri kepada Allah SWT, tanpa menambah ritual baharu yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Amaran ini bukan bertujuan mematikan semangat beragama, sebaliknya untuk memelihara kesucian Islam agar kekal berdasarkan wahyu dan sunah, bukan semata-mata adat atau kebiasaan masyarakat. Agama Islam telah disempurnakan oleh Allah SWT, dan segala bentuk ibadah yang mendekatkan diri kepada-Nya mestilah mempunyai sandaran yang jelas daripada al-Quran dan sunah. Penghayatan sebenar Israk Mikraj adalah dengan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui solat yang diwajibkan dalam peristiwa itu, memperbaiki akhlak, serta mencontohi kesabaran dan keteguhan Nabi Muhammad SAW ketika menghadapi ujian hidup.
Dalam konteks masyarakat Malaysia, pendekatan yang lebih seimbang adalah dengan menjadikan bulan Rejab sebagai ruang memperbanyak amal soleh secara umum, menghadiri majlis ilmu, dan mengingatkan diri tentang kepentingan solat, tanpa mengikatnya kepada satu malam tertentu atau bentuk ibadah khusus yang tidak mempunyai sandaran yang sahih.
Walaupun tidak disyariatkan untuk mengkhususkan malam tertentu sebagai malam Israk Mikraj, bulan Rejab tetap memiliki kedudukan istimewa dalam Islam kerana termasuk dalam kalangan al-asyhur al-hurum (bulan haram) yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawa Allah bersama dengan orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah 9:36).
Para ulama menjelaskan bahawa empat bulan tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Kemuliaan bulan tersebut terletak pada galakan untuk memperbanyak ketaatan dan menjauhi maksiat. Oleh itu, amalan memperbanyak solat sunat, puasa, sedekah, zikir, membaca al-Quran, serta menghadiri majlis ilmu sepanjang bulan Rejab merupakan amalan yang terpuji, selagi tidak dikaitkan dengan bentuk ibadah khusus pada tarikh tertentu tanpa sandaran yang sahih.
Dengan kefahaman ini, umat Islam dapat memanfaatkan kelebihan Rejab sebagai bulan haram untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT secara lebih konsisten, tanpa terjebak kepada pengkhususan malam tertentu atau perayaan yang tidak berpaksikan sunah.