Diterbitkan pada 16 Januari 2026, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan satu daripada mukjizat agung yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Perjalanan luar biasa ini membawa mesej besar tentang kedudukan Baginda, kekuasaan Allah SWT dan kewajipan solat lima waktu kepada umat Islam. Peristiwa ini wajar dihayati dengan penuh keimanan dan kefahaman yang betul, selaras dengan panduan al-Quran dan sunah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang telah Kami berkati di sekelilingnya; agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada bukti kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Isra’ 17:1).

Para mufasir menjelaskan bahawa ayat ini dimulakan dengan lafaz “Subhana” sebagai bentuk penyucian dan pengagungan Allah SWT kerana peristiwa Israk itu sendiri merupakan antara tanda kekuasaan-Nya yang paling agung.

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menegaskan bahawa Allah SWT memperjalankan hamba-Nya, Nabi Muhammad SAW, dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang diberkati, dalam satu malam sahaja, lalu kembali pada malam yang sama. Dalam perjalanan itu, Allah SWT memperlihatkan kepada Baginda pelbagai tanda kebesaran-Nya yang menambahkan keimanan, keteguhan dan ketajaman rohani Baginda.

Menurut beliau lagi, Israk dan Mikraj berlaku dengan roh dan jasad Nabi Muhammad SAW sekali gus. Jika tidak, peristiwa tersebut tidak lagi menjadi mukjizat besar dan keistimewaan agung. Pada malam tersebut, Baginda diperjalankan ke Baitulmuqaddis, kemudian diangkat ke langit sehingga melepasi tujuh lapisan langit, melihat syurga dan neraka, bertemu para nabi, serta menerima kewajipan solat yang pada asalnya difardukan 50 kali sebelum diringankan menjadi lima kali, namun tetap bernilai lima puluh dari sudut ganjaran.

Syeikh al-Sa‘di turut menekankan bahawa Allah SWT menyebut Nabi Muhammad SAW dalam ayat ini dengan sifat ‘abd (hamba), kerana kedudukan agung ini diraih melalui kesempurnaan penghambaan baginda kepada Tuhannya. Demikian mesej besar Israk dan Mikraj kerana kemuliaan tertinggi seseorang insan terletak pada ketundukan dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT. (Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 453).

Perbincangan Ulama Berkaitan dengan Tarikh Israk dan Mikraj

Para ulama berbeza-beza pendapat tentang tahun berlakunya peristiwa Israk Mikraj. Ada yang menyatakan peristiwa tersebut berlaku setahun sebelum hijrah. Pandangan ini dinukilkan oleh Imam al-Nawawi serta dikatakan sebagai ijmak oleh Ibn Hazm. Sebahagian yang lain pula berpendapat Israk Mikraj berlaku lima tahun sebelum hijrah, sebagaimana dinyatakan oleh al-Qadhi ‘Iyadh.

Dari sudut bulan, perbezaan pendapat juga sangat ketara. Berdasarkan Subul al-Huda wa al-Rasyad oleh al-Salihi, Ibn al-Athir dan sebahagian ulama menegaskan bahawa Israk Mikraj berlaku pada bulan Rabiulawal, bahkan Imam al-Nawawi menyebut malam ke-27 bulan tersebut. Namun begitu, terdapat juga pandangan yang menyatakan peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab, Ramadan atau Syawal.

Sebahagian ulama seperti Syeikh al-Maraghi pula cenderung kepada pendapat bahawa peristiwa ini berlaku pada bulan Rabiulawal, sama ada pada 12 ataupun 17 hari bulan. Pandangan ini turut dikuatkan oleh hujah Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berdasarkan athar Jabir dan Ibn ‘Abbas r.a.

Namun demikian, dalam kalangan masyarakat Islam pada hari ini, pendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada 27 Rejab menjadi pandangan paling masyhur, sebagaimana dinukilkan oleh sebahagian ulama seperti al-Mansurfuri. Walaupun demikian, perbezaan pandangan ini sendiri menunjukkan tarikh peristiwa tersebut tidak ditetapkan secara qat‘i dalam nas yang sahih.

Kepelbagaian pandangan ini juga memperlihatkan bahawa tarikh Israk Mikraj tidak pernah ditentukan secara pasti melalui nas yang sahih. Oleh itu, fokus utama umat Islam bukanlah pada penetapan malam tertentu, tetapi pada penghayatan terhadap makna dan tuntutan besar peristiwa ini, khususnya kewajipan solat dan hubungan hamba dengan Tuhannya.

Dalam hal ini, perkara yang lebih utama bagi umat Islam bukanlah mempertikaikan tarikh semata-mata, tetapi mengambil iktibar dan hikmah besar di sebalik mukjizat ini, khususnya kewajipan solat dan pengukuhan hubungan dengan Allah SWT. Dengan pendekatan inilah peristiwa Israk dan Mikraj benar-benar dihayati, tanpa terikat kepada bentuk perayaan tertentu.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah ditanya tentang seorang yang berkata: “Malam Israk lebih utama daripada lailatulqadar.” Lalu sebahagian yang lain berkata: “Lailatulqadar lebih utama.” Maka itu, yang manakah benar?

Berdasarkan Zad al-Ma‘ad oleh Ibn al-Qayyim, Ibn Taimiyah menjelaskan bahawa anggapan malam Israk lebih utama daripada lailatulqadar ialah pandangan yang salah, jika difahami bahawa setiap tahun, malam Israk perlu dimuliakan dengan ibadah yang lebih utama daripada ibadah pada  lailatulqadar. Beliau menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada kalangan umat Islam yang berpegang pada pandangan tersebut dan kebatilannya sudah jelas dalam agama kerana keutamaan lailatulqadar telah ditetapkan secara pasti dalam al-Quran.

Selain itu, Ibn Taimiyah menyatakan tarikh sebenar berlakunya peristiwa Israk Mikraj tidak diketahui dengan jelas kerana tiada dalil sahih yang menentukan bulan, hari atau malamnya, malah beberapa riwayat mengenainya terputus dan saling bercanggah, sehingga tidak dapat dipastikan dengan yakin.

Oleh itu, para ulama hadis menjelaskan bahawa tiada penetapan yang sahih tentang tarikh sebenar berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, sama ada pada bulan Rejab ataupun pada bulan yang lain. Semua riwayat yang menentukan tarikh tertentu tidak mencapai tahap sahih. Hal ini menunjukkan bahawa Allah SWT dengan hikmah-Nya, tidak menjadikan penentuan tarikh sebagai fokus utama, sebaliknya mengarahkan umat Islam untuk menumpukan perhatian kepada pengajaran dan tuntutan besar di sebalik peristiwa tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi