Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI) melancarkan Pelan Transformasi KBI 2025–2030 semalam, sebagai langkah strategik memperkukuh peranan koperasi itu dalam sektor hartanah, kewangan dan tadbir urus pengurusan.
Majlis Peluncuran Pelan Transformasi dan Dana Hartanah KBI yang berlangsung di Bangi Convention Centre disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesuatu pelan pembangunan perlu diketengahkan untuk membina kepercayaan serta persepsi dalam kalangan pelabur dan anggota.
“Untuk itu, Koperasi Belia Islam perlu mengetengahkan lebih banyak kisah kejayaan dan pencapaian sebenar yang telah direkodkan sepanjang hampir lima dekad penubuhannya,” jelas beliau.
KBI merupakan sebuah koperasi yang ditubuhkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuhkan pada 31 Mei 1977.
Koperasi ini ditubuhkan bertujuan memperkenalkan sistem muamalah islamiah dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia.
Hingga kini, KBI mempunyai sebanyak 13 729 orang anggota berdaftar di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KBI, Haji Azman Mohd Salleh berkata, Pelan Transformasi KBI 2025–2030 dirangka sebagai hala tuju jangka panjang bagi memastikan koperasi itu terus kekal relevan, mampan dan berdaya saing.
“Pelan ini memberikan fokus kepada pembangunan projek strategik, pengukuhan tadbir urus, serta peluasan peluang pelaburan yang memberikan manfaat langsung kepada anggota,” katanya.
Antara projek utama yang dirancang termasuklah pembangunan bercampur bernilai RM1.3 bilion di Ayer Keroh, Melaka, pembinaan hospital pakar di Bandar Enstek dan Tawau, Sabah, selain pembangunan bersepadu di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.
“Projek tersebut dipilih berdasarkan keperluan pasaran dan impaknya terhadap masyarakat setempat, khususnya bagi memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan dan peluang ekonomi,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Haji Azman berkata, KBI turut memperkenalkan penjenamaan semula Dana Hartanah KBI bagi membuka peluang lebih luas kepada anggota untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pelan transformasi tersebut.
Beliau memaklumkan, dana berkenaan akan dimulakan dengan saiz permulaan sebanyak RM50 juta dan dijangka menjadi sumber pembiayaan awal kepada projek pembangunan bercampur di Ayer Keroh.
“Kami mahu anggota KBI melihat Dana Hartanah ini sebagai instrumen pelaburan yang telus, berdaya maju dan patuh syariah.
“Penyertaan anggota ialah kekuatan utama koperasi,” katanya.
Menurut beliau, Dana Hartanah KBI ditadbir berasaskan kontrak Wadi‘ah Yad Dhamanah dan akan dilindungi melalui kerjasama dengan MyAngkasa Amanah Berhad sebagai pemegang amanah, bagi memastikan kepentingan dan keyakinan para pendeposit terus terpelihara.
Selain sektor hartanah, Haji Azman berkata, KBI turut memberikan penekanan terhadap pengukuhan sektor dalaman, termasuk pendidikan dan latihan kemahiran, pembiayaan mikro, industri makanan sejuk beku, serta keterjaminan makanan.
“Pendekatan kami menyeluruh kerana projek ini juga membina keupayaan anggota dan komuniti,” katanya.