Diterbitkan pada 24 Disember 2025, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam kehidupan beragama, sumber rujukan utama merupakan suatu perkara berbentuk fundamental kepada ketinggian dan keteguhan sesuatu ajaran. Dalam Islam, inti pati utama ajarannya tidak datang melalui kisah dongeng atau melalui cakap-cakap orang, melainkan diambil faham daripada wahyu al-Quran dan hadis, serta melalui perkara yang disepakati oleh para sahabat Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran dan hadis, selain menjadi hafalan, turut dibaca dan difahami seterusnya diamalkan sama ada pada hal suruhan ataupun hal larangan. Peranan al-Quran dan hadis sebagai pemudah cara untuk umat manusia mencari kebenaran juga turut membantu manusia menyelesaikan masalah baharu dalam beragama yang memerlukan ijtihad berbentuk fatwa.

Perkataan fatwa berasal daripada bahasa Arab. Dalam kitab Arab, perkataan fatwa turut disebut dengan perkataan lain seperti futya dan futwa. Dari sudut bahasa, fatwa membawa maksud penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih, iaitu mendalam pengetahuannya. Selain itu, fatwa juga boleh difahami sebagai penjelasan yang diberikan oleh seseorang yang faqih untuk menerangkan perkara yang menimbulkan kemusykilan atau kesamaran dalam sesuatu hukum.

Menurut Imam Ibn Manzur dalam kitabnya, Lisan al-‘Arab, perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding dengan perkataan futya. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan fatwa lebih sesuai menjadi masdar (kata nama). Kedua-dua perkataan tersebut, iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat al-ifta’ yang bermaksud perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum yang dikeluarkan oleh seseorang yang sangat mendalam pengetahuannya.

Dari sudut terminologi pula, perkataan fatwa mempunyai banyak maksud berdasarkan perbincangan dalam kalangan ulama. Imam al-Qarafi dalam kitabnya, al-Furuq menyebut fatwa bermaksud mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang perkara mesti ataupun harus. Sementara itu, Syeikh al-Qunawi al-Hanafi dalam kitab Anis al-Fuqaha berkata, fatwa ialah menyebut hukum perkara yang ditanyakan kepada penyoal. Imam al-Syaukani pula menyatakan bahawa fatwa merupakan hasil daripada ijtihad.

Dalam kalangan ulama kontemporari seperti Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar, beliau menyebut bahawa fatwa bererti memberikan perkhabaran akan hukum Allah SWT daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian. Syeikh Wahbah al-Zuhaili pula menyebut fatwa ialah jawapan yang diberikan oleh seseorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.

Berdasarkan pelbagai definisi yang dikemukakan, kita dapat merumuskan bahawa fatwa merangkumi tiga perkara penting, iaitu menjawab, menerangkan dan mengkhabarkan hukum. Oleh itu, kedudukan fatwa dipandang tinggi dan mulia kerana berfungsi menjelaskan kehendak syariat berlandaskan disiplin ilmu yang ada. Dalam hal ini, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya, al-Fatwa bayn al-Indibat wa al-Tasayyub menyebut fatwa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi syarak kerana fatwa dianggap sebagai menggalas tugas yang disandarkan kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan hukum-hukum syarak kepada umat manusia.

Berkaitan dengan persoalan memberikan fatwa, Allah SWT menyebutkan hal ini dalam al-Quran menerusi Surah al-Nisa’ ayat 176 yang bermaksud, “Mereka (orang Islam) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad) mengenai masalah kalalah (seseorang yang mati yang tidak meninggalkan ayah dan anak). Katakanlah: ‘Allah memberikan fatwa kepada kamu dalam perkara kalalah itu … .’” Ayat ini menegaskan fatwa ialah penjelasan hukum yang sahih dan berautoriti yang diberikan oleh pihak yang memiliki ilmu mendalam bagi menyelesaikan persoalan syariah yang memerlukan panduan tepat.

Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, I‘lam al-Muwaqqi‘in ‘an Rab al-‘Alamin menyebut yang pertama memegang jawatan yang mulia ini dalam kefatwaan ialah Rasulullah SAW, iaitu hamba dan rasul-Nya, pemegang amanah wahyu-Nya. Maka itu, fatwa Rasulullah SAW daripada Allah SWT dengan wahyu yang nyata. Oleh hal yang demikian, setelah kewafatan Baginda, fatwa atau hukum akan diputuskan oleh seseorang imam atau mujtahid berdasarkan kebenaran yang disandarkan kepada al-Quran dan hadis selain ijmak dan qias.

Terdapat juga sumber hukum lain seperti qaul al-sahabah (kata-kata sahabat), al-masalih al-mursalah dan istihsan. Mengeluarkan fatwa bukanlah tugas ringan yang boleh dilakukan seperti berbual santai di kedai kopi atau berbincang dalam sesi audio siar. Pemberi fatwa bertanggungjawab dengan apa-apa yang diungkapkannya. Seperti kata al-Qadhi al-Baji dalam kitab al-Muwafaqat, tidak halal bagi seseorang untuk memberikan fatwa pada agama Allah SWT kecuali dengan sebenarnya, serta memiliki iktikad dan keyakinan bahawa fatwa yang dikeluarkan olehnya itu benar. Hal ini dikatakan demikian kerana mufti menyampaikan penjelasan hukum yang bersumber daripada Allah SWT.

Persoalannya, siapakah yang berkelayakan untuk memberikan fatwa? Secara umumnya, orang yang berkelayakan memberikan fatwa ialah individu yang diiktiraf sebagai seseorang yang sangat mendalam ilmu pengetahuannya atau digelar al-faqih. Namun begitu, dalam konteks negara kita, orang yang berkelayakan memberikan fatwa ialah individu yang dilantik sebagai mufti.

Jawatan mufti merujuk orang yang dipertanggungjawabkan mengeluarkan fatwa. Di bawah peruntukkan undang-undang enakmen pentadbiran agama Islam mengikut negeri masing-masing, para mufti akan dibantu oleh beberapa orang ahli yang dianggap berkelayakan yang dinamakan sebagai ahli jawatankuasa fatwa. Jawatankuasa fatwa bertanggungjawab membantu mufti merangka serta membentuk fatwa bagi menyelesaikan permasalahan yang berbangkit. Oleh sebab itu, terdapat banyak badan kefatwaan baik di dalam negara mahupun di luar negara seperti Dar al-Ifta’ di Mesir, Presidensi Umum Penyelidikan Islam dan Kefatwaan di Arab Saudi, Majlis Fatwa Eropah dan Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa.

Secara umum, pelantikan seseorang mufti dalam Islam mensyaratkan beberapa kelayakan penting, antaranya termasuklah memiliki ilmu yang mendalam dalam bidang syariah seperti al-Quran, hadis, fiqh, usul fiqh dan kaedah hukum, serta menguasai bahasa Arab untuk memahami sumber hukum dengan tepat. Selain itu, mufti hendaklah seorang Muslim yang berakal, baligh, berakhlak mulia dan bersifat adil, di samping mempunyai kemampuan berijtihad atau sekurang-kurangnya keupayaan melakukan tarjih berdasarkan panduan ulama. Mufti juga perlu memahami realiti semasa (fiqh al-waqi‘) agar fatwa yang dikeluarkan relevan, serta memiliki sifat warak dan amanah kerana tugas tersebut merupakan tanggungjawab besar bagi menyampaikan hukum Allah SWT kepada masyarakat.

Pada hakikatnya, tidak semua yang digelar ustaz, ustazah atau tuan guru layak memberikan fatwa. Gelaran tidak membawa apa-apa makna melainkan keteguhan ilmu dan pengetahuannya yang mendalam serta diiktiraf kefaqihannya. Melihat sikap para salafussoleh, kita mendapati bahawa mereka tidak akan memberikan fatwa kecuali diakui oleh guru dan para ulama sezaman tentang kealiman dan kemampuan mereka untuk berfatwa.

Seperti kata Imam Malik, beliau menyebut bahawa dirinya tidak berfatwa sehinggalah disaksikan oleh 70 orang saksi dalam kalangan ulama bahawa dirinya merupakan ahli yang berkelayakan untuk mengeluarkan fatwa. Keadaan ini menunjukkan betapa mereka berhati-hati untuk memberikan fatwa. Hal ini juga membuktikan betapa besar dan beratnya tugas pemberi fatwa. Mengungkap kata-kata oleh Ibn Hamdan dalam kitabnya, Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, beliau menegaskan sesiapa yang memberikan fatwa dalam keadaan dirinya tidak memiliki ciri yang sepatutnya tanpa terdapat sebarang darurat, maka dirinya dikira sebagai pelaku maksiat dan berdosa.

Kefatwaan merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipermainkan. Dari sudut undang-undang, fatwa mempunyai peranan dan kedudukan yang tersendiri. Jika ditanya, apakah tidak cukup dengan merujuk al-Quran dan hadis tanpa perlu mengeluarkan fatwa? Kita katakan bahawa tidak semua isu semasa seperti penggunaan teknologi moden, serta hal baharu yang berkaitan dengan sosial, kewangan dan ekonomi disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Oleh sebab itu, fatwa diperlukan sebagai penyelesaian bagi permasalahan tersebut.

Bagi memahami inti pati ajaran al-Quran dan hadis memerlukan kefahaman yang sebenar berlandaskan disiplin ilmu yang tersusun. Hal yang demikian menuntut usaha ijtihad (memahami dengan mendalam) mengikut disiplin ilmunya. Selain itu, fatwa juga diperlukan sebagai alternatif penyelesaian yang bersifat semasa disebabkan oleh variasi permasalahan yang bergantung pada perbezaan konteks dan zaman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi