Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kelahiran seseorang bayi merupakan anugerah besar Allah SWT yang perlu diraikan dengan penuh kesyukuran. Dalam Islam, penyambutan kelahiran tidak terpisah daripada panduan wahyu dan sunah Rasulullah SAW. Dalam hal ini, terdapat beberapa amalan yang dianjurkan oleh sunah bagi menyambut kelahiran, antaranya termasuklah akikah, pemberian nama dan amalan mencukur rambut bayi.

Hal ini sebagaimana hadis daripada Samurah bin Jundub r.a. yang bermaksud, “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.” (Riwayat Abu Daud, no. 2837; al-Nasa‘i, no. 4220; Ibn Majah, no. 3165; dan Ahmad, no. 20 083).

Namun begitu, dalam kalangan ibu bapa pada hari ini, khususnya generasi muda, amalan mencukur rambut bayi sering menimbulkan persoalan sama ada sekadar adat ataupun terdapat hikmah lain di sebalik sunah ini, khususnya dalam konteks penjagaan kesihatan moden.

Berdasarkan sunah Nabi Muhammad SAW, amalan mencukur rambut bayi yang dimaksudkan adalah dengan menghilangkan semua rambut pada kepala bayi tersebut. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW memerintahkan agar dibuang daripada bayi segala kotoran, sebagaimana hadis riwayat Salman bin ‘Amir r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bersama-sama kelahiran anak, ada akikahnya. Maka itu, alirkanlah darah untuknya dan singkirkanlah kotoran daripadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari secara mu‘allaq selepas hadis no. 5471; Abu Daud, no.2839; al-Tirmizi, no. 1515; al-Nasa’i, no. 4214; Ibn Majah, no. 3164; dan Ahmad, no. 16 229).

Para ulama menjelaskan bahawa antara maksud perintah ini termasuklah mencukur rambut bayi pada hari ketujuh kelahiran. Perbuatan ini dilakukan bersama-sama akikah dan pemberian nama, sekali gus menggambarkan kesempurnaan adab Islam dalam amalan menyambut kehidupan baharu.

Dalam kalangan ulama hadis, frasa “singkirkanlah kotoran daripadanya” dihuraikan secara lebih mendalam. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa perkataan al-aza dalam hadis tersebut membawa makna gangguan atau kekotoran yang perlu dihilangkan, sama ada dari sudut zahir mahupun makna. Sebahagian ulama mentafsirkan kotoran tersebut sebagai merujuk perbuatan mencukur rambut kepala bayi. Tafsiran ini disokong oleh beberapa riwayat yang menyebut secara jelas perintah mencukur rambut.

Namun begitu, dalam Fath al-Bari, Ibn Hajar menegaskan bahawa makna al-aza tidak semestinya terbatas kepada amalan mencukur rambut semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat riwayat lain yang menyebut perintah menghilangkan gangguan dan mencukur rambut sebagai dua perkara yang disebut secara berasingan. Oleh itu, hal yang lebih tepat adalah dengan memahami maksud al-aza sebagai segala bentuk kekotoran atau gangguan yang ada pada bayi selepas kelahiran, termasuklah rambut, sisa darah atau kotoran lain yang boleh menjejaskan kebersihan dan kesihatan bayi.

Selain itu, terdapat juga galakan untuk bersedekah bersempena dengan amalan bercukur tersebut. Sayidina Ali bin Abu Talib r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah r.a. yang bermaksud, “Wahai Fatimah, cukurlah rambut kepalanya dan bersedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya itu. Ali berkata, “Maka itu, Fatimah menimbang rambut tersebut, lalu beratnya ialah satu dirham atau sebahagian daripada satu dirham.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 1519).

Amalan bersedekah ini membawa mesej penting bahawa sejak hari pertama kelahiran, seseorang anak telah dihubungkan dengan nilai kebajikan sosial. Sunah ini bukan sahaja mendidik ibu bapa agar bersyukur, malah menanam nilai empati terhadap golongan yang memerlukan.

Dari sudut hukum, majoriti ulama mazhab Maliki, mazhab Syafii dan mazhab Hanbali berpandangan bahawa mencukur rambut bayi pada hari ketujuh kelahiran merupakan amalan yang disunatkan, berserta sedekah mengikut berat rambut tersebut. Terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama berhubung dengan amalan mencukur rambut bayi perempuan, namun perbezaan ini ditangani secara berlapang dada tanpa menafikan hikmah dan kebaikan amalan tersebut.

Dalam konteks masyarakat di Malaysia, amalan mencukur rambut bayi sering dilaksanakan dalam bentuk majlis yang dikenali sebagai majlis cukur jambul, iaitu rambut bayi digunting sedikit demi sedikit oleh orang yang hadir ke majlis tersebut secara bergilir-gilir sebagai simbolik doa dan kesyukuran. Walaupun tujuan majlis tersebut bersifat sosial dan kekeluargaan, perlu diberi perhatian bahawa sunah mencukur rambut bayi yang sebenar ialah mencukur keseluruhan rambut kepala bayi, bukan sekadar memotong sebahagiannya sahaja tanpa dihabiskan selepas itu.

Islam menganjurkan pencukuran rambut bayi dilakukan secara sempurna, iaitu meliputi seluruh kepala. Hal ini dikatakan demikian kerana perbuatan mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain tergolong dalam perbuatan qaza‘, iaitu gaya mencukur rambut yang dilarang oleh syarak secara makruh.

Daripada ‘Amru, daripada Nafi‘, daripada Abdullah bin ‘Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW melarang perbuatan qaza‘. Apabila ditanya tentang maksud qaza‘, Nafi‘ menjelaskan bahawa kalimah itu merujuk perbuatan mencukur sebahagian rambut kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain.” (Riwayat Muslim, no. 2120).

Oleh itu, sekiranya majlis cukur jambul diadakan sebagai adat dan bersifat simbolik, lebih baik pencukuran rambut bayi diselesaikan dengan mencukur keseluruhan rambut selepas majlis tersebut, agar sunah Rasulullah SAW dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Selain nilai ibadah, sunah mencukur rambut bayi turut mengandungi hikmah dari sudut kesihatan dan pencegahan. Berdasarkan Ahkam al-Tifl oleh Ahmad al-‘Isawi, Ibn al-Qayyim menyebut tentang manfaat mencukur rambut bayi.

Mencukur rambut kepalanya dapat menghilangkan gangguan daripadanya, menanggalkan rambut yang lemah agar digantikan dengan rambut yang lebih kuat dan kukuh, serta memberikan manfaat kepada kepala. Selain itu, amalan tersebut memberikan keselesaan kepada bayi dan membuka liang-liang kulit kepala. Bersama-sama dengan itu, terdapat juga penguatan pada penglihatan, deria bau dan pendengaran.

Dr. Abdul Azizi Sa‘ad al-Dughaithir dalam makalahnya pula menyatakan hikmah dan manfaat mencukur rambut bayi yang baru lahir, antaranya termasuklah:

  1. Membersihkan kulit kepala: Amalan tersebut membantu menanggalkan rambut yang mungkin masih mengandungi sisa darah atau cecair selepas kelahiran. Hal ini dapat mengurangkan risiko jangkitan atau keradangan kulit kepala.
  2. Merangsang pertumbuhan rambut: Mencukur rambut boleh membantu pertumbuhan rambut yang lebih kuat dan lebih sekata.
  3. Pengudaraan kepala: Dengan mencukur rambut, haba pada bahagian kepala dapat dikurangkan, terutamanya pada hari awal selepas kelahiran.

Kesimpulannya, amalan mencukur rambut bayi bukan sekadar adat turun-temurun, bahkan satu daripada sunah Nabi Muhammad SAW yang mengandungi hikmah perlindungan, kebersihan, kebajikan sosial dan pendidikan rohani. Sunah ini membuktikan bahawa ajaran Rasulullah SAW sentiasa relevan merentasi zaman dan selari dengan prinsip penjagaan kesihatan serta pencegahan. Menghidupkan sunah ini bukan sahaja mendatangkan pahala, malah mencerminkan kebijaksanaan Islam untuk membimbing manusia sejak awal kehidupannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi