Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Antirasuah Antarabangsa yang disambut pada 9 Disember setiap tahun bukan sekadar ritual tahunan, tetapi menjadi detik untuk kita memeriksa hati nurani negara dan menilai tahap keberanian kita bagi menghadapi ancaman paling besar kepada pembinaan masyarakat beradab, yakni kemusnahan sistemik yang dicetuskan oleh budaya rasuah.
Dalam konteks Malaysia, rasuah bukan isu terpencil, tetapi isu yang telah merentasi beberapa dekad, mencorakkan budaya pentadbiran, melemahkan institusi dan meragut keyakinan rakyat terhadap masa hadapan. Kerosakan yang berpunca daripada rasuah sering kali lebih dalam dan lebih lama daripada kerosakan ekonomi yang dapat diukur melalui angka ringgit dan sen.
Rasuah sebagai Pengkhianatan Moral
Rasuah yang dibenarkan berlaku bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah merupakan pengkhianatan moral terhadap amanah rakyat. Kerosakan yang dibawa oleh rasuah memberikan kesan terhadap ekonomi dan pembangunan, mencemarkan tatakelola, melemahkan prinsip keadilan sosial dan mematikan nilai kesaksamaan yang menjadi asas sesebuah negara yang bermaruah.
Dalam Islam, amanah merupakan satu daripada prinsip paling asas dalam pembinaan manusia dan masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 mengingatkan bahawa setiap amanah wajib diserahkan kepada yang berhak. Ayat ini menjadi pangkalan moral bagi sesebuah negara yang ingin membina peradaban.
Kedudukan Malaysia yang Membimbangkan
Statistik semasa menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-57 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Tahun 2024 dengan skor 50 per 100. Data ini memberikan gambaran jelas bahawa negara masih bergelut untuk membaiki persepsi dan realiti rasuah dalam pentadbiran.
Walaupun terdapat usaha positif, pencapaian ini masih jauh daripada sasaran yang pernah dinyatakan, malah memberikan petunjuk bahawa agenda reformasi integriti perlu dipergiat dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, berani dan bebas daripada tekanan politik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan, rampasan dan pemulihan aset negara melalui pelbagai siasatan rasuah dianggarkan melebihi RM30 bilion. Jumlah ini menunjukkan kemampuan negara untuk menuntut kembali aset rakyat yang hilang. Namun demikian, jumlah itu tidak mampu menggantikan kerosakan moral, kehilangan kepercayaan rakyat dan kecacatan institusi yang berlaku akibat salah guna kuasa.
Budaya Integriti Bermula daripada Masyarakat
Memerangi rasuah tidak akan berjaya sekiranya hanya digerakkan melalui undang-undang, dasar atau rancangan pentadbiran. Reformasi yang lebih mendalam perlu berlaku pada peringkat masyarakat. Pendidikan integriti, pembudayaan etika, pembinaan karakter dan tazkiyah diri perlu diperkukuh dalam keluarga, sekolah, institusi agama dan ruang digital.
Reformasi institusi merupakan keperluan, tetapi reformasi budaya dan minda ialah keutamaan. Integriti mesti menjadi gaya hidup, bukan sekadar slogan rasmi.
Suara generasi muda dalam hal ini amat penting. Golongan belia bukan sekadar pemerhati, tetapi pewaris masa hadapan yang menuntut negara berfungsi pada asas kebenaran, keadilan dan ketelusan. Belia mahukan negara yang dibina atas integriti, bukan ketirisan.
Malaysia MADANI tidak akan bermakna jika nilai moral tidak menjadi teras pentadbiran. Negara hanya boleh maju sekiranya keberanian moral didahulukan daripada kepentingan politik.
Tanggungjawab Kolektif Seluruh Rakyat
Memupuk budaya sifar toleransi terhadap rasuah memerlukan komitmen menyeluruh semua pihak – kerajaan, swasta, masyarakat dan institusi agama. Kita tidak mampu membiarkan rasuah berakar menjadi normal sehingga generasi akan datang melihatnya sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Hari Antirasuah Antarabangsa ini sewajarnya menjadi seruan untuk kita memulakan era yang lebih berprinsip, lebih bermaruah dan lebih berintegriti. Malaysia hanya akan melangkah maju apabila semua ahli masyarakat bersedia mempertahankan nilai kesucian amanah sebagai tonggak pembangunan negara.
Dalam situasi dunia semakin bergantung pada teknologi dan pengurusan data, integriti menjadi asas kepada pemikiran masa hadapan. Tanpa integriti, teknologi hanya mempercepat penyelewengan.
Integriti bukan pilihan, tetapi asas kemajuan bangsa.
Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).