Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kira-kira 400 orang hadir bagi mendengar ceramah integriti bertajuk “Berani Jujur, Elak Tersungkur” yang disampaikan oleh YBrs. Encik Syamsul Amri Ismail yang lebih dikenali sebagai Ustaz Syamsul Debat di Dewan Dahlia, BCIC Lodge, Indera Mahkota, pada 28 November 2025 yang lalu.
Ceramah anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) tersebut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Integriti Perdana PKNP dan bertujuan untuk menyebarluaskan kesedaran tentang integriti khususnya dalam sektor pekerjaan.

Dalam ceramah yang disampaikan secara santai dan interaktif tersebut, YBrs. Ustaz Syamsul Debat menekankan kepentingan integriti di tempat kerja yang pada akhirnya akan menjadi rezeki kepada individu serta keluarga dalam kehidupan seharian.
“Apa-apa sahaja pekerjaan yang dilakukan ialah pekerjaan yang mulia dan maksud kaya itu subjektif kepada setiap individu.
“Gaji kita cukup untuk hidup, tetapi tidak akan cukup untuk gaya hidup,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, terdapat lima perkara yang perlu diterapkan dalam diri dan hati semasa menjalankan tugas dan pekerjaan dengan penuh integriti.
Katanya, “Pertama ialah sabar. Sabar untuk taat kepada perintah Allah, sabar untuk meninggalkan larangan Allah dan sabar dengan segala ujian dan dugaan.
“Kedua ialah syukur. Bersyukur dengan nikmat kerja yang diberikan, lakukan tanggungjawab dengan penuh amanah serta bersungguh-sungguh dan peliharalah kerja yang diperolehi sebaik-baiknya,” jelas beliau.
“Ketiga ialah percaya akan hikmah pada kerja yang telah ditentukan Allah. Keempat ialah reda dengan kerja yang ada dan kelima ialah ikhlas ketika melakukan pekerjaan tersebut,” tambah beliau lagi.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa untuk menjadi seseorang yang berani bersikap jujur, tiga perkara perlu dibuang daripada diri, iaitu sifat tamak, sombong dan dengki.
Beliau juga menekankan bahawa apa-apa sahaja perkara yang baik yang dilakukan ialah cerminan integriti dalam diri setiap individu.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKNP, YBhg. Datin Hajah Noraskin Jamaludin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNP, YBrs. Encik Mohd Razif Abdul Malek; anggota pekerja kumpulan PKNP; serta wakil agensi dan jabatan di sekitar Pahang.