Diterbitkan pada 26 November 2025, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Apakah rahsia sebenar di sebalik kejayaan seseorang dalam pekerjaannya? Adakah wang dan pangkat semata-mata yang menjadi pembakar semangat? Adakah terdapat sumber lain yang lebih halus dan tidak terlihat oleh mata kasar, tetapi menggerakkan jiwa manusia untuk bekerja dengan penuh dedikasi?


Bagi manusia, pekerjaan sering dilihat sebagai sumber rezeki dan keperluan duniawi, misalnya untuk membayar bil, membesarkan anak atau memenuhi gaya hidup. Namun begitu, Islam mengajar kita untuk melihat pekerjaan dari perspektif yang lebih luas, iaitu bukan sekadar mencari sesuap nasi, tetapi sebagai amanah dan ibadah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk ayat 15 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu kembali setelah dibangkitkan.”

Namun demikian, cabaran realiti hari ini tidak mudah. Tekanan kerja, persaingan, budaya materialistik dan keletihan yang tidak berkesudahan sering memadamkan semangat. Ada yang bangun pagi dengan hati yang berat, mengira hari dan menanti cuti panjang sebagai “penyelamat”.

Dalam Islam, motivasi kerja bukan sekadar dorongan untuk produktif, bahkan pendekatan holistik yang menyatukan disiplin, spiritual dan psikologi.

Islam mengajar kita menukar kepenatan kepada pahala, tekanan kepada kesabaran dan kejayaan kepada kesyukuran. Dengan itu, kerja dilihat bukan hanya urusan dunia, malah jalan untuk mengumpul bekalan akhirat serta membentuk cara pandang yang lebih menyeluruh terhadap kehidupan.

Antara Tekanan dengan Keberkatan
Pelbagai persoalan muncul dalam fikiran saat beban kerja menekan atau usaha tidak dihargai. Pada ketika itu, barulah kita sedar bahawa pekerjaan bukan sekadar mengejar sasaran atau menunggu gaji. Motivasi ialah nadi yang menghidupkan setiap langkah. Dengannya, pekerjaan menjadi ibadah yang membawa keberkatan daripada Allah SWT.

Dari sudut psikologi moden, motivasi yang berkesan datang daripada makna. Teori penentuan nasib sendiri (self-determination) oleh Deci dan Ryan menyatakan bahawa manusia lebih terdorong apabila merasakan kerja yang dilakukan memiliki makna, mempunyai autonomi dan meningkatkan kompetensi. Hal ini dinamakan motivasi intrinsik, iaitu dorongan yang datang dari dalam diri. Dorongan ini lebih berkesan dan bertahan lama berbanding dengan motivasi ekstrinsik (luaran) yang bertumpu kepada ganjaran luar seperti gaji atau pujian semata-mata.

Motivasi kerja juga berkaitan rapat dengan emosi. Dalam Islam, hati yang tenang lahir daripada zikir dan tawakal. Seseorang yang meyakini bahawa rezekinya ditentukan oleh Allah SWT akan lebih tenang menghadapi cabaran. Islam juga mengajar tentang keseimbangan; berusaha sekuat mungkin (internal locus of control) dan pada masa yang sama reda dengan ketentuan Allah SWT (external locus of control). Demikian rahsia ketenangan Muslim ‒ bekerja tanpa takut miskin kerana percaya bahawa rezeki milik Allah SWT, sementara usaha hanyalah amanah.

Pekerjaan merupakan peluang untuk manusia berkembang, menyumbang dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sesuatu kerjaya bukan sekadar rezeki halal, bahkan medan untuk menanam pahala, membina jati diri, serta memberikan manfaat kepada orang lain.

Mengikat Dunia dengan Akhirat
Motivasi kerja dalam Islam merupakan transformasi menyeluruh berkaitan dengan cara seseorang memandang sesuatu kerja; daripada rutin duniawi kepada amalan dan bekalan akhirat.  Seseorang yang bekerja untuk mencari nafkah halal bagi keluarga berada pada jalan jihad.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Satu dinar yang engkau nafkahkan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dan satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hal ini, niat seseorang ketika melakukan sesuatu pekerjaan merupakan perkara yang amat penting. Niat mengikat kerja dengan makna abadi, memberikan ketahanan mental dan psikologi bagi mengekalkan semangat walau dunia tidak menghargai, namun jiwa tetap kuat kerana yakin Allah SWT menilai setiap pekerjaan yang dilakukan.

Psikologi Islam: Ketenangan dalam Tekanan
Motivasi kerja juga bergantung pada cara seseorang menguruskan tekanan. Dalam psikologi moden, hal disebut penghakikian diri (self-actualization),” namun Islam mengajarkan tazkiyah al-nafs, iaitu penyucian jiwa. Zikir, doa, sabar dan syukur ialah terapi spiritual yang menenangkan hati. Amalan tersebut mampu menguatkan semangat dan menahan diri daripada sikap putus asa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat 28 yang bermaksud, “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

Perasaan bersyukur boleh meningkatkan tahap kepuasan kerja serta mengurangkan tekanan. Sikap sabar pula membina ketahanan, tidak berputus asa akan kesukaran, tetapi terus berusaha dan menyerahkan hasil akhir kepada Allah SWT. Apabila nilai ini digabungkan, maka kerja tidak lagi membebankan jiwa, sebaliknya menjadi latihan mental dan spiritual yang mendidik hati.

Satu lagi aspek penting dalam pekerjaan ialah keseimbangan hidup. Islam melarang manusia terlalu tenggelam dalam kerjaya sehingga mengabaikan keluarga, kesihatan dan ibadah. Nabi Muhammad SAW merupakan contoh terbaik ‒ seorang pemimpin, peniaga, suami, ayah dan hamba Allah SWT yang sentiasa menjaga keseimbangan hidup.

Psikologi moden juga menekankan perkara yang sama melalui konsep keseimbangan kehidupan bekerja atau work-life balance. Hal ini dikatakan demikian kerana tekanan yang kronik boleh memusnahkan motivasi dan kesihatan mental individu. Secara ringkasnya, motivasi kerja hanya akan kekal jika kita menjaga diri secara menyeluruh dari aspek jasmani, rohani dan emosi.

Pekerjaan sebagai Khidmat Ummah
Islam melihat sesuatu pekerjaan sebagai khidmat kepada masyarakat dan bukan hanya tentang individu. Seseorang doktor menyelamatkan nyawa, seseorang guru melahirkan generasi berilmu. Apabila diniatkan kerana Allah SWT, maka semuanya menjadi ibadah berjemaah.

Islam juga menekankan nilai ukhuwah (persaudaraan). Apabila seseorang pekerja menyedari dirinya merupakan sebahagian daripada misi ummah, maka motivasinya akan menjadi lebih teguh. Kajian psikologi juga mendapati manusia lebih bahagia apabila memberikan manfaat kepada orang lain.

Hal yang demikian merupakan rahsia generasi awal Islam bekerja tanpa lelah bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk agama dan masyarakat. Perspektif inilah yang perlu dihidupkan kembali dalam dunia moden yang semakin individualistik dan materialistik.

Pada akhirnya, motivasi kerja dalam Islam terikat dengan visi akhirat. Dunia hanyalah ladang untuk menuai pahala. Jika psikologi moden memberi kita strategi praktikal, maka Islam memberi kita tujuan hidup yang abadi.

Rahsia Bahagia Bekerja
Motivasi kerja dalam Islam berakar daripada iman yang menjadi makna dan pengabdian kepada Allah SWT. Setiap pekerjaan yang dilakukan dengan ikhlas menjadi ibadah; setiap usaha yang halal menjadi sedekah; dan setiap cabaran yang dilalui menjadi peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Keindahan Islam memuliakan kerja sebagai suatu ruang untuk membina diri, keluarga, masyarakat dan pada akhirnya, mendapatkan keredaan Allah SWT. Apabila digabungkan dengan psikologi, maka lahirlah keseimbangan, iaitu Islam memberikan tujuan dan makna, manakala psikologi memberikan strategi dan pemahaman tentang minda manusia.

Pekerjaan yang berlandaskan iman melahirkan jiwa yang sabar, bersyukur dan tenang. Pekerjaan tersebut menukarkan tekanan kepada peluang, keletihan kepada pahala, dan kejayaan duniawi kepada saham akhirat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi