Diterbitkan pada 20 November 2025, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang — Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu membina jiwa yang berasaskan ihsan, rasa kekitaan dan kebersamaan dengan keseimbangan jasmani, emosi dan sahsiah.

Seruan itu disampaikan oleh Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, Encik Zairudin Hashim, ketika menyampaikan amanat pada Program Latihan Asas Sukarelawan YADIM (LASAK) Siri 10/2025 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November di Kompleks Latihan MARDI, Serdang.

“Komitmen sukarelawan dalam melaksanakan program serta aktiviti dakwah kebajikan perlu sentiasa kukuh,” katanya.

Beliau turut mengajak peserta meneladani Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sejak usia muda aktif menggerakkan pelbagai program berimpak melalui pertubuhan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY)

Program pada kali ini menghimpunkan enam pasukan Sukarelawan YADIM (SAY) iaitu SAY Putrajaya, SAY Sungai Semungkis, SAY Taman Nanding, SAY Sepang, SAY Projek Perumahan Rakyat Taman Wahyu dan SAY Petaling Jaya Selatan.

Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk perkongsian eksklusif oleh Pegawai Bomba Balai Serdang, program Ziarah Kasih, Street Dakwah di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah serta sesi perkongsian mengenai kerja dakwah dalam masyarakat madani oleh Dai Muda YADIM Al-Fateh.

Turut diadakan ialah tadabur Surah al-Fatihah yang disampaikan oleh Dai Muda YADIM Lutfi Hadi.

Majlis penutup program disempurnakan oleh Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, Encik Ahmad Saparudin Yusop.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Khidmat Bakti, Puan Hafsah Hussain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi