Diterbitkan pada 19 November 2025, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Impian memiliki rumah tangga bahagia dan harmoni menjadi dambaan setiap insan. Tiada insan yang berkahwin untuk bersedih, sengsara dan makan hati sepanjang hidup bersama-sama dengan pasangan. Namun begitu, tidak semestinya semua perkara berlaku seperti yang diangan-angankan kerana hidup ini seperti pusingan roda, adakala bahagia dan adakala diuji dengan pelbagai masalah yang meresahkan.

Begitulah hakikat hidup, banyak perkara yang tidak dijangka berlaku dan kadangkala di luar batas fikiran. Merancang itu perlu, tetapi hasilnya tidak akan berlaku seratus peratus sebagaimana yang dirancang walaupun sudah cukup teliti, tersusun rapi dan bersistematik pada kaca mata diri sendiri. Demikian bukti yang menzahirkan kelemahan diri manusia yang serba kekurangan.

Oleh sebab itu, penting untuk seseorang memahami falsafah rumah tangga dengan maksud mengetahui bahawa garis perjalanan hidup ini tidaklah semudah yang disangka. Ilmu rumah tangga wajar dicari dan dipelajari supaya dapat difahami dari perspektif syariat agama yang benar.

Banyak insan yang membayangkan bahawa perkahwinan itu sepenuhnya indah kerana dapat menikmati kebahagiaan bersama-sama pasangan dan anak. Pada hakikatnya, tidak salah untuk mengimpikan kebahagiaan sedemikian kerana demikianlah antara tujuan perkahwinan. Perlu difahami bahawa perkahwinan juga merupakan cara untuk mensyukuri nikmat Allah SWT atas kurniaan jodoh. Melaluinya, fitrah biologi dapat dipenuhi dan jiwa memperoleh ketenangan serta ketenteraman.

Hidup berumah tangga didatangkan dengan pakej tanggungjawab; yang paling utama ialah tanggungjawab kepada Allah SWT dan tanggungjawab hamba sesama hamba, iaitu hubungan manusia dengan manusia. Persiapan untuk membina rumah tangga perlulah dibuat sedari awal, iaitu mempelajari ilmu rumah tangga seperti membentuk diri dengan akhlak yang baik, lebih tekun beribadah, serta mendidik hati agar lebih bertanggungjawab dalam segala hal.

Setelah itu, mulailah mencari pasangan dengan membuat pilihan terbaik dan tepat mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.  Maka itu, hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mengabaikan ciri atau kriteria yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW memberikan petunjuk bahawa rumah tangga yang dibina berkemungkinan mengundang masalah. Jadi, tidak hairanlah kes perceraian dan keruntuhan rumah tangga semakin bertambah saban tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana institusi rumah tangga merupakan pusat pendidikan pertama yang membentuk jiwa, spiritual dan mental seseorang insan. Konflik kecil yang berulang menandakan wujudnya isu asas yang perlu diberikan perhatian sebelum hal tersebut menggoyahkan keseluruhan struktur keluarga.

Paling menyayat hati apabila terdapat juga kes penderaan mental dan fizikal oleh pasangan, tidak menunaikan hak dan tanggungjawab dengan baik, melepaskan peranan sebagai suami dan ayah atau peranan ibu dan isteri sehingga berlarutan. Malangnya, anak yang menjadi mangsa keadaan saban hari menyaksikan kepincangan yang berlaku dalam keluarga dan secara tidak langsung mengganggu emosi dan perkembangan mereka.

Dalam hal ini, Islam mengajar umatnya dengan disiplin hidup yang jitu dan mampan. Segala permasalahan mesti merujuk dua warisan agung yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, iaitu al-Quran dan sunah Baginda. Berkaitan dengan masalah rumah tangga, sedari awal Allah SWT mengingatkan hamba-Nya agar sentiasa berusaha mendekatkan diri dan dengan tegas menuntut kita agar tekun beribadah kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.” (Surah al-Zariyat 51:56). Dalam Surah al-Baqarah ayat 238, Allah SWT juga berfirman yang bermaksud, “Peliharalah segala solatmu, dan (peliharalah) solat yang pertengahan (solat wusta).”

Maksud kalam suci Allah SWT ini menjelaskan bahawa solat wajib perlu ditunaikan dan dilaksanakan dengan sempurna. Melalui perlaksanaan ibadah inilah datangnya kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga, sebagai hasil ketaatan kepada Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-Nya. Sebaliknya, mengabaikan perintah wajib seperti solat dan ibadah lain seolah-olah membuka ruang kekacauan dan kesulitan dalam kehidupan pada masa hadapan.

Bayangkan kita memberikan segala yang terbaik kepada anak daripada keperluan hidup, pendidikan hingga kasih sayang, namun akhirnya anak itu menderhaka, tidak taat, malah sanggup menghina dan merendah-rendahkan ibu bapanya. Tentunya hati kita terluka dan kecewa.

Analogi ini dapat menggerakkan minda kita untuk memahami makna sebenar ketaatan dan implikasi apabila seseorang memilih untuk menentang. Allah SWT berhak memurkai hamba-Nya yang ingkar kerana Dia bersifat al-Hakim (Maha Bijaksana) dan al-Jabbar (Maha Perkasa). Bentuk kemurkaan-Nya berbeza-beza mengikut keadilan penghakiman-Nya terhadap kesalahan hamba, namun yang pasti, kesannya amat berat dirasai, apatah lagi azab yang jauh lebih dahsyat di akhirat kelak.

Tidak menghairankan jika ada yang merasakan bahawa masalah rumah tangga boleh menjadi seperti “neraka dunia”. Hakikat ini menjadi peringatan bahawa kelalaian daripada mengingati Allah SWT serta kecenderungan melakukan maksiat mampu membuka pintu kepada pelbagai kesempitan hidup.

Falsafah kehidupan berumah tangga ini sebenarnya dapat memberikan suatu kefahaman yang lebih bermakna dan menyeluruh tentang kehidupan sebenar bahawa hidup ini bukan hanya untuk bersuka ria dan bersenang-lenang, tetapi sebagai tempat persediaan untuk mengumpul pahala daripada amal kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab.

Segala perintah Allah SWT mesti ditaati dan ditunaikan, manakala semua larangan-Nya wajib dijauhi dan tinggalkan kerana itulah penentu ketenangan jiwa dan kejayaan hidup dunia dan akhirat.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Poly Tech Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi