Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDunia pendidikan negara ketika ini dilanda pelbagai isu yang bertali arus, terutamanya perihal yang berkaitan dengan krisis moral dan disiplin pelajar sehingga timbul desakan agar hukuman rotan dikembalikan semula. Kes buli dan rogol di sekolah bukan lagi dianggap terpencil apabila satu demi satu kes tular dalam media sosial. Terbaharu, kes pembunuhan di sebuah sekolah yang menggemparkan dunia pendidikan Malaysia telah mengundang persepsi bahawa sekolah bukan lagi tempat selamat.
Situasi ini mendorong banyak pihak berpendapat bahawa hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar wajar dilaksanakan. Bahkan, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan persetujuan peribadi agar hukuman berkenaan dikembalikan di sekolah, namun pelaksanaannya mesti disertai syarat yang ketat. Persoalannya, sejauh manakah hukuman rotan dibenarkan dalam Islam?
Masyarakat Malaysia dikenali sebagai masyarakat yang amat menitikberatkan pendidikan anak, terutamanya pendidikan agama. Antara kaedah didikan yang sinonim dengan tradisi masyarakat kita termasuklah penggunaan rotan. Bagi Generasi X, rotan bukanlah perkara asing sewaktu mereka kecil dan hampir setiap rumah mempunyai rotan sebagai alat untuk mendidik anak.
Dalam Islam, prinsip mendidik manusia berasaskan kasih sayang dan hikmah. Kedua-dua prinsip ini menjadi asas utama dalam pembentukan akhlak dan sahsiah. Walau bagaimanapun, ketegasan tetap diperlukan sebagai pelengkap bagi memastikan keberkesanan proses pendidikan.
Perbuatan merotan dalam Islam dibenarkan dan bukanlah satu perkara baharu, apatah lagi mendakwanya sebagai simbol kezaliman. Pendekatan tersebut berfungsi sebagai alat pendidikan dan keinsafan apabila digunakan dengan penuh hikmah serta kasih sayang. Atas dasar ini, Islam menetapkan hukuman 100 sebatan bagi pesalah zina belum berkahwin supaya menjadi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat.
Menurut Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Mohammad Baihaqi Md Yusnan, penggunaan rotan dalam Islam bukan bertujuan menyakiti atau menghukum, sebaliknya untuk mendidik, menyedarkan dan memberikan pengajaran. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Suruhlah anak kamu mengerjakan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan solat) apabila berusia 10 tahun serta asingkan tempat tidur mereka.
(Hadis riwayat Abu Dawud, no. 495)
Selain itu, hukuman rotan yang dibenarkan bukanlah bersifat menghina pesalah, tetapi sebagai usaha memperbetul kesilapan. Hukuman ini menanam kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam diri pesalah agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Pelaksanaannya juga mestilah berpaksikan keadilan, bukan kemarahan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
… sesungguhnya Allah menyukai kelembutan dalam segala urusan… .
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6024; dan riwayat Muslim, no. 2165)
Hukuman rotan dibenarkan sebagai kaedah mendisiplinkan anak, tetapi bukan melakukannya secara sembarangan seperti kefahaman sebahagian besar daripada masyarakat. Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam kitabnya, Tarbiyah al-Awlad menjelaskan bahawa hukuman rotan hakikatnya merupakan alternatif terakhir setelah pendekatan lain digunakan.
Dunia pada hari ini sedang bergerak ke arah pendidikan tanpa kekerasan. Walaupun kebanyakan negara di dunia mengambil langkah mengharamkan sebarang bentuk hukuman fizikal terhadap kanak-kanak, Malaysia masih mengekalkan hukuman rotan dalam bentuk yang terkawal. Dalam konteks pendidikan negara, hukuman rotan telah melalui pelbagai perubahan dasar. Ordinan Pelajaran 1957 dan Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 menetapkan bahawa hanya guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa bertulis boleh melaksanakan hukuman rotan. Hukuman tersebut hanya boleh dikenakan terhadap pelajar lelaki dan dilakukan secara tertutup serta tidak boleh mencederakan.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 pula menggariskan bahawa hukuman perlu dijalankan di dalam bilik khas dan setiap kes direkodkan dengan teliti. Jika diperhatikan, garis panduan ini selaras dengan ajaran Islam kerana tidak mengaibkan atau mencederakan pesalah, tetapi sebagai alat atau kaedah didikan.
Islam mengajar umatnya bahawa setiap bentuk pendidikan mestilah dilakukan secara berhikmah dan bijaksana sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Serulah (manusia) ke jalan Tuhan kamu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik… .
(Surah al-Nahl 16:125)
Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu bijak membaca emosi dan latar belakang anak atau pelajar sebelum mengambil sebarang tindakan. Setiap pelajar mempunyai kecenderungan berbeza-beza lantaran ada sebahagian daripada mereka boleh dinasihatkan secara lemah lembut, dan ada golongan yang memerlukan pendekatan lebih tegas.
Meskipun Islam membenarkan hukuman rotan, Rasulullah SAW tetap mengajar umatnya bahawa pendidikan tidak seharusnya bermula dengan hukuman. Nasihat dan bimbingan secara baik dan berperingkat perlu dilakukan terlebih dahulu. Bahkan, kita perlu memberikan peluang untuk seseorang memperbetul kesalahannya. Hal ini jelas memperlihatkan kepada kita bahawa hukuman rotan hanya dikenakan setelah diberikan nasihat, dan kaedah pelaksanaannya sebagaimana digariskan oleh syariat.
Di samping itu, terdapat beberapa penetapan kaedah dalam tindakan merotan anak. Dalam “al-Kafi li al-Fatawi ke-661: Hukum Merotan Anak sehingga Cedera” yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sebatan yang dilakukan tidak boleh melebihi 10 kali sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Burdah al-Ansari r.a. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak boleh dilakukan sebatan lebih daripada sepuluh kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud Allah.
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6850)
Hukuman rotan pula hendaklah digunakan dengan niat mendidik anak serta membentuk peribadi mulia pada diri mereka. Ibu bapa dilarang memukul pada bahagian muka anak kerana terdapat larangan daripada Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Baginda bersabda yang bermaksud:
Apabila seorang daripada kalian bergaduh, maka hendaklah dia menjauhi (daripada memukul) muka.
(Hadis riwayat Muslim, no. 2612)
Muka merupakan anggota tubuh yang lembut, menghimpunkan keseluruhan keindahan seseorang dan boleh tercedera apabila terkena pukulan.
Ibu bapa dan guru yang merotan juga tidak boleh mendatangkan kemudaratan pada tubuh badan anak. Hukuman merotan yang dilakukan dengan cara melampau dan menyebabkan kecederaan adalah haram di sisi Islam. Islam menolak sebarang bentuk kekerasan sekalipun matlamatnya baik.
Berhubung dengan hukuman rotan di sekolah, peraturan sedia ada wajar dikaji semula dan ditambah baik agar lebih sesuai dengan keperluan semasa serta adil kepada semua pihak. Walaupun hukuman rotan masih dibenarkan mengikut peraturan KPM, pelaksanaannya sering menjadi pertikaian dalam masyarakat kerana dilihat tidak seimbang dan berat sebelah. Buktinya, terdapat kes guru didakwa atas tindakan merotan pelajar di negara kita.
Penggubalan peraturan baharu amat penting bagi memastikan hukuman rotan tidak disalahgunakan. Jika dilaksanakan dalam keadaan guru yang hilang kawalan emosi, hal tersebut boleh menyebabkan kesan negatif yang serius kepada pelajar seperti trauma, hilang keyakinan diri, membenci guru dan menolak proses pembelajaran. Pendidikan berasaskan kasih sayang dan komunikasi dua hala yang efektif lebih sesuai diamalkan bagi generasi hari ini. Kaedah kaunseling dan khidmat komuniti boleh dijadikan penyelesaian alternatif berbanding dengan penggunaan rotan.
Tuntasnya, hukuman rotan dibenarkan menurut perspektif Islam, tetapi mesti menjadi pilihan terakhir setelah pelbagai kaedah lain digunakan. Sirah Nabi Muhammad SAW jelas menunjukkan bahawa kasih sayang, teladan dan sabar merupakan cara paling berkesan dalam pembangunan insan berakhlak mulia berbanding dengan hukuman keras seperti merotan. Tidak dinafikan mendidik anak pada zaman ini penuh ranjau dan duri kerana mereka terdedah dengan dunia luar tanpa sempadan. Pendidikan berasaskan hukuman bagi menundukkan anak dengan ketakutan bukanlah pilihan terbaik ketika ini. Semua pihak perlu berganding bahu dalam pembinaan generasi muda negara yang berkualiti. Jika hukuman rotan dipilih, laksanakanlah dengan niat mendidik, bukan dengan amarah sehingga membekas luka dalam jiwa anak kita.