Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKANGAR — Graduan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) diingatkan supaya memanfaatkan ilmu serta teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi disruptif dengan berpaksikan etika Islam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniSIRAJ menegaskan bahawa perkembangan teknologi perlu ditunjangi nilai al-Quran dan sunah, agar aplikasi yang dibangunkan memberikan kebaikan kepada masyarakat.
Baginda menzahirkan bahawa majlis konvokesyen bukan sekadar penutup pengajian, tetapi permulaan kepada cabaran dunia moden yang berubah dengan pantas.
Menurut baginda, hala tuju UniSIRAJ kekal berteraskan wahyu Ilahi dan sunnah Rasulullah SAW sebagai asas pembentukan graduan berakhlak, berpengetahuan dan berdaya kepimpinan, seiring dengan aspirasi universiti untuk muncul sebagai institusi pendidikan Islam berprestij pada peringkat antarabangsa.
UniSIRAJ kini melaksanakan pembaharuan strategik meliputi pengukuhan akademik dan penyelidikan, peluasan jaringan industri serta usaha pengantarabangsaan. Fokus pendidikan Islam pula diperkasakan melalui penghayatan nilai kemanusiaan dan ketamadunan, dengan peranan universiti diperluas sebagai pusat wacana pemikiran Islam kontemporari.
Konvokesyen sehari itu menyaksikan seramai 361 graduan menerima diploma dan ijazah, menjadi kumpulan pertama yang bergraduasi di bawah nama UniSIRAJ selepas pemasyhuran universiti baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 207 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, seorang masing-masing menerima ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah, manakala sebanyak 152 graduan dianugerahkan Diploma.
Dalam majlis tersebut, Muhaimin Abdul Hamit, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa al-Quran dan Sunnah, dikurniakan Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) atas kecemerlangan akademik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 serta rekod kokurikulum yang memberangsangkan. Beliau menerima tajaan menunaikan umrah, sumbangan RM3,000 dan tawaran pekerjaan sebagai eksekutif daripada sebuah bank.

UniSIRAJ sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebelum dinaik taraf kepada status universiti selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan Tinggi.