Diterbitkan pada 14 November 2025, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah, hanya dengan zikrullah hati akan menjadi tenang.”

(Surah al-Rad 13:28)

Manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai makhluk yang seimbang, mengandungi bahagian dalaman dan luaran, iaitu mental dan fizikal, rohani dan jasmani. Apabila satu daripadanya terganggu, maka seluruh kehidupan akan terjejas.

Masalah kesihatan mental merujuk keadaan emosi yang terganggu atau tertekan sehingga menyebabkan seseorang berasa cemas, risau, gemuruh atau gelisah. Lebih membimbangkan apabila gangguan tersebut mencapai tahap kecelaruan mental yang membawa kepada halusinasi yang mempengaruhi cara berfikir, emosi dan tingkah laku. Jika tidak dirawat, pesakit barangkali hilang kemampuan mengurus diri, bertindak di luar kawalan dan menjejaskan hubungan bermasyarakat.

Masalah kesihatan mental berpunca daripada beberapa faktor seperti biologi, iaitu ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak yang menjejaskan kestabilan emosi. Selain itu, faktor psikologi turut memberikan kesan kesihatan mental seperti penderaan emosi, fizikal atau seksual. Begitu juga faktor persekitaran seperti kehilangan orang tersayang, penceraian ibu bapa, kesempitan hidup atau pengaruh dadah. Penggabungan kesemua faktor tersebut boleh menimbulkan tekanan jiwa secara berpanjangan. Pada akhirnya, seseorang berada dalam keadaan sedih, murung dan celaru.

Keadaan sedemikian kini mendorong masalah mental yang semakin meningkat. Golongan yang mengalaminya akan hilang minat terhadap perkara yang digemari. Mereka lebih banyak mendiamkan diri, berasa tiada harga diri, dihantui perasaan bersalah, bahkan ada yang sampai terlintas untuk mencederakan diri atau membunuh diri.

Mutakhir ini, akhbar melaporkan beberapa kes jenayah yang sebahagiannya dipercayai berlaku akibat daripada gangguan mental. Lebih menyayat hati, kes tersebut melibatkan mangsa dalam kalangan ahli keluarga dan orang terdekat. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Institut Kesihatan Umum (IKU), dianggarkan sebanyak satu juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas atau bersamaan dengan 4.6 peratus daripada penduduk dewasa mengalami kemurungan. Kadar ini telah meningkat dua kali ganda berbanding dengan tahun 2019.

Jiwa manusia ialah amanah Allah SWT yang sangat halus dan bernilai. Apabila jiwa tenang, seluruh kehidupan menjadi tenteram. Sebaliknya, apabila jiwa terganggu, akal mula menjadi sempit, emosi tidak stabil dan akhirnya menjejaskan kesihatan mental.

Al-Quran menjelaskan bahawa tabiat manusia mudah berasa resah gelisah tatkala menghadapi kesusahan sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu diciptakan bertabiat resah gelisah (bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah.”

(Surah al-Ma‘arij 70:19–20)

Walaupun sifat semula jadi manusia sebegitu, pada ayat 22 dalam surah yang sama, Allah SWT menegaskan bahawa sifat keluh-kesah boleh diubati dengan amalan menjaga solat kerana ternyata jiwa manusia perlu diimbangi dengan iman, kesabaran dan amalan kerohanian. Ketenangan jiwa boleh diperoleh dengan mengingati Ilahi.

Rasulullah SAW juga mengajarkan doa kepada kita agar hati terpelihara daripada kegelisahan, kesedihan dan tekanan hidup.

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kegelisahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Umat Islam yang diuji dengan masalah kesihatan mental tidak seharusnya berdiam diri. Sebaliknya, mereka perlu segera berjumpa pakar kesihatan mental, selain memperbanyak doa, menjauhi maksiat, membaca al-Quran dan melakukan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Usaha mendapatkan rawatan khusus merupakan ikhtiar yang dituntut oleh syarak. Pada masa yang sama, mereka perlu bersifat terbuka mengizinkan orang yang dipercayai untuk membantu, sama ada ahli keluarga, sahabat ataupun rakan sekerja agar bebanan yang ditanggung dapat diringankan.

Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap lima perkara berikut agar kesedaran tentang penjagaan kesihatan mental dapat ditingkatkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

Pertama: Kesejahteraan mental merupakan nikmat besar yang wajib disyukuri. Pemeliharaannya bertepatan dengan maqasid syariah, iaitu menjaga akal. Oleh itu, tindakan menjaga kesihatan mental bukan sekadar tanggungjawab duniawi, bahkan tanggungjawab agama demi kesejahteraan hidup.

Kedua: Islam menuntut keseimbangan antara ikhtiar sains dengan amalan agama. Ubat-ubatan moden, rawatan klinikal dan kaunseling merupakan sebahagian daripada usaha yang diharuskan syarak. Pada masa yang sama, doa, zikir, sabar, tawakal, reda dan berbaik sangka menjadi penguat jiwa yang tidak boleh dipisahkan. Kita tidak boleh hanya cenderung kepada sains sehingga menafikan peranan agama, dan kita juga tidak boleh hanya bergantung pada ruqyah tanpa berusaha mendapatkan rawatan perubatan.

Ketiga: Golongan yang mengalami masalah kesihatan mental tidak boleh dibiarkan bersendirian. Keluarga, sahabat, guru dan jiran perlu tampil membantu dengan sabar dan berasa simpati dengan mendengar, memahami, memberikan dorongan serta membina kepercayaan.

Keempat: Amalkan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW, memperbanyak zikir dan menjaga solat supaya menjadi benteng yang dapat menenangkan jiwa, menguatkan hati dan memperkukuh diri ketika menghadapi tekanan.

Kelima: Jiwa yang tenang berupaya menstabilkan emosi, menjadikan akal sihat dan membimbing jiwa cenderung kepada amalan yang mendatangkan kebaikan. Amalkan sikap terbuka dan berfikiran positif agar jiwa sentiasa tenang dan tenteram.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 14 November 2025, bertajuk “Kesejahteraan Mental: Ikhtiar dan Doa”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi