Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSidang editor Dewan Tamadun Islam menyorot pembentangan ilmiah oleh Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Aznan Hasan, dalam Muzakarah Waqaf 2025 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, pada 6 November 2025.

Topik perbincangan bertajuk “Inovasi Wakaf Korporat Global: Ijtihad dan Aplikasi” membuka dimensi baharu terhadap pemahaman dan pengurusan wakaf dalam konteks dunia wakaf kontemporari. Perbincangan ini menandakan peralihan paradigma daripada pengurusan wakaf bersifat tradisional kepada pendekatan yang lebih strategik, profesional dan berpaksikan maqasid syariah.
Evolusi Wakaf dalam Konteks Korporat
Wakaf korporat merupakan evolusi terkini dalam sistem wakaf tradisional, apabila aset wakaf mula diurus dan dikembangkan melalui pendekatan korporat yang lebih profesional, strategik dan berstruktur. Pendekatan ini menandakan peralihan daripada model pengurusan tradisional kepada sistem tadbir urus moden yang menekankan pelaburan mampan serta akauntabiliti yang tinggi.
Transformasi ini sejajar dengan aspirasi maqasid syariah untuk memastikan kemaslahatan ummah terus terpelihara melalui pengoptimuman aset dan manfaat wakaf. Namun begitu, perubahan ini turut menuntut ruang ijtihad dan fatwa yang bersifat progresif bagi menangani pelbagai cabaran hukum, struktur serta pengurusan dalam ekosistem wakaf kontemporari.
Kedinamikan Ijtihad dalam Wakaf
Prof. Dato’ Dr. Aznan menjelaskan bahawa wakaf termasuk dalam bidang muamalat yang kurang mempunyai nas syarak yang spesifik, justeru membuka ruang luas kepada ijtihad. Dalam banyak keadaan, para fuqaha terdahulu memberikan pandangan berdasarkan realiti semasa, sekali gus menjadikan wakaf bersifat dinamik dan responsif terhadap keperluan zaman.
Menurut beliau, wakaf berperanan pada dua peringkat, iaitu pengurusan masyarakat dan institusi negara. Kedua-dua peringkat ini menuntut kefahaman mendalam dan penyesuaian hukum yang bijaksana. Oleh itu, keperluan kepada ijtihad dan fatwa progresif menjadi kunci agar institusi wakaf kekal relevan dalam kepelbagaian perubahan landskap ekonomi global.
Keperluan Fatwa dan Ijtihad Progresif
Prof. Dato’ Dr. Aznan menegaskan bahawa sifat wakaf yang “hidup”, iaitu gabungan antara ibadah dengan muamalat menuntut kefleksibelan dalam pelaksanaan hukum. Antara keperluan ijtihad progresif termasuklah menyantuni realiti ekonomi dan undang-undang semasa, mengiktiraf inovasi kewangan Islam, serta menyokong prinsip tadbir urus dan akauntabiliti.
Beliau turut menekankan keperluan memastikan kemampanan (sustainability), di samping memperhalus kedinamikan penjanaan keuntungan dan agihan manfaat agar sejajar dengan maqasid syariah.
Garis Panduan Ijtihad Wakaf Kontemporari
Pada hakikatnya, ijtihad dalam urusan wakaf tidak boleh dilakukan secara bebas tanpa kawalan, sebaliknya perlu berpandukan prinsip syarak yang kukuh. Pada masa yang sama, pelaksanaannya perlu realistik dan mengambil kira faktor semasa, undang-undang dan keperluan sosial.
Prof. Dato’ Dr. Aznan menggariskan 10 garis panduan ijtihad wakaf kontemporari yang progresif seperti yang berikut:
Isu Semasa dalam Ijtihad Wakaf
Antara isu utama yang memerlukan penelitian ijtihad dalam konteks wakaf kontemporari termasuklah penentuan status wakaf sama ada bersifat kekal atau sementara; serta perbezaan wakaf khairi (umum untuk kebajikan), wakaf ahli (keluarga) dan wakaf musytarak (gabungan kedua-duanya). Setiap bentuk wakaf ini membawa implikasi hukum dan pengurusan yang berbeza, khususnya dari segi agihan manfaat dan kelestarian aset.
Prof. Dato’ Dr. Aznan turut menekankan bahawa pelbagai bentuk wakaf moden kini muncul melalui pelbagai entiti seperti amanah khas, koperasi, syarikat wakaf dan yayasan. Model ini mencerminkan usaha untuk menyesuaikan instrumen wakaf dengan keperluan ekonomi semasa, namun pada masa yang sama menuntut panduan syariah yang jelas agar tidak menyeleweng daripada roh asal wakaf.
Konsep istibdal wakaf (penggantian harta wakaf) juga menjadi topik penting dalam perbincangan semasa. Isu ini mencetuskan polemik apabila melibatkan keputusan untuk menukar, menjual atau menggantikan aset wakaf atas dasar maslahah (kemaslahatan) dan hajah (keperluan mendesak). Dalam hal ini, ijtihad diperlukan bagi menyeimbangkan antara prinsip pemeliharaan harta wakaf dengan keperluan memperbaharu atau mengoptimumkan aset tersebut untuk manfaat yang lebih besar.
Selain itu, perbahasan turut melibatkan peranan dan kuasa nazir atau mutawalli selaku pentadbir wakaf. Antara isu yang dibangkitkan termasuklah had prerogatif pentadbir wakaf dalam mengatasi syarat pewakaf apabila timbul keperluan semasa yang lebih mendesak. Hal ini menuntut kefahaman fiqh dan etika yang mendalam agar keputusan yang dibuat bukan sahaja sah dari segi hukum, bahkan menepati tujuan pewakafan.
Cabaran Wakaf Korporat
Prof. Dato’ Dr. Aznan menyorot cabaran utama dalam pembangunan wakaf korporat, seperti cabaran mencari keseimbangan antara tradisi dan modenisasi, serta antara pendekatan statik dengan inovatif. Wakaf memiliki akar sejarah yang panjang dan diikat oleh prinsip syariah yang kukuh, namun pada masa yang sama perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan ekonomi moden dan struktur korporat yang lebih dinamik.
Dari segi perundangan, Prof. Dato’ Dr. Aznan menegaskan bahawa isu ini merupakan aspek kritikal yang sering mengundang cabaran besar. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem perundangan di Malaysia dan banyak negara Islam lain masih beroperasi dalam kerangka dwisistem, iaitu antara undang-undang sivil dengan syariah. Potensi konflik boleh timbul apabila peruntukan undang-undang sivil berbeza atau tidak selaras dengan prinsip hukum syarak dalam urusan pewakafan, terutamanya yang melibatkan pemilikan aset, pelaburan dan urus tadbir institusi wakaf. Oleh itu, penyelarasan undang-undang dan pengiktirafan wakaf sebagai entiti ekonomi Islam yang sah perlu diperkukuh agar pelaksanaannya tidak terhalang oleh permasalahan teknikal dan perundangan.
Dari aspek tadbir urus, beliau menjelaskan bahawa masih wujud kekurangan dari segi standardisasi, ketelusan dan akauntabiliti antara institusi wakaf. Setiap entiti sering mempunyai mekanisme pengurusan yang berbeza-beza sehingga menyebabkan ketidaksamaan dalam pelaporan kewangan, pengagihan manfaat dan pengawasan audit syariah. Kekangan ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan masyarakat, malah boleh menimbulkan risiko salah urus atau ketirisan dalam pengendalian aset wakaf. Oleh itu, pembentukan garis panduan tadbir urus yang seragam dan penguatkuasaan piawaian pelaporan wakaf amat penting bagi memastikan integriti institusi wakaf korporat terjamin.
Prof. Dato’ Dr. Aznan turut menegaskan cabaran kesedaran masyarakat yang masih terhad. Banyak yang masih menganggap wakaf hanya berkaitan dengan tanah, masjid atau madrasah, sedangkan konsep wakaf jauh lebih luas dan boleh diterapkan dalam pelbagai bentuk aset seperti tunai, saham, hartanah komersial atau teknologi. Kefahaman yang sempit ini membataskan potensi wakaf sebagai pemangkin ekonomi ummah.
Akhir sekali, Prof. Dato’ Dr. Aznan menegaskan bahawa transformasi wakaf kontemporari, termasuklah wakaf korporat, menuntut ijtihad yang tajdid dan berpaksikan maslahah. Katanya, fatwa dalam bidang wakaf perlu bersifat dinamik dan berpaksikan tujuan (maqasid), bukan literalistik semata-mata. Dengan panduan ijtihad yang berasaskan ilmu, etika dan maslahah, beliau yakin sistem wakaf korporat global mampu menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi umat Islam secara berterusan dan lestari.