Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lebih 400 orang pimpinan mahasiswa Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (RSY) dari seluruh negara berhimpun dalam Konvensyen Madani Rakan Siswa YADIM 2025 yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 2 November 2025 di The Pearl Hotel.
Konvensyen selama tiga hari anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu menghimpunkan pemimpin muda dari universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi memperkukuh jaringan kepimpinan Islam berteraskan gagasan Malaysia MADANI.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam Wacana Minda Madani bertajuk “Amanah Kepemimpinan Siswa” menekankan peranan mahasiswa sebagai pembimbing masyarakat menuju pembentukan negara bertamadun.

“Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam usaha menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Madinah sehingga terbentuk sebuah kota yang aman makmur.
“Inilah aspirasi yang ingin kita capai melalui Malaysia MADANI,” katanya.
Jelas YB Dr. Zulkifli, mahasiswa bertanggungjawab untuk membimbing masyarakat untuk merealisasikan gagasan Malaysia MADANI kerana hal ini penting untuk mengukuhkan pembentukan sebuah negara yang bertamadun.
Hadir sama, Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim serta Ketua Bahagian Kepimpinan Muda (KEMUDA) YADIM, Shahrizal Mat.
Konvensyen anjuran Bahagian KEMUDA YADIM ini turut mengiktiraf inisiatif cemerlang penggerak RSY melalui penyampaian anugerah kepada institusi yang aktif melaksanakan program dakwah.
RSY Politeknik Ungku Omar menerima Anugerah Khas atas kejayaan melaksanakan program antarabangsa di Kemboja dan menarik penyertaan sebanyak 800 orang pelajar dalam aktiviti dakwah kampus.
Turut menerima pengiktirafan ialah RSY Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Swasta, serta IPG Kampus Sultan Abdul Halim bagi kategori Institut Pendidikan Guru.
Selain itu, konvensyen turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada 22 orang wakil pimpinan RSY dari seluruh negara.