Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGagasan Ala ASEAN kini berkembang menjadi satu kerangka baharu, iaitu Manhaj Aseani. Sebuah gaya diplomasi yang menzahirkan semangat Asia Tenggara dengan mengutamakan musyawarah, menghormati maruah sesama negara jiran dan membina keamanan melalui hikmah, bukan dominasi.
Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula pada 26 hingga 28 Oktober 2025 mencatat detik bersejarah, bukan sahaja bagi Malaysia sebagai tuan rumah, bahkan bagi masa hadapan rantau Asia Tenggara yang sedang menempuh cabaran geopolitik baharu.
Dengan tema besar “Keterangkuman dan Kemampanan”, persidangan kali ini memaparkan aspirasi ASEAN untuk menjadi rantau yang inklusif dan lestari dari segi ekonomi, sosial serta alam sekitar. Tema ini berakar daripada semangat ASEAN yang mahu memastikan kemajuan tidak hanya diukur melalui angka untung rugi dan nilai pasaran, tetapi juga melalui keadilan sosial, kelestarian ekologi dan kesejahteraan manusia.
Dihadiri oleh lebih daripada 20 ketua negara dan kerajaan, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil, Presiden Afrika Selatan, serta pemimpin dari China, Rusia, Jepun dan Korea Selatan, sidang kali ini memperlihatkan pengiktirafan global terhadap keupayaan Malaysia sebagai jambatan strategik yang menghubungkan dunia Barat, Timur dan Selatan Global.
Ketika penulis berpeluang menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, suasananya cukup mengesankan. Sebuah pertemuan yang sarat dengan nilai dan sejarah, menyatukan para pemimpin dunia dalam satu pentas yang melambangkan kematangan Asia Tenggara sebagai blok berprinsip dan berpaksikan moral.
Ucapan pembukaan oleh Pengerusi ASEAN, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menetapkan nada yang progresif dan intelektual. Beliau menegaskan bahawa “kepimpinan bukanlah perkara rutin, tetapi hal itu merupakan suatu pilihan.” Kepimpinan bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi pilihan nilai untuk terus berani menegakkan kebenaran, mempertahankan keadilan dan memperjuangkan kemanusiaan dalam dunia yang semakin terbahagi dan rencam.
Daripada barisan perwakilan, delegasi dan pemerhati, jelas terasa bahawa Malaysia kini tampil sebagai peneraju nilai dan suara moral Selatan Global. Sidang ini menjadi saksi kepimpinan Malaysia MADANI yang mendamaikan, berpaksikan prinsip dan berjiwa insani.
Diplomasi Hikmah dan Manhaj Aseani
Sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia membawa pendekatan diplomasi berhikmah yang mengimbangi kepentingan strategik dan moral di tengah-tengah dunia yang sarat dengan konflik dan ketidakseimbangan kuasa.
Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dengan Kemboja di ibu negara menjadi simbol keupayaan ASEAN menjadi jambatan perdamaian serantau ketika banyak kuasa dunia memilih jalan konfrontasi. Perjanjian ini bukan sekadar menamatkan pertikaian dua negara jiran, tetapi menunjukkan kuasa lunak Asia Tenggara bahawa perdamaian boleh dicapai melalui hikmah, musyawarah dan saling menghormati kedaulatan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa “perdamaian bukanlah satu bentuk penyerahan, tetapi satu tindakan keberanian; apabila keamanan dipilih, hal tersebut mampu membentuk semula masa hadapan sesebuah bangsa.” Ungkapan ini menggariskan falsafah perdamaian ASEAN yang unik berasaskan keberanian moral, bukan paksaan kuasa.
Malaysia juga menekankan bahawa penyelesaian krisis Myanmar mesti kekal berpaksikan Konsensus Lima Perkara dan hanya akan berjaya jika mengambil kira pendekatan Myanmar-owned dan Myanmar-led. Pendekatan ini menggambarkan falsafah diplomasi Malaysia yang berakar pada hikmah, kesabaran dan keinsafan terhadap realiti kemanusiaan, di samping mencerminkan semangat Manhaj Maliziy atau pendekatan Ala Malaysia yang pernah digarap oleh Allahyarham Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, dengan gagasan kepimpinan berpaksikan kebijaksanaan tempatan, nilai sejagat Islam serta keutamaan dialog dan keadilan sosial.
Dalam konteks ini, gagasan Ala ASEAN kini berkembang menjadi satu kerangka baharu, iaitu Manhaj Aseani. Sebuah gaya diplomasi yang menzahirkan semangat Asia Tenggara dengan mengutamakan musyawarah, menghormati maruah sesama negara jiran dan membina keamanan melalui hikmah, bukan dominasi.
Manhaj Aseani mengangkat kekuatan budaya dan sejarah rantau ini sebagai asas diplomasi moral, daripada gotong-royong kepada muafakat, daripada memberi kepada berbudi. Inilah warisan nilai yang kini diterjemahkan oleh Malaysia dalam kepengerusian ASEAN 2025, membuktikan bahawa hikmah Asia Tenggara masih menjadi panduan kepada dunia yang sedang kehilangan keseimbangan.
Kepaksian ASEAN dan Keberanian dalam Suara Kemanusiaan
Sejak penubuhannya lebih setengah abad lalu, ASEAN kekal sebagai mercu kestabilan dan titik keseimbangan di tengah-tengah dunia yang sering bergolak. Prinsip Kepaksian ASEAN bukan sekadar slogan diplomatik, tetapi lahir daripada kesedaran bahawa rantau ini hanya dapat bertahan dengan berpaksikan muafakat, hikmah dan kematangan politik.
Dari era pasca-Perang Dingin hingga zaman persaingan geopolitik baharu, ASEAN tetap teguh mempertahankan semangat “kesatuan dalam kepelbagaian” yang menjadikan rantau ini stabil dan sederhana, di samping berperanan sebagai jambatan antara kuasa besar dunia. Kini, dengan kepimpinan Malaysia, semangat itu diterjemahkan lebih jelas dan berprinsip, menekankan keterangkuman, kelestarian serta kemanusiaan sejagat. ASEAN bukan lagi sekadar blok ekonomi, tetapi komuniti nilai dan nurani global.
Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, gabungan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk ABIM menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, yang menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia memanfaatkan peluang kerjasama ASEAN–Amerika Syarikat. Selain itu, inti pati memorandum itu turut menyeru agar negara terus menegaskan bahawa peranannya sebagai pusat keamanan dan dialog serantau, selain menolak dasar yang menzalimi rakyat Gaza.
Menerusi maklum balasnya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan masyarakat dan perkara yang disuarakan tersebut adalah selaras dengan pendirian Malaysia untuk mempertahankan keadilan serta kemanusiaan pada peringkat global. Hal ini membuktikan bahawa diplomasi Malaysia berpaksikan suara rakyat dan tidak terpisah daripada akarnya.
Namun begitu, prinsip Kepaksian ASEAN ketika ini berhadapan dengan ujian baharu. Rantau ini semakin terhimpit lantaran kepentingan antara kuasa besar, persaingan ekonomi digital dan cabaran kemanusiaan global yang kian kompleks. ASEAN perlu menjadi bukan sekadar pengimbang kuasa, tetapi penentu arah moral dunia yang berasaskan keadilan dan kemanusiaan sejagat. Berbekalkan pengalaman diplomasi berhikmah, Malaysia berpotensi menghidupkan kembali semangat awal Deklarasi Bangkok yang menatijahkan ASEAN sebagai wadah suara bebas Selatan Global.
Tatkala Presiden Donald Trump menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dengan Thailand, yang masing-masing diwakili oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, peristiwa bersejarah berkenaan menjadi lambang kuasa lunak Asia Tenggara bahawa perdamaian boleh dicapai menerusi dialog dan saling menghormati, bukan paksaan dan dominasi.
Dalam perkembangan yang lain, Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat Ke-13 menyaksikan gesaan Malaysia kepada negara kuasa besar dunia itu agar mengekalkan komitmen kukuh terhadap usaha perdamaian di kawasan konflik termasuk Semenanjung Gaza. Perdana Menteri berkata bahawa sokongan ASEAN terhadap pelan komprehensif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat bagi menjamin keamanan berkekalan di Gaza, sebagai tanda kesediaan Malaysia dan ASEAN mendukung inisiatif yang berpaksikan keadilan dan penyelesaian damai. Penegasan ini menunjukkan bahawa diplomasi nilai Malaysia yang berani, berprinsip dan berperikemanusiaan.
Dari satu sisi, Malaysia menampilkan hikmah dan keberanian moral ketika berinteraksi dengan kuasa besar dunia dalam usaha memperjuangkan agenda keamanan dan kemanusiaan. Dalam perkembangan lain, peranan rakyat Malaysia menerusi pelbagai saluran kumpulan pendesak (pressure group) turut berhimpun dan menyampaikan mesej jelas yang menolak dasar dan pendirian pro-Zionis selama ini mewarnai politik luar Amerika Syarikat.
Keseluruhan peristiwa ini menggambarkan kematangan diplomasi Malaysia yang mengharmonikan antara ketegasan dengan adab, dan antara kritikan dengan prinsip. Malah, manifestasi kuasa lunak yang berteraskan nilai kemanusiaan terus berfungsi sebagai jambatan antara bangsa dengan budaya tanpa perlu tunduk pada sebarang tekanan atau pengaruh mana-mana kuasa.
Bersambung …
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ialah seorang aktivis kemanusiaan di Malaysia. Beliau merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak 2023.