Diterbitkan pada 11 Oktober 2025, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Fajar Damai buat Gaza
Pada hening waktu dingin subuh di Gaza, rakyat berpusu-pusu ke dataran yang terletak di hadapan Hospital al-Syifa’, bandar Gaza. Suasananya riuh dengan tempik gegak gempita takbir, bukan lagi suara riuh kesedihan seperti kebiasaan hari-hari genosid yang ditempuh oleh rakyat Gaza dengan penuh kekejaman.

Rupa-rupanya, berita gencatan senjata yang telah termetarai di Sharm al-Sheikh, Mesir, sudah sampai ke Gaza dengan begitu pantas. Senyuman manis yang ceria menghiasi wajah para wartawan, ibu, anak kecil serta para lelaki di segenap Gaza – dari Rafah sehingga ke kawasan yang paling utara, Khan Younis.

Meja Rundingan di Sharm al-Sheikh
Rundingan yang berlaku pada 9 Oktober 2025 di Sharm al-Sheikh, Mesir ini disertai oleh delegasi perunding Palestin yang terdiri daripada tiga kumpulan pejuang utama, iaitu Hamas, Jihad Islami (PIJ) dan Barisan Rakyat untuk Pembebasan Palestin (PFLP). Yang lebih menarik, antara delagasi Hamas yang hadir termasuklah Dr. Khalil al-Hayya dan Zaher Jabareen yang terselamat dalam pengeboman Israel ke atas Doha tempoh hari.

Selain itu, yang menjadi perantara antara delegasi Palestin dengan delegasi Israel ialah Turkiye dan Qatar. Tambahan pula, rundingan gencatan senjata ini ditaja dan dikawal selia oleh Mesir selaku tuan rumah bagi rundingan yang penuh bersejarah ini.

Apakah yang Berlaku?
Pada 29 September 2025, berlaku pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih. Trump telah mengumumkan fasa awal gencatan senjata yang dinamakan sebagai 20 Poin Pelan Damai yang merupakan unjuran awal untuk menamatkan perang di Gaza secara menyeluruh.

Selepas itu, Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat, Marco Rubio, terlihat telah menyerahkan satu nota kepada Trump. Trump kemudiannya terus mengumumkan lagi sekali bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pasukan beliau bahawa kebarangkalian untuk tamatnya perang di Gaza semakin kuat.

Apakah yang Dipersetujui?
Presiden Trump mengumumkan melalui akaun media sosialnya bahawa antara perkara yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak termasuklah:

  1. Israel dan Hamas kedua-duanya telah menandatangani fasa pertama pelan damai.
  2. Semua tahanan akan dibebaskan pada masa terdekat.
  3. Israel akan menarik balik tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui.
  4. Tindakan itu akan menjadi langkah pertama ke arah keamanan yang kukuh dan berkekalan.
  5. Semua pihak akan dilayan dengan adil.

Trump juga amat berterima kasih kepada pihak perantara, iaitu Turkiye, Qatar dan Mesir yang telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak ini. Untuk menghentikan perang di Gaza merupakan antara polisi luar yang paling utama bagi Presiden Trump yang juga sedang memburu Hadiah Nobel bagi kategori Keamanan.

Bilakah Tahanan Akan Mula Dibebaskan?
Pihak Hamas berkata, para tahanan yang masih hidup dan yang sudah mati akan diserahkan pada 72 jam selepas Israel bersetuju dengan perincian gencatan senjata. Oleh itu, lebih kurang pukul 3.00 petang waktu Gaza, Netanyahu mengumumkan bahawa mereka bersetuju dengan fasa awal gencatan senjata.

Pada hari Ahad atau Isnin, kita akan melihat proses pertukaran tahanan dilakukan oleh kedua-dua belah pihak. Terdapat lebih kurang 250 orang tahanan yang telah diambil oleh kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober 2023 dan dilaporkan, kini lebih kurang 20 orang tahanan Israel yang masih hidup di Gaza. Sebagai ganti, Israel akan membebaskan 2000 orang tahanan Palestin yang meringkuk di dalam penjara-penjara Israel.

Apakah Tindakan Seterusnya?
Fasa awal gencatan senjata disambut baik oleh Hamas dan Israel, namun masih banyak persoalan yang perlu diperjelas dan diteliti. Presiden Trump telah memberikan jaminan bahawa perang (genosid) akan berhenti sepenuhnya di Gaza, tetapi beberapa perkara seperti pertukaran tahanan dan penyerahan senjata Hamas masih memerlukan perincian lanjut.

Dalam suasana politik dan kemanusiaan yang sarat dengan pelbagai kepentingan dan percaturan ini, dunia kini menanti untuk melihat langkah damai ini benar-benar mampu membuka jalan menuju keadilan yang berkekalan. Walau apa-apa pun yang berlaku, kita mengharapkan keamanan dan kemerdekaan yang penuh buat Palestin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi